'Sang Setia' di persoal lagi

 
 

LIMBARUH HIJAU 08 MEI 2008 - PRESIDEN DAN AHLI-AHLI Majlis Tertinggi Parti Pembangunan Bangsa (NDP) kelmarin dikejutkan lagi dengan isu bendera 'Sang Setia'.

ANJUNG SYURA, bilek mesyuarat NDP menjadi suram seketika apabila Awang Haji Hanafi Haji Mohd Daud, Naib Presiden NDP Tutong membawakan isu tersebut kepada Presiden dan ahli-ahli Majlis Tertinggi parti di sidang mesyuarat bulanan mereka.

Menurut Naib Presiden NDP Tutong, beliau telah dijemput ke Balai Polis Tutong baru-baru ini untuk di ambil keterangan berhubung penggunaan bendera 'Sang Setia' di markas NDP Tutong pada 8 Disember tahun lalu.

Pada 8 Disember 2007, NDP pusat telah menggunakan markas NDP Tutong untuk mengadakan muzakarah khas ahli-ahli jawatankuasa Badan Perhubungan Daerah seNegara.

Menyedari ramai ahli-ahli dari Brunei-Muara, Belait dan Temburong

tidak pasti dan kemungkinan akan sesat menuju ke lokasi markas NDP Tutong, sehelai bendera 'Sang Setia' telah diikat di pagar pintu masuk ke markas tersebut sebagai tanda arah
tunjuk kepada mereka yang datang dari luar daerah.

Tidak di sangkakan perbuatan menggunakan 'Sang Setia' itu rupanya tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu yang melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis Tutong.

Berikutan laporan tersebut, beberapa pegawai polis dari Balai Polis Tutong berkunjung ke markas NDP Tutong untuk menyiasat. Mereka megarahkan NDP supaya ianya tidak digunakan. NDP akur dan menanggalkan serta merta bendera 'Sang Seta' dari pagar tersebut.

Lima bulan telah berlalu, isu penggunaan bendera 'Sang Setia' di markas NDP Tutong yang dikira sudah selesai rupanya masih belum lagi hilang dari ingatan polis.

Sekarang isu itu diangkat semula sebagai satu kes polis. Minggu lepas, Haji Hanafi yang berumur lebih 80 tahun, di panggil ke balai untuk di ambil keterangan.

Setelah itu 3 orang pegawai polis di hantar ke Limbaruh Hijau, markas pusat NDP di Jerudong untuk 'mencari' lagi Haji Hanafi.

Tidak cukup dengan itu, ketika Haji Hanafi sedang sibuk bermesyuarat pada 3 Mei 2008 di Permesyuaratan Perhubungan Daerah SeNegara bagi suku ke dua tahun 2008, beliau menerima panggilan telefon lagi dari pihak polis yang meminta beliau untuk hadir sekali lagi ke balai polis Tutong.

Seterusnya pihak polis meminta Haji Hanafi menyerahkan bendera 'Sang Setia' ke balai polis Tutong.

Perkara ini dibentangkan oleh Haji Hanafi ke mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi NDP untuk makluman bersama.

Beliau nampak kecewa dan sedih ketika memaklumkan perkera tersebut kepada Majlis Tertinggi NDP.

Presiden dan ahli-ahli Majlis Tertinggi yang hadir turut terkilan dengan perkara tersebut.

Sebenarnya penjelasan sudah dibuat kepada pihak polis Tutong dan pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengenai perkara tersebut lima bulan lepas.

Persoalannya kenapa ianya ditimbulkan lagi oleh pihak polis dan diangkat pula menjadi satu kes polis?

Apakah mungkin pihak polis sedang membuat persediaan untuk mengheret NDP atau Haj Hanafi sendiri ke mahkamah atas sebab tuduhan menggunakan bendera 'Sang Setia' tanpa kebenaran?

Jika itu matlamatnya apakah kesudahan yang ingin mereka capai?

Jika pihak kerajaan menang dalam kes tersebut, Haji Hanafi mungkin akan di denda atas kesalahan menggunakan bendera 'Sang Setia' tanpa kebenaran.

Jika kalah, Haji Hanafi dan NDP akan terlepas dari masalah bendera tersebut.

Walau apa pun, kesudahan bagi kedua-dua kemungkinan itu jelas tidak mendatangkan banyak kebaikkan di pihak kerajaan yang sedang berusaha membawa negara melalui pembaharuan politik seperti yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Ianya juga sangat memalukan. Bayangkan berapa kos perbelanjaan yang telah digunakan membayar gaji-gaji pegawai-pegawai polis untuk menjalankan penyiasatan keatas kes NDP menggunakan bendera 'Sang Setia' itu.

Bayangkan berapa banyak masa yang dibuang untuk menyiasat Haji Hanafi dan NDP berkenaan penggunaan bendera 'Sang Setia' 5 bulan lepas itu sedangkan ada lagi masalah-masalah yang lebih besar dan lebih serious yang sepatutnya diberikan tumpuan perhatian sepenuhnya.

Bayangkan publisiti yang buruk yang akan di terima oleh negara jika isu tersebut sampai ke telinga pemerhati-pemerhati politik antarabagsa dan aktivis-aktivis Hak Asasi Manusia.

Hanya di sebabakan sangka buruk terhadap sehelai bendera 'Sang Setia', imej negara rosak. Sayang seribu kali sayang.

Penggunaan sehelai bendera 'Sang Setia' belum tentu dapat mengancam keselamatan negara di banding dengan penyalahgunaan kuasa, rasuah, penyalahgunaan dadah, jenayah mencuri, merogol dan lain-lain masalah sosial yang sedang melanda negara ketika ini.

Lagi pun seperti yang diwar-warkan oleh NDP, 'Sang Setia' adalah lambang kesetiaan yang tidak berbelah bahagi seluruh anggota NDP kepada KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan, zuriat-zuriat Baginda dan Kerajaan.

Dalam erti kata lain NDP akan terus bersama KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Kerajaan dalam semua usaha memelihara dan mempertahankan keselamatan, keamanan dan kemakmuran negara dan bangsa dari apa jua ancaman.

Makanya apabila penggunaan bendera 'Sang Setia' dipersoalkan, NDP tersinggung kerana ia seolah-olah memersoalkan kesetiaan seluruh anggota NDP kepada KDYMM dan Kerajaan Baginda.

Laporan awal isu bendera 'Sang Setia' di Tutong pada 8 Disember 2007:

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.