BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 28 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menyarankan supaya segera mengatasi jika terdapat kepincangan dalam dasar dan sistem pendidikan ugama yang menyebabkan terdapatnya anak-anak yang tidak celik Al-Qur’an dan ugama.
“Jika dasar dan sistem itu masih ada kepincangannya, maka kita tidak boleh mendiamkan diri, melainkan mesti segera mengatasinya,” titah baginda di Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1430 Hijrah / 2009 Masihi, berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa di sini.
Terdahulu baginda bertitah, sepatutnya memang tidak berbangkit lagi terdapat anak-anak yang tidak celik Al-Qur’an dan agama, kerana menurut baginda, sekolah ugama telahpun wujud di negara ini semenjak lebih dari 50 tahun.
“Jika terdapat juga orang-orang yang masih tidak celik di kalangan generasi sepanjang 50 tahun itu hingga sekarang, maka kita tentu saja berhak bertanya : Mengapa? Tidakkah ini menunjukkan mereka itu tercicir dari mendapat pendidikan di sekolah ugama? Dan mengapakah mereka tercicir?” tegas baginda.
Pada hemat baginda, jawapan kepada soalan itu bukanlah tidak penting, tetapi sangat penting kerana ia menyangkut perkara dasar dan sistem pendidikan ugama itu sendiri.
Pada majlis itu, baginda juga bertitah pertandingan membaca Al-Qur’an dihasratkan untuk menyubur dan membangkitkan lagi semangat belajar Al-Qur’an dengan bacaan yang baik dan indah.
Bacaan yang baik dan indah titah baginda, akan tambah merangsang kemajuan pembelajaran Al-Qur’an itu.
Baginda seterusnya bertitah, orang-orang yang pandai Al-Qur’an dengan sendirinya akan menghayati Al-Qur’an dan jelas baginda itulah rahsia Al-Qur’an dan ia akan jinak kepada ahlinya, yakni siapa yang pandai serta sentiasa menyukainya, dan akan jauh dari siapa yang berkenaan sebaliknya.
“Ahli Al-Qur’an pasti rajin membacanya, kerana dia tahu membaca Al-Qur’an itu mendatangkan rahmat dan pahala. Hati yang gusar dan jiwa yang resah akan tenang dengan membaca Al-Qur’an. Dalam makna, semua gangguan rohani, insya-Allah akan terubat dengan Al-Qur’an,” titah baginda.
Demikian itulah hebatnya Al-Qur’an titah baginda, di mana Al-Qur’an adalah suluh daripada Allah Ta’ala, mempunyai kuasa luar biasa untuk menyuluh hidup ini dan juga kehidupan sehingga ke dasarnya.
“Sebab itu orang Islam, tidak boleh tidak, mesti pandai membaca Al-Qur’an, atau jadi ahli Al-Qur’an. Kerana jika tidak, mereka akan kehilangan suluh yang berkuasa luar biasa ini,” titah baginda lagi.
Cara untuk pandai itu titah baginda seterusnya, tidak lain mesti dengan belajar dan wajib belajar. Kalau tidak belajar, akan punahlah harapan untuk jadi ahli Al-Qur’an itu.
“Kerana itu, kewajipan kita semua, ialah belajar, lebih-lebih lagi anak-anak. Pastikan mereka itu tidak memilih jalan berkecuali dari mempelajari Al-Qur’an dan ugama,” titah baginda. (Dipetik dari Pelita Brunei)