Pulau Batu Puteh Milik Singapura, Terumbu Karang Tengah Milik Malaysia
 
 

24 MEI 2008 - MEMPERTAHANKAN keutuhan dan kedaulatan wilayah tidak di pandang sebagai satu isu ringan oleh Malayisa mahupun Singapura walaupun wilayah yang di pertikaikan hanya sekubit iaitu sebesar dua padang bola.

Selama 28 tahun Malaysia dan Singapura bertikai mempertahankan hak masing-masing ke atas Pulau Batu Puteh, Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatan.

Masing-masing tidak mahu kalah. Masing-masing berusaha gigih mencari jalan terbaik memperkuatkan tuntutan keatas wilayah yang di pertikaikan.

Pelbagai bukti, seperti rakaman suara, peta dan dokumen berdasarkan latarbelakang sejarah dan prinsip undang-undang antarabangsa seperti penemuan, pemisahan, pertambahan, serahan, serta peraturan "uti possidetis" iaitu sempadan negara-negara baru merdeka berdasarkan sempadan wilayah jajahan lama, kesinambungan dan kesamaan sempadan, telah diketengahkan oleh kedua-dua pihak.

Tidak kurang juga kedua-dua pihak menghantar delegasi yang berwibawa dalam bidang masing-masing untuk

mempastikan perjuangan mempertahankan kedaulatan wilayah berjalan dengan lancar dan tidak menjejaskan maruah bangsa dan negara.

Pasukan Singapura diketuai oleh Tommy Koh - Duta Kelana di Kementerian Luar Repblik Singapura. Beliau juga merupakan profesor undang-undang di Universiti Kebangsaan Singapura. Juga di ketengahkan ialah Chao Hick Tin - Peguam Negara, S. Jayakumar, Timbalan Perdana Menteri Singapura.

Delegasi Malaysia pula tediri Tan Sri Abdul Kadir Mohamad - Duta Kelana, juga Penasihat Perdana Menteri mengenai Hal Ehwal Luar Malaysia, Datuk Noor Farida Ariffin - Duta Besar Malaysia ke Belanda dan Tan Sri Abdul Gani Patail - Peguam Negara.

Malaysia juga mendapatkan khidmat dari pakar-pakar yang terdiri dari Sir Elihu Lauterpacht - profesor Undang-undang Antarabangsa di Universiti Cambridge, James Crawford - profesor Undang-undang Antarabangsa di Universiti Cambridge, Nicolaas Jan Schrijver - profesor Undang-undang Antarabangsa Awam, Universiti Leiden, Marcelo G. Kohen - profesor Undang-undang Antarabngsa, Graduate Institute of International Studies, Geneva, Penelope Nevill, pensyarah Downing College, Universiti Cambridge.

Berbagai-bagai alasan dan pendirian di bentangkan oleh kedua-dua pihak untuk memperkukuhkan tuntutan masing-masing. Antaranya alasan sejarah, alasan Malaysia berdiam diri, alasan pentadbiran Rumah Api Horsburgh, alasan empayar, alasan jarak, alasan bahawa Pulu BatuPuteh merupakan Terra Nullius iaitu tempat tidak dituntut oleh negara berdaulat yang disahkan oleh kuasa Barat, alasan Perjanjian 1824, alasan Perjanjian Crawfurd, alasan Surat Temenggung Johor, alasan Operasi Rumah api dari Singapura dan Peta Malaysia 1979 serta Surat Gabenor Butterworth.

Akhirnya Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah menetapkan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh manakala Malaysia memiliki Terumbu Karang Tengah (Middle Rocks), dan Terumbu Karang Selatan (South Ledge) pula adalah milik negara di mana terletaknya perairan wilayah.

Penghakiman itu menamatkan pertikaian hampir tiga dekad antara Malaysia dan Singapura berhubung pulau itu, yang dikenali di Singapura sebagai Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge.

Mengenai Pulau Batu Puteh, ICJ memutuskan 12 undi menyokong berbanding empat menentang bagi menetapkan kedaulatan pulau itu milik Singapura.

ICJ mengundi 15 berbanding 1 bahawa kedaulatan Terumbu Karang Tengah adalah milik Malaysia dan jumlah undi yang sama diterima untuk menetapkan bahawa kedaulatan Terumbu Karang Selatan milik negara di mana terletaknya perairan wilayah.

Pulau Batu Puteh terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh, Johor.

Penghakiman itu dibacakan oleh Naib Presiden ICJ Shawkat Al-Khasawneh, sebagai pemangku presiden dalam kes ini, pada har Jumaat pukul 10 pagi waktu Belanda dan menamatkan bacaan keputusan itu lima minit sebelum tengah hari.

Shawkat dan 15 hakim lain mendengar penghujahan daripada kedua-dua negara dari 6 hingga 23 Nov tahun lepas.

Pertikaian mengenai kedaulatan pulau itu tercetus pada 14 Feb 1980 apabila Singapura membantah terhadap penerbitan sebuah peta Malaysia pada 1979 yang menunjukkan Pulau Batu Puteh terletak di dalam perairan wilayah Malaysia.

Pertikaian terhadap Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatan pula bermula pada 6 Feb 1993.

Dalam penghakimannya, Mahkamah itu berkata setelah meneliti keterangan oleh kedua-dua pihak ia mendapati Kesultanan Johor mempunyai hak milik asal Pulau Batu Puteh dan telah disahkan secara semula jadinya Sultan Johor berkuasa terhadap Orang Laut di situ.

Orang Laut telah menghuni atau mengunjungi pulau-pulau di Selat Singapura termasuk Pulau Batu Puteh dan menjadikan kawasan maritim itu habitat mereka.

Bagaimanapun Mahkamah itu mendapati kedaulatan berkenaan diserahkan kepada Singapura pada 1980 semasa tercetusnya pertikaian terhadap pulau itu.

Ia merumuskan bahawa dengan mengambil kira tindakan Singapura dan mereka yang terdahulu dalam menggunakan kuasa kedaulatan dan tindakan Malaysia serta mereka yang terdahulu, termasuk kegagalan memberi tindak balas terhadap tindakan Singapura dan pihak terdahulu, sehingga tercetusnya pertikaian kedaulatan pada 1980 terhadap Pulau Batu Puteh yang terlepas kepada Singapura.

Ia mendapati bahawa tindakan tertentu seperti penyiasatan terhadap bangkai kapal oleh Singapura dalam wilayah perairan pulau itu dan kebenaran yang diberikan atau yang tidak diberikan kepada pegawai Malaysia untuk meninjau perairan di sekeliling pulau itu, mungkin boleh dilihat sebagai perakuan kedaulatan.

Ia berkata perkara itu diperkuatkan lagi oleh tindakan pihak-pihak berkenaan dalam menyokong dakwaan Singapura seperti ketiadaan reaksi daripada Malaysia terhadap pengibaran panji-panji Singapura di pulau itu, pemasangan peralatan komunikasi tentera di pulau berkenaan pada 1977 dan cadangan penambakan oleh Singapura untuk membesarkan pulau itu serta beberapa penerbitan dan peta tertentu.

Mahkamah itu juga mendapati bahawa surat bertarikh 21 Sept 1953 oleh Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor menunjukkan bahawa kerajaan Johor tidak menuntut hak milik terhadap pulau itu dan pada 1953 Johor memahami bahawa ia tidak mempunyai kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh.

Semasa penghujahan, Malaysia menegaskan bahawa ia mempunyai hak milik asal terhadap Pulau Batu Puteh lama sejak penduduk terdahulu, Kesultanan Johor dan terus kekal memegang hak milik itu.

Singapura pula mendakwa bahawa pulau itu merupakan terra nullius atau tanah tidak berpemilik pada pertengahan 1880-an apabila United Kingdom (yang lebih dahulu) mengambil alih pulau itu bagi membina rumah api (Horsburgh Lighthouse.)

Bagi Terumbu Karang Tengah, Mahkamah itu berkata keadaan tertentu yang membawa kepada pemilikan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura adalah jelas tidak terpakai ke atas Terumbu Karang Tengah.

Oleh itu Mahkamah memutuskan bahawa hak milik asal patut terus kekal dengan Malaysia sebagai pengganti Kesultanan Johor.

Mengenai Terumbu Karang Selatan pula, ICJ, alat utama Pertubuhan Bangsa Bersatu mengakui bahawa beting itu jelas terletak di perairan wilayah yang bertindih diwujudkan dari Pulau Batu Puteh dan Terumbu Karang Tengah.

Memandangkan mandat tidak diberi oleh kedua-dua pihak untuk menggariskan had sempadan dalam perairan wilayah masing-masing di kawasan itu, ICJ memutuskan bahawa kedaulatan Terumbu Karang Selatan adalah milik negara dalam mana perairan wilayah itu terletak.

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.