MENUJU KE ARAH WAWASAN BRUNEI 2035

Wawasan 2035 dan cabaran belanjawan negara

 
 

LIMBARUH HIJAU 10 MEI 2008 - Menurut Rancangan Kemajuan Negara (RKN) bagi tahun 2007 - 2012, Kerajan memerlukan sejumlah BND 9.5 billion untuk melaksanakan sebanyak 257 program-program pembangunan dalam jangka waktu 5 tahun ini yang bermula dari tahun 2007.

Sejumlah 826 projek-projek telah di kenal pasti untuk dilaksanakan melalui 257 program-program pembangunan yang telah di kenalpasti itu.

Projek-projek pembangunan yang akan dilaksanakan termasuklah projek perumahan negara, pembinaan prasarana, kemudahan-kemudahan awam, pemuliharaan alam sekitar, pendidikan, perkembangan sumber tenaga manusia, mempelbagai ekonomi, memajukan pengusaha kecil dan sederhana dan lain-lain yang menepati hala tuju ke arah wawasan menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara yang mempunyai rakyat dan penduduk yang berpendidikan dan berkemahiran, rakyat dan peduduk yang menikmati pendapatan per kapita yang tinggi dan menikmati kualiti kehidupan yang tinggi seperti 10 negara termaju di dunia.

Proses perlaksanaan untuk merealisasikan Wawasan 2035 ini sedang dan akan terus berlaku dalam jangka waktu 27 tahun dari sekarang.

Menurut perkiraan dalam RKN 2007 - 2012, Kerajaan dijangka akan membelanjakan purata BND1.7 billion setahun untuk perlaksanaan projek-projek dibawah program-program pembangunan tersebut.

Di perkembangan yang lain pula, Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di sesi persidangannya kali ke 4 pada bulan Mach lalu telah meluluskan Akta Perbekalan bagi jumlah hampir BND 4.8 bilion bagi perkhidmatan-perkhidmatan dalam Tahun Kewangan 2008/2009 yang telah berkuat kuasa bermula pada 1 April lalu.

Dari jumlah tersebut sejumlah BND 1.05 billion telah diperuntukkan kepada pembangunan di 8 sektor yang termasuk sektor perkhidmatan sosial, pengangkutan dan perhubungan, kemudahan awam, ICT, bangunan Kerajaan, keselamatan, perkembangan sains dan teknologi dan penyeledikkan.

Pecahan peruntukkan BND 1.05 billion itu adalah seperti berikut:

1- Sektor perkhidmatan sosial (pendidikan, perkembangan usahawan, perkembangan sumber manusia dll) - BND 287.7 juta

2- Industri an perdaggangan - BND 210 juta

3- Penganguktan dan Perhubungan - BND 123 juta

4- Penggunaan Awam - BND123 juta

5- ICT - BND 97.4 juta

6- Bangunan Awam - BND 96.6 juta

7- Keselamatan - BND 81.4 juta

8- Sains dan Teknologi - BND 9.8 juta

Persoalannya sekarang apakah pihak-pihak tertentu yang telah diberikan peruntukkan tersebut mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk menggunakan peruntukkan tersebut sebaiknya?

Dalam hal ini Awang Haji Bahrain, Setiausaha Tetap di Kementerian Kewangan telah mengingatkan ketua-ketua jabatan kerajaan agar terus berusaha mengambil langkah bijak bagi memastikan pengurusan kewangan jabatan dilaksanakan secara bertanggungjawab dan berhati-hati.

Beliau membuat peringatan tersebut di sesi jerayawara Belanjawan bagi tahun 2008 - 2009 yang berlansgung di bangunan Majlis Mesyuarat Negara.

Menurutnya perbelanjaan negara harus dijimatkan kerana negara terlalu bergantung pada pendapatan hasil minyak dan gas yang merupakan sumber yang tidak kekal.

Sektor berkenaan menyumbang kira-kira 87 peratus daripada keseluruhan pendapatan hasil negara serta juga merupakan salah satu faktor ke arah perhitungan hasil pendapatan negara.

Menurut Awang Nazmi Mohamad, Pemangku Pengarah Kewangan pula, terus bergantung kepada hasil minyak dan gas untuk menjana pembangunan boleh mendatangkan masalah besar kepada negara memandangkan sumber minyak dan gas yang tidak kekal.

Faktor-faktor lain yang juga boleh menjejaskan hasil pendapatan negara ialah penurunan kadar pengeluaran dari tahun sebelumnya akibat keperluan membaik pulih kemudahan, peningkatan kos pengeluaran akibat kematangan telaga dan kenaikan kos pengeluaran minyak dan gas, katanya.

Dalam sesi taklimat tersebut beliau juga menggambarkan satu senario yang mengerunkan iaitu kemungkinan kerajaan akan mengalami belanjawan defisit antara BND 3.2 ke BND 5 billion setahun jika pendapatan hasil minyak dan gas sudah tidak ada lagi.

Buat masa ini kerajaan masih menikmati lebihan belanjawan dalam anggaran sejumlah BND 1 billion setahun. Contohnya bagi tahun 2001 - 2005, pendapatan purata negara setahun berjumlah BND 5.6 billion manakala perbelanjaan purata setahun hanya BND 4.6 billion.

Akan tetapi ini tidak lagi akan berlaku jika pendapatan dari sumber minyak dan gas terhenti dan negara pula masih belum berjaya mempelbagai ekonominya.

Dalam lain perkataan, perjalanan menjuju ke arah matlamat wawasan 2035 boleh terbantut dalam jangka waktu satu dua dekad ini jika sumber minyak dan gas berhenti mengalir untuk menjana pembangunan negara.

Apa yang merisaukan, kita telah terlepas peluang sepanjang 24 tahun yang lalu untuk membina ekonomi yang lebih mantap, dinamik dan berdayatahan. Secara keseluruhan seperti yang telah dilaporkan di dalam buku Perencanaan Kemajuan Jangka Panjang, pencapaian empat siri RKN yang lalu (1986 - 2005) adalah tidak begitu memberangsangkan.

Sekarang kita sedang berada dalam 'injury time'. Sumber minyak dan gas di ramalkan hanya dapat bertahan dalam jangka waktu 20 ke 30 tahun sahaja. Jika pun ia dapat bertahan selama 50 tahun lagi, harga minyak akan terus tidak menentu, kos pengeluaran akan terus meningkat, gelombang globalisasi yang membawa bersamanya tren perdaggangan yang sangat kompetitif akan terus mempengaruhi masa depan survival bangsa kita.

Di bidang ekonomi, kita masih merangkak untuk mempelbagai ekonomi. Keselematan makanan belum terjamin, masih begantung penuh kepada barangan import. Di bidang pendidikan kita sedang berkejar masa dalam usaha menghasilkan lebih ramai rakyat bependidkan tinggi, di bidang sosial pula kita sedang berhadapan dengan masalah kemskinan, masalah perumahan, pengganguran dan masalah sosial yang melibatkan ramai tunas bangsa kita.

Apakah kita mampu menangani semua cabaran ini dengan baiknya dalam keadaan sekarang kita sedang berkejar dengan masa?

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.