LIMBARUH HIJAU 11 MEI 2009 - KONGRES Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) kali ke 4 yang dijadualkan bermula 19 hingga 21 Jun akan datang ini sekali akan menyaksikan perwakilan-perwakilan dari seluruh negara menunaikan hak mereka menyuarakan pandangan, teguran, harapan dan hasrat ahli-ahli parti di kawasan masing-masing.
Seperti di tiga kongres yang lalu, perwakilan-perwakilan yang telah dipilih oleh ahli-ahli ranting kawasan masing-masing akan membentangkan dan membahaskan usul-usul yang menyentuh bebrbagai isu pembagunan, kemasyarakatan, keselamatan sosial, politik dan ekonomi.
Di Kongres ke--4 ini perwakilan-perwakilan juga akan diberikan ruang dan peluang yang lebih luas untuk membahaskan ucapan dasar presiden yang secara tradisinya menyentuh semua aspek perkembangan pembangunan bangsa dan negara.
Seperti ditahun-tahun sudah, perwakilan hanya diberikan setengah hari untuk membahaskan ucapan dasar presiden, tetapi tahun ini memandangkan minat dan kesedaran keseluruhan ahli-ahli NDP dalam pengamalan demokrasi dalam parti semangkin meningkat, mereka akan berpeluang untuk membahaskannya sepanjang hari kedua kongres.
Pada Kongres ke-3 tahun lepas sebanyak 3 Usul Khas tanpa bahas yang disediakan oleh Majlis Tertinggi telah diterima dan disahkan.
Usul-usl khas tersebut berkaitan tuntutan Brunei ke atas Wilayah Limbang dan isu persempadanan Brunei-Sarawak lainnya; kehadiran tentera British di Negara Brunei Darussalam dan kehadiran Tentera Singapura di Negara Brunei Darussalam.
Manakala lapan usul yang dibentang dan dibahaskan menyentuh usul mengenai dasar pembruneian Syarikat Brunei Shell; Usul Mengenai Pembangunan SME/PKS; Usul Mengenai Isu Kemiskinan; Usul Mengenai Perumahan; Usul Mengenai Keselamatan Permakanan; Usul Mengenai Pembaharuan Politik; Usul Memertabatkan Kaum Wanita dan Usul Mengenai Wawasan 2035
Lima usul yang dibentangkan tanpa bahas oleh Badan Perhubungan Daerah iaitu tiga usul dari Perhubungan NDP Temburung dan satu usul dari Perhubungan NDP Brunei Muara dan satu usul dari Perhubungan NDP Tutong pula berkaitan Usul Pembinaan Jalan Dan Jambatan Menghubungkan Daerah Temburong Dengan Bandar Seri Begawan; Usul Mengenai Masalah Banjir Di Ulu Tutong; Usul Mengenai Masalah Keciciran Penuntut; Usul Rekonsilasi Nasional; Usul Menaiktaraf Dan Membangunkan Daerah Temburong.
Selain itu 36 usul juga telah diangkat Perhubungan Daerah untuk pengesahan Kongres kali ke-3. usul-usul tersebut seperti berikut:
- Mencadangkan agar sebarang pemilihan/keputusan mengenai Sebut Harga (Quotation) yang dikeluarkan oleh pihak-pihak berkenaan dibuat dengan lebih telus.
- Merayu agar umur kenderaan perniagaan diperpanjang untuk digunapakai sehingga 20 tahun.
- Menyarankan agar pihak berkenaan memulihkan semula Sistem Berpencen bagi pegawai dan kakitangan Kerajaan.
- Merayu agar elaun sara hidup dikekalkan walaupun seseorang pegawai kerajaan sudah bersara.
- Mencadangkan agar dibuat penetapan sempadan perumahan di skim-skim perumahan kerajaan dan swasta bagi mengelak pertikaian antara jiran.
- Mencadangkan agar dilanjutkan umur persaraan bagi pegawai dan kakitangan awam dari 55 tahun kepada 60 tahun.
- Menyarankan supaya pihak berkenaan tidak mengambil pekerja-pekerja warga asing sebagai penyenggara dan Pembersih Pejabat-Pejabat Kerajaan bagi menjaga keselamatan.
- Mencadangkan agar pihak berkenaan bertegas melarang dan menguatkuasakan larangan bagi menghalang warga asing dari berniaga di Pasar Borong Sengkurong.
- Mencadangkan agar pihak berkenaan mengambil langkah-langkah pembersihan yang berterusan di Empangan Air Benutan yang terdedah kepada pencemaran air dan alam sekitar.
- Menggesa pegawai-pegawai pertanian supaya memeriksa secara berterusan akan kadar penggunaan racun bagi bahan-bahan makanan seperti sayur, Ikan dan buah-buahan yang dibawa masuk ke Negara Brunei Darussalam dan mengambil tindakan tegas ke atas pengekspot/pengimpot dan barang-barang yang mengandungi kadar kimia dan racun yang melebihi had yang dibenarkan bagi menjamin mutu barangan yang dimasukkan ke Negara ini sentiasa selamat untuk dimakan.
- Mencadangkan supaya pihak berkenaan menyediakan sistem Rangkaian Pembangunan dan Kemajuan Kawasan-Kawasan sawah padi yang lengkap dengan kemudahan asas dan disenggara secara berterusan bagi membolehkan kegiatan penamanan padi dan tanaman sampingan lainnya dapat diusahakan sepanjang tahun.
- Menggesa supaya diadakan pemeriksaan lebih kerap terhadap kenderaan dagang dan kenderaan-kenderaan kecil perseorangan yang masuk ke Temburong dari wilayah-wilayah jiran sebagai langkah kawalan kemasukan pendatang tanpa izin dan barang-barang terlarang khususnya dari wilayah Limbang dan Lawas.
- Mencadangkan agar Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Malaysia menimbangkan pembinaan jambatan menyeberangi sempadan dari Temburong ke Limbang di Sungai Pendaruan bagi keselamatan dan keselesaan pengguna laluan tersebut.
- Menyarankan agar pihak berkenaan membina Jejantas (fly-over) di Lebuhraya Belait-Tutong Di Jalan Masuk Ke Tanjong Maya bagi melicinkan perjalanan dan mengurangkan risiko kemalangan jalanraya.
- Merayu agar pihak berkenaan melonggarkan peraturan permohonan kepada pemohon Tanah Tumpang Sementara (TOL) untuk Pertanian yang menunjukkan minat dibidang pertanian disamping itu bertindak tegas mengambil semula tanah-tanah TOL yang telah diberikan kepada pemohon tetapi tidak diusahakan bersungguh-sungguh atau dilepaskan ketangan warga asing untuk mengusahakannya.
- Mencadangkan agar klinik-klinik kesihatan di kawasan pedalaman menyediakan apa jua bentuk kemudahan yang sewajarnya, seperti mesin-mesin rawatan dan alat-alat bantuan kecemasan, ubat-ubatan yang mencukupi dan berkualiti dan pegawai perubatan yang terlatih untuk merawat kes-kes kecemasan pada sepanjang masa.
- Mencadangkan agar pihak berkenaan membina jalan-jalan penghubung ke tapak-tapak pertanian yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian melalui koperasi, ke tapak-tapak pertanian yang disediakan oleh pihak kerajaan atau ke tapak-tapak pertanian persendirian yang berdaya maju, dan jalan-jalan ketapak-tapak pertanian sedia ada pula hendaklah dibaikpulih dan sentiasa disenggara.
- Menyarankan agar pembinaan sekolah-sekolah Vokasional dilaratkan ke kawasan pendalaman.
- Mencadangkan supaya skim penyangaraan jalan-jalan kecil di kampung-kampung pedalaman diadakan semula dan memberikan peluang penyenggaraan berkenaan kepada kontraktor-kontraktor tempatan.
- Merayu agar pihak berkenaan mengiktiraf pesta menuai Adau Gayoh setiap 1hb Jun, diiystiharkan sebagai hari kelepasan awam.
- Mencadangkan agar perkhidmatan bas-bas awam dilaratkan ke pedalaman bagi kemudahan masyarakat desa khususnya yang tidak mempunyai kenderaan sendiri.
- Mencadangkan agar lampu isyrat di Kampong Sengkarai diganti dengan jejantas “Fly-Over” berikutan kerapnya berlaku kemalangan sehingga ada yang mengakibatkan kematian dipersimpangan tersebut.
- Mencadangkan agar Jalan Kecil Mungkom ke Limau Manis yang digunakan sebagai laluan alternatif ke Limau Manis dan Limbang yang semakin sibuk dilebarkan dan di “upgrade”.
- Merayu agar bayaran letrik dari kalangan pengguna yang berpendapatan rendah diberikan subsidi bagi meringankan beban tanggungan mereka yang berkenaan.
- Merayu supaya pihak berkenaan menyediakan tangki-tangki air kepada rumah-rumah di bawah Rancangan Perumahan Negara dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati.
- Mencadangkan agar pemasangan dan pemantauan pili-pili Bomba dapat dilaratkan hingga meliputi ke jalan-jalan kampong.
- Mencadangkan supaya pemberian lesen kepada agensi pekerja asing dikaji dan diteliti bagi mengelakkan ia disalah gunapakai oleh agensi-agensi berkenaan.
- Merayu agar permit penggunaan kenderaan bagi kegunaan sekolah-sekolah memandu yang kini dihadkan kepada 10 tahun dapat diperpanjang tanpa had selagi kenderaan berkenaan disahkan berada dalam keadaan baik dan selamat oleh Jabatan Pengangkutan Darat.
- Merayu agar pembaharuan semula geran pajakan tanah yang telah mansuh selepas 55 tahun tidak dikenakan bayaran premium yang tinggi kepada pemilik-pemilik. Satu kadar yang lebih munasabah, tidak membebankan dan bertimbang rasa hendaklah dipertimbangkan oleh pihak berkenaan.
- Mencadangkan agar elaun penuntut BND 45.00 di kaji semula pada kadar yang lebih munasabah memandangkan kadar elaun tersebut tidak memadai kerana kos saradiri begitu tinggi sekarang ini dan kadar bulanan yang munasabah dicadangkan BND 150.00.
- Menggesa supaya pihak berkenaan melakukan bacaan meter air pada setiap dua bulan sekali secara tetap bagi mengelakkan bil air menjadi tertunggak dan tinggi kerana ia amat membebankan pengguna.
- Menggesa supaya pihak berkenaan meneliti jika terdapat sebarang diskrimanisai ke atas pekerja-pekrja tempatan crew cabin di Royal Brunei Airlines dan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi sebarang masalah berkaitan ketidakpuasan hati kumpulan pekerja tempatan berkenaan.
- Menggesa agar semua pekerja sektor swasta diberkan Kurnia sara hidup daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan seperti apa yang dinikmati oleh kaki tangan awam.
- Merayu pihak berkenaan agar menaikkan Pencen Tua dari $250.00 kepada $500.00 sebulan bagi meringankan bebanan warga emas yang kebanyakannya tertekan dengan kos saradiri yang amat tinggi dewasa ini.
- Menyeru pihak berkenaan agar menubuhkan Agensi Kawalan Harga Barang yang mempunyai kuasa mendakwa kepada pesalah-pesalah.
- Menyeru pihak-pihak berkenaan supaya tidak melibatkan kanak-kanak sekolah yang hendak menghadapi peperiksaan awam menyertai sebarang aktiviti sambutan perayaan pada tahun-tahun berkenaan.
Sementara itu laporan lengkap perjalanan Kongres Agung Tahunan NDP ke-3 termasuk usul-usul yang diluluskan telah sempurna disembahkan kehadapan majlis KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam 22 Disember 2008 lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Usul Kongres ke-3 juga telah memanjangkan semua usul-usul tersebut kepada pihak-pihak yang berkenaan di Kementerian-kementerian dan Jabatan-Jabatan berkaitan untuk perhatian dan tindakan seterusnya.