LIMBARUH HIJAU 07 MEI 2008 - 'Politik Brunei - Antara Harapan dan Realiti' merupakan topik ucapan sdr Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP) di Majlis Permesyuaratan Perhubungan Daerah SeNegara bagi suku ke dua tahun 2008 yang berlangsung di 'The Holiday Lodge Hotel' di Jerudong Sabtu lalu.
Bertolak dari topik tersebut, sdr Morshidi mengupas isu pembaharuan politik di Brunei, harapan rakyat terutama sekali ahli-ahli NDP untuk menjadi pelaku yang aktif dalam proses tersebut dan suasana semasa yang menyelubungi proses pembaharuan itu.
Pengalaman NDP selama hampir 3 tahun ini jelas mencerminkan 'Politik Brunei - Antara Harapan an Realiti'.
Dari satu sudut terdapat isyarat menunjukkan Brunei sudah membukakan ruang untuk proses tersebut berjalan lancar. Dari sudut yang lain terdapat pula isyarat menunjukkan semua itu sebenarya hanya wayang kulit gimik demokrasi untuk tontonan pemerhati-pemerhati politik masyarakat antarabangsa dan Hak Asasi Manusia.
"Semasa kita merangka Manifesto NDP pada 2005-2006 yang lalu, kita telah meletakkan “Proses Pembangunan Dan Pembaharuan Politik” sebagai yang kedua terpenting selepas tajuk agama, iaitu dari 20 tajuk besar yang di garapkan".
"Kita telah menetapkan sasaran semoga dalam tempoh 10 tahun, iaitu menjelang 2016, harapan dan Wawasan yang kita gubal pada 2006 itu akan terlaksana", ujar sdr Morshidi.
Namun, tambahnya, saya sedar betapa sulitnya untuk kita melaksanakan tanggung jawab politik dan tanggung jawab bernegara melalui pelantar politik.
"Kekadang kita terfikir ada benarnya pandangan teman-teman yang mengatakan suasana berpolitik di Brunei belum kondusif", keluh sdr Morshidi.
"Apa pun natijahnya, kita telah berjaya membangunkan sebuah parti politik yang bernama Parti Pembangunan Bangsa dan menggariskan hala tuju perjalanannya yang jelas. Alhamdulillah, kita tahu dari mana kita bertolak dan kemana kita hendak tuju. Insyaallah".
"Kita berazam untuk berjalan terus menyokong dan membantu Kebawah DYMM dan Kerajaan seperti yang termaktub didalam perlembagaan dan manifesto politik parti kita sehinggalah ada isyarat jelas bahawa NDP tidak dikehendaki lagi dipersada pembangunan bangsa" tegas sdr Morsidi lagi.
Katanya setakat ini belum ada isyarat yang menunjukkan bahawa NDP tidak dikehendaki.
"Cumanya, isyarat-isyarat yang dikirim dilihat bercampur baur dan seperti tidak konsisten. Kekadang kita jadi bingung, “betul ke inda nie…”, kata sdr Morshidi lagi.
REALITI POLITIK BRUNEI
Menurut pandangan sdr Morshidi, di satu sudut kerajaan telah membuat persediaan untuk pembaharuan politik dengan menghidupkan semula Majlis Mesyuarat Negara, membuat pindaan perlembagaan yang sewajarnya, membena Bangunan Parlimen yang indah, membenarkan aktivitis-aktivis politik yang sebelum ini terhalang untuk bergiat semula dalam politik dan beberapa petanda lain.
"Disudut yang lain, kita terkesan dengan hambatan-hambatan yang ditimpakan keatas NDP sehingga memperlahankan kemajuannya sekali gus turut memukul hasrat perubahan yang dibawa oleh Kebawah DYMM".
"Mungkinkah hambatan-hambatan yang ditimpakan keatas NDP selama ini berupa provokasi untuk melambat-lambatkan perubahan tersebut?".
"Apakah mungkin sebarang reaksi berlebihan dari pihak kita akan dijadikan justifikasi bahawa rakyat belum matang dan tidak bersedia lagi kearah sebarang pembaharuan politik yang tertib, justeru pembaharuan yang akan dilakukan itu perlu “mengambil masa yang lama”. lagi?".
REALITI POLITIK BRUNEI - PERANAN BADAN PERHUBUNGAN NDP
"Kita sedar bahawa selama ini kefahaman mengenai pembaharuan politik cuba disisihkan dari pemikiran rakyat melalui pelbagai cara dan tindakan. Hasilnya kita dapati satu keadaan di mana sebahagian besar rakyat menjadi ‘timid’, pasif atau lebih teruk lagi, fobia dengan politik".
"Rakyat sepatutnya tidak perlu takut kerana pembaharuan politik ini bukan rekaan dan ciptaan NDP, tetapi adalah hasrat murni Kebawah DYMM", tegas sdr Morshidi.
Tambahnya, jJika kita menggelar diri kita sebagai rakyat yang taat dan setia, tentulah kita tidak teragak-agak lagi untuk menyambut dan menjunjung titah pembaharuan yang dicetuskan oleh Kebawah DYMM Sultan Dan Yang Di Pertuan itu.
"Berdasarkan kerangka manifesto NDP, kita tidak mempunyai masa yang panjang untuk melonjakkan perubahan yang telah diasaskan oleh Kebawah DYMM. Kita tidak boleh lagi berpegang kepada gaya yang lama. Kita perlu melakukan anjakan paradigma dan pendekatan kita mesti berubah. Kebiasaan melakukan perubahan secara ‘small steps’ mesti dipinggirkan dan kita perlu melangkaukan langkah yang jauh dengan penuh keberanian".
"Langkah strategik untuk mengukuhkan NDP agar sedia untuk menjadi aras kuasa atau power base Kebawah DYMM bermula di sini iaitu, di setiap Badan Perhubungan Daerah. Kalau Badan Perhubungan Daerah terbudaya dengan langkah yang kecil, maka hasilnya pun kecil dan perlahan".
Akan tetapi, sdr Morshidi menekankan jika Badan Perhubungan Daerah melangkah dengan langkauan yang jauh dan berani, maka hasilnya tentulah besar dan cepat. Maka inilah satu-satunya pilihan untuk kita, jika kita benar-benar ingin menyambut dan merangsang pembaharuan yang dibawa oleh Kebawah DYMM Sultan Dan Yang Di-Pertuan.
"Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menyatu dan menggembleng seluruh tenaga dan suara rakyat dari atas hingga kebawah dan mengajak mereka untuk mengorak langkah menuju pembaharuan selaras dengan hasrat Kebawah DYMM dan tuntutan politik semasa, demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara dan menjadikan Kebawah DYMM sebagai simbol kekuatan kita semua", seru sdr Morshidi.
POLITIK BRUNEI - TEORI KITARAN 20 TAHUN
"Pada ucapan saya di Sidang MPPD Penggal Pertama Januari lalu, saya turut bercakap mengenai apa yang kita tanggapi dalam persoalan syura dan demokrasi dan kaitannya dengan apa Wawasan dan harapan kita".
"Hari ini, saya ingin pula mengambil kesempatan untuk bercakap mengenai teori kitaran 20 tahun dalam konteks landskap politik negara dan kaitannya dengan pendirian kita, serta cabaran-cabaran kearah pembaharuan politik seperti yang di hasratkan oleh Kebawah DYMM Dan Yang Di Pertuan".
Bagi memahaminya, saya mengajak saudara saudari sekalian meneliti beberapa peristiwa untuk dijadikan renungan:
- Perlembagaan/Perjanjian Perlembagaan Brunei 1959 telah memberikan Brunei sistem berkerajaan sendiri iaitu langkah pertama ke arah kemeredekaan penuh. Hanya selepas 20 tahun, iaitu Januari 1979 perjanjian baru ditanda tangani antara Brunei dan Britain yang menjanjikan kemerdekaan pada tahun 1984. Sementara untuk membuat persiapan infrastrukturnya pula mengambil masa lima tahun lagi apabila Kemerdekaan Brunei hanya dimasyhurkan pada tahun 1984.
- Sejak Ogos 1963, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri adalah dipilih melalui lantikan dan sidang terakhir Majlis tersebut adalah pada Disember 1983. Ini bermakna tempoh perjalanan Majlis Mesyuarat Negeri (antara period selepas peeristewa Pemberontakan 1962 dan sebelum Brunei Merdeka), adalah 20 tahun.
- Setelah merdeka pada tahun 1984, Majlis Mesyuarat Negeri telah digantungkan. Brunei telah mengambil masa 20 tahun lagi untuk memperkenalkan semula Majlis Mesyuarat Negara pada 25 September 2004. Antara lain perkataan, ruang vakum di antara Majlis Mesyuarat Negara yang dipulihkan pada 2004 dengan sidang terakhir Majlis Mesyuarat Negeri pada Disember 1983 ialah 20 tahun.
"Dari pengamatan kita terhadap proses kitaran peristiwa-peristiwa yang saya sebutkan itu, telah mengambil tempatnya setiap 20 tahun".
"Maknanya sesuatu perubahan besar dalam lanskap politik Brunei lazimnya berlaku dalam satu tempoh yang panjang. Normanya ialah 20 tahun".
"Sekiranya senario ini berterusan, dan kita mengambil kira dari tarikh pemulihan MMN dan Pindaan Perlembagaan 2004 itu, maka kita menjangkakan satu perubahan pembaharuan politik yang besar hanya akan berlaku seawalnya pada tahun 2024".
"Persoalannya di sini ialah, Manifesto NDP telah mensasarkan, dengan harapan untuk melihat perubahan dan pembaharuan politik berlaku dinegara kita ini dalam tempoh yang lebih singkat iaitu 10 tahun".
"Maknanya perubahan itu diharapkan semoga berlaku selewat-lewatnya pada tahun 2016 iaitu diakhir tempoh Manifesto Politik NDP 2006-2016".
"Ini menunjukkan satu pertembungan jelas di antara harapan dan wawasan NDP berbanding realiti kitaran 20 tahun yang telah berlaku sebelum ini".
"Adakah kita tersilap meletakkan sasaran perubahan 10 tahun itu sebagai begitu cepat ? Atau sasaran kita itu memang wajar tetapi realitinya, “on the ground” memang perlahan".
BRUNEI 1000 TAHUN SIANG MALAM
"Bagi segelintir golongan, mungkin tempoh yang panjang diperlukan sebelum sebarang perubahan kearah pembaharuan politik Brunei mengambil tempatnya".
"Mereka kedengaran berhujjah bahawa United Kingdom sendiri mengambil masa 900 tahun untuk menyempurnakan sistem politik mereka".
"Ya! Kita setuju dengan cerita United Kingdom dan 900 tahun siang malam ini".
"Namun, Brunei mengikut sejarah telah wujud sejak lebih 1,000 tahun yang lalu dan sudah pun boleh mengurus sebuah negara berdaulat malah telah membuat hubungan dengan Empayar China seawal 518 Masehi".
"Jadi di manakah kurangnya Brunei kalau kita bandingkan dengan sejarah United Kingdom itu?"
"Adakah evolusi politik selama 1,000 tahun itu masih belum mencukupi untuk Brunei berdiri sama tinggi dengan negara-negara demokrasi yang lain?"
"Kita percaya hujah sedemikian hanyalah cakap-cakap mereka yang tidak mahu kepada perubahan atau saja-saja cakap untuk menjustifikasikan perlunya ‘status quo’ sedia ada dipertahankan sampai bila-bila".
"Saya percaya, hujah seperti ini tidak akan melemahkan semangat kita selagi kita isitqamah, berpendirian kental, kukuh, dan tumpat untuk menyokong dan mendukong Kebawah DYMM yang kita gelar sebagai “Tokoh Pembaharuan” atau Mujaddid sehinggalah, apa yang saya katakana tadi, ada isyarat jelas bahawa NDP tidak diperlukan lagi".
"Saya yakin semua pihak percaya bahawa perubahan yang diharapkan itu lambat laun akan sampai dipangkuan kita - ia adalah fitrah yang telah diatur oleh Allah SWT yang pasti wujud dalam sesebuah sistem sosial/masyarakat".
“Dan katakanlah: Telah datang kebenaran, dan hilang lenyaplah perkara yang batil, sesungguhya yang batil itu pastinya lenyap. (Al Isra : 81)
"Mereka yang memahami hakikat ini tentunya akan menyambut perubahan itu dengan penuh hikmah dan kewarasan serta mengambil peluang yang terbaik darinya. Sebaliknya mereka yang tidak sanggup berdepan dengan perubahan, malah cuba mengekang dan menyekatnya, akan tercicir dan tersisih dari arus perubahan yang akan tiba itu Insyaallah. Malah tidak mustahil penentangan mereka itu kelak akan memakan diri sendiri".
CABARAN MENTAFSIR ISYARAT
Pembukaan semula Majlis Mesyuarat Negara pada 25 September 2004 dan pengisytiharan pindaan perlembagan pada 29 September 2004 menandakan dua peristiwa bersejarah yang akan menentukan lanskap politik Brunei di masa hadapan.
Walau bagai mana pun, menurut pandangan sdr Morshidi, pindaan Perlembagaan tersebut hanya akan memberi erti jika ia dilaksanakan sepuhnya.
Katanya pembukaan semula Majlis Mesyuarat Negara telah dibayangkan oleh Kebawah DYMM Sultan pada titah sempena menyambut perayaan ulang tahun ke-10, hari kebangsaan pada tahun 1994. Baginda bertitah antara lain,
“Suka beta nyatakan bahawa semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, langkah telah dibuat untuk meneliti Perlembagaan Negara Tahun 1959. Ianya akan selesai insya-Allah, sedikit masa lagi.”
"Tahukah saudara saudari sekalian berapa lama yang dikatakan “sedikit masa” tersebut? Jawapannya sepuluh tahun!, ujar sdr Morshidi.
Katanya secara operationalnya, kita berkeyakinan bahawa yang menentukan kerangka masa “sedikit masa lagi” ini bukanlah dari Kebawah DYMM sendiri tetapi oleh individu atau individu-individu tertentu yang diamanahkan merangka dan menyiapkan tugasan tersebut.
"Setelah 10 tahun meneliti Perlembagaan 1959 tersebut maka bersidanglah buat kali pertama Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang dibekukan sejak 20 tahun sebelumnya. Tugas pertamanya ialah membentang usul pindaan Perlembagaan 1959 yang dibentangkan oleh Pehin Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama bagi pihak Kerajaan pada 29 September 2004".
"Antara sepuluh tujuan utama pindaan tersebut, tiga daripadanya menyentuh soal pembaharuan politik iaitu:
i. Untuk memperkenalkan semula perwakilan yang dipilih ke dalam Majlis Mesyuarat Negara untuk mempertingkatkan proses konsultasi di Brunei.
ii. Untuk memperjelaskan aturan dan peraturan sistem perjalanan Majlis Mesyuarat Negara.
iii. Untuk mewujudkan satu sistem rasmi untuk Jemaah Menteri memberi nasihat kepada Kebawah DYMM Sultan dalam pentadbiran negara.
Pindaan yang dibentangkan juga bertujuan untuk memastikan wujudnya komposisi ahli-ahli yang dinamik dan pelbagai, yang akan melancarkan pertukaran pendapat yang bebas dan berterus-terang daripada pelbagai lapisan masyarakat.
"Kita amat setuju bahawa kedua-dua peristiwa bersejarah yang saya sebutkan itu memanglah berupaya membentuk satu lanskap politik yang baru di negara ini. Ini diperjelaskan lagi dengan tiga tujuan pindaan perlembagaan yang baru saya sebutkan sebentar tadi", kata sdr Morshidi lagi.
"Tetapi mari kita lihat bagaimana pula ayat yang mengakhiri usul itu. Pehin Menteri membayangkan bahawa sistem pemilihan perwakilan tidak akan diperkenalkan dalam tempoh terdekat kerana, masa diperlukan untuk mewujudkan infrastruktur pilihanraya yang adil dan tertib".
"Beliau juga mengingatkan bahawa proses ke arah pilihanraya itu adalah rumit dan akan mengambil masa yang lama", tambah sdr Morshidi merujuk petikkan ucapan Pehin Menteri yang berbunyi seperti berikut:
“We will study carefully the practices and experiences of other countries, learn from their successes and mistakes, and decide which system is best suited to our circumstances. It will be a long and difficult process, but one in which we must take time to ensure that we succeed in establishing a good and proper system.”
Kata sdr Morshidi lagi kalau sebelum ini istilah ‘sedikit masa’ mengambil masa sepuluh tahun untuk menjadi realiti, bolehkah saudara saudari bayangkan, berapa lama pula masa yang akan diambil jika dikatakan proses untuk mewujudkan infrastruktur pilihanraya yang adil dan tertib yang dikatakan akan “mengambil masa yang lama” itu?.
"Mampukah kita menganggarkan tempoh masa tersebut? Adakah perubahan yang dijanjikan itu akan berlaku sewaktu hayat kita atau mungkin di zaman anak-cucu kita nanti? Atau perubahan itu tidak langsung sempat dilakukan?"
"Sedangkan kalau kita kihat dari segi peristiwa Al Quran diturunkan misalnya, Allah telah menentukan temphnya selama 23 tahun. Begitu juga tempoh kerasulan Nabi Muhammad SAW dan juga para rasul yang lain. Semuanya ditetapkan masa yang khusus".
"Jadi adalah sesuatu yang aneh bahawa kita dalam urusan dunia ini sekalipun tidak mampu meletakkan satu tempoh masa bagi menyelesaikan satu urusan yang penting. Kita seharusnya meletakkan satu kerangka masa munasabah", tegas sdr Morshdi.
"Dalam senario yang lain, kita turut melihat, seolah-olah, aliran pemikiran untuk melambat-lambatkan proses perubahan politik itu seperti juga meresapi Badan Perencana Kemajuan Jangka Panjang Negara Brunei Darussalam yang telah mengumumkan Perencanaan Kemajuan Negara (Wawasan Brunei) 2035".
"Dalam usaha menggarap Wawasan Brunei 2035 itu, mereka dengan yakin menyatakan kononnya telah mengadakan konsultasi dengan berbagai lapisan masyarakat. Mereka, katanya mendapati rakyat menaruh harapan untuk mengekalkan “kestabilan politik” yang dinikmati oleh Negara Brunei Darussalam sekarang ini".
"Dalam konteks ini, kita tidak jelas, apakah takrif kesetabilan politik yang disebutkan itu. Apakah kerana tidak wujud demonstrasi jalanan membawa maksud telah wujud kesetabilan politik? Ataukah kerana kesabaran tinggi rakyat menghadapi kesejahteraan mereka yang kian terancam sebagai petanda wujudnya kesetabilan politik?"
"Kalau itulah lebih kurang yang dimaksudkan kesetabilan politik, maka kita berpendapat, ianya tidak lebih sekadar justifikasi penolakkan mereka terhadap gagasan pembaharuan politik yang dibawa oleh Kebawah DYMM Sultan itu", bahas sdr Morshidi lagi.
"Dengan perkataan lain, mungkin maksudnya bahawa Negara sudah cukup aman dan setabil lalu rakyat menghendaki suasana negara sekarang dikekalkan - inda payah lagi susah-susah kan pilihan raya….Wallahualam".
ISYARAT
Kata sdr Morshidi lagi, "Mengimbau kembali titah Kebawah DYMM pada majlis perasmian persidangan Majlis Mesyuarat Negara 25 September 2004, Baginda Sultan menegaskan bahawa persidangan pada 25 Septembar 2004 itu adalah satu permulaan proses ke arah perubahan yang Baginda hasratkan".
"Iaitu untuk mewujudkan struktur perundingan yang lebih formal. Ditegaskan juga bahawa dengan perubahan-perubahan yang dibuat dapatlah Baginda memikirkan bagaimana rakyat - dengan pelbagai cara – dapat melibatkan diri dalam pembangunan Negara Brunei Darussalam".
“Perubahan-perubahan ini akan membolehkan kita dengan sebaik-baiknya melindungi dan memelihara kepentingan rakyat dan negara.
Dengannya juga, dapatlah beta memikirkan, bagaimana rakyat – dengan pelbagai cara – dapat melibatkan diri dalam pembangunan Negara Brunei Darussalam.
Ini, telah beta bayangkan di dalam titah sambutan hari keputeraan yang lalu, bahawa beta berhasrat untuk mewujudkan struktur perundingan yang lebih formal, iaitu dengan mengadakan semula Majlis Mesyuarat Negara.”
Semasa membentangkan titah di majlis pemasyuran pindaan perlembagaan pada 29 September 2004, Kebawah DYMM Sultan Dan Yang Di Pertuan menegaskan pula:
“Dalam perkara melaksanakan sistem perwakilan yang dicadangkan, Beta ingin mengingatkan supaya lebih berhati-hati, demi kepentingan rakyat dan masa depan negara. Ianya tidak diragukan lagi memerlukan kajian yang lebih teliti, serta juga infrastruktur bagi proses pemilihan perwakilan, sehingga ianya benar-benar dapat diadakan dengan teratur dan aman.”
Tegas sdr Morshidi lagi petikan-petikan titah ini pada pandangan kita memberi isyarat yang sama sekali berbeza dengan senario yang kita gambarkan sebelum ini.
"Di sini kita melihat memang ada satu iltizam dan ketelusan di pihak Kebawah DYMM untuk melihat berlakunya perubahan yang Baginda hasratkan".
"Akan tetapi, perubahan yang dihasratkan oleh Kebawah DYMM itu semacam tidak berlaku yang kemungkinan besarnya, kerana, di peringkat perlaksanaan, titah Baginda Sultan itu diberi tafsiran yang berbeza oleh elit penguasa dan pentadbir sebagai penentu dan pelaksana dasar".
"Umpamanya, saya menyorot kembali, “sedikit masa” yang dititahkan untuk meminda perlembagaan telah mereka tafsirkan seolah-olah i “mesti buat beringsut-ingsut dan sikit-sikit” sehingga memakan lebih 10 tahun".
ORANG BRUNEI SUDAH KENAL PETI UNDI
"Pada hemat kita, rakyat Brunei telah mengenal peti undi 45 tahun dahulu apabila pilihan raya pertama diadakan August 1962".
"Genarasi sekarang pula telah berpengalaman mempraktiskan sistem pengundian perwakilan sejak lebih 20 tahun yang lalu melalui pemilihan ketua kampung dan penghulu. Walaupun skop perlaksanaan itu berlaku di peringkat kampung dan mukim sahaja, tapi pada dasarnya rakyat telah pun terlibat secara langsung dalam pemilihan pemimpin tempatan mereka melalui peti undi".
Maknanya, kata sdr Morshidi, dipihak rakyat, mereka telah pun berpengalaman mengamalkan sistem demokrasi dengan teratur dan aman tanpa sebarang masalah.
"Justeru jika pemilihan perwakilan diadakan di peringkat nasional, maka rakyat ini jugalah yang akan terlibat. Ini merupakan satu bukti bahawa tiada justifikasi untuk sengaja melengahkan atau menyekat perubahan politik di negara ini seperti yang dihasratkan oleh KDYMM Sutan dan Yang Di Pertuan di negara ini".
BERDATANG SEMBAH MEMOHON AMPUN
"Mohon di ampunkan, Iini bukan suatu tekanan kepada Kebawah DYMM, cuma satu andaian dan pandangan yang mungkin berbeza dengan pihak-pihak lain. Kita sekadar untuk menampilkan satu prespektif baru".
"Kebimbangan kita hanyalah soal kita sedang “bekejar dengan masa”. Kita tidak mampu untuk santai-santai lagi. Sekarang bukan zaman bermenung lagi. Sepatah kata Ayahanda Presiden kita sekarang berada dalam masa kecemasan (injury time)".
"Betapa tidaknya, dalam negeri, kita dibebani oleh krisis keyakinan terhadap keupayaan elit penguasa dan pentadbir untuk melaksanakan program pembangunan seperti yang dirancang, masaalah-masaalah sosial dan ancaman kesejahteraan rakyaat – masaalah 40,000 pemohon perumahan dan tanah lot perumahan yang belum selesai, tekanan jiwa dihidapai masyarakt yang sudah mencecah 30,000, kemiskinan yang kian meningkat, kes-kes jenayah yang kian meningkat, kes-kes muflis yang meningkat, penagihan dadah yang kian meningkat, kes-kes perceraian yang semakin meningkat, pengangguran yang kian meningkat, harga makanan yang kian tinggi…"
"Dari luar sana ombak tsunami politik demokrasi dan globalisasi kian menghampiri negara kita. Tsunami politik tersebut sudah menjatuhkan presiden Soeharto Indonesia dan menukar kerajaan, kini Tsunami yang sama sedang mengamok di Myanmar. Disebelah dinding ASEAN Tibet sedang bergolak, Bhutan dan Nepal telah pasrah dengan tuntutan demokrasi dan globalisasi…".
"Tidakkah kita melihat senario ini bak api di tali fuse bomb jangka yang sedang meniti dengan pantasnya?"
"Menyedari akan perkembangan-perkembangan tersebut, dengan rendah diri kita memberikan pandangan bahawa kita tidak boleh lagi melambat-lambatkan proses perubahan politik di Brunei ini".
"Kita sedar apa jua perubahan yang berlaku mempunyai risikonya tersendiri. Tidak ada satu pun perubahan yang seratus peratus tepat walaupun dirancang dengan penuh berhati-hati dan ketelitian. Akan tetapi risikonya jauh lebih besar sekiranya perubahan itu cuba disekat atau dilengah-lengahkan".
"Kelemahan dalam sistem penyampaian awam ada kaitan dengan masaalah yang saya nyatakan ini dan ia tetap akan berlanjutan jika sistem yang diamalkan sekarang ini tidak segera dibaikpulih".
"Puncanya semua ini, pada pandangan rakyat akar umbi ialah kerana ketiadaan mekanisma ‘akauntability’ berkesan dan imbangan dan sekatan atau ‘check and balance’ yang mewakili kepentingan dan aspirasi rakyat sejati".
"Menginsafi akan segala macam kegawatan tersebut, NDP sebagai pelantar aspirasi massa mestilah berusaha dengan penuh bijaksana untuk mengangkat sebarang benteng yang memisahkan kita dengan lain-lain principal utama Negara dan memulai langkah kita dengan penuh yakin demi mempertahankan keutuhan Institusi Kesultanan Brunei Darussalam, keutuhan wilayah dan kedaulatan bangsa dan negara".
"Kita berseru kepada seluruh paksi utama negara terdiri dari institusi orang bergelar, elit penguasa dan elit pentadbir agar dapat menerima institusi politik khususnya NDP sebagai rakan seperjuangan untuk memadamkan api yang sedang membakar fuse bomb jangka di bumi tercinta ini".
"Kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk menyokong dan membantu Kebawah DYMM melalui pelantar masing-masing untuk membina sebuah keyakinan, bahawa seluruh rakyat Baginda adalah bersatu dengan penuh taat setia kepada Baginda dan zuriat-zuriat Baginda, dan kini siap siaga menjunjung titah untuk memikul tanggungjawab seandainya Kebawah DYMM melihat bahawa telah sampai masanya bagi Negara memperkenalkan “sistem perwakilan”. seperti yang Baginda perkenani di dalam pindaan perlembagaan dan titah Baginda mengenainya sebelum ini".
SERUAN KEPADA INSTITUSI ORANG-ORANG BERGELAR
"Institusi orang-orang bergelar ada peranan sendiri sebagai salah satu paksi utama mendukong kedaulatan raja dan negara. Memetik titah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Nazrin Shah sempena Forum Khas Melayu Islam Beraja di Brunei pada tahun 2006 yang lalu. Baginda memetik titah ayahanda baginda Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah iaitu :
“Bahawa selagi rakyat menaruh kepercayaan terhadap Raja dan menghormati Institusi Raja, selagi itulah tahta tidak akan dipindahkan dari istana ke muzium… Bahawa tahta yang kini tinggal dalam sejarah, adalah kerana salah nasihat yang diberi oleh pembesar istana yang tidak bertanggungjawab, pembesar istana yang menyalah gunakan nama mulia raja.
Kekuatan dan kelemahan seseorang Raja dipengaruhi oleh kekuatan atau kelemahan terutama di kalangan mereka yang diberi amanah menjadi pembesar dan penasihat Raja. Hubungan Raja, pembesar, pemimpin dan rakyat perlu dibina secara sihat, disuburkan melalui saluran komunikasi yang berkesan. Barisan yang diberikan kepercayaan dan tanggungjawab menasihati Raja, wajib bersifat ikhlas, arif lagi berilmu, berkata benar betapa pahit sekalipun, supaya Raja tidak dibuai dalam khayalan – tidak diulit gurindam pujian. Jika jambatan komunikasi yang kukuh dapat dibina, persefahaman dapat diluluskan, hubungan harmoni dapat diakrabkan, Insya Allah Raja akan selamat bertahta, penuh berdaulat – dikasihi rakyat”.
"Kita memohon beribu ampun Kehadapan Majlis Kebawah DYMM jika kita tersorok langkah. Sesungguhnya, NDP tidak berada dalam kedudukan untuk menasihati Kebawah DYMM berhubung dengan perubahan yang diinginkan jauh sekali untuk memberikan tekanana. Itu adalah hak Baginda, seleuruh rakyat mesti menghormati hak Baginda tersebut".
"Tidak ada sebab yang wajar untuk sesiapa juga perlu memberikan tekanan kepada Baginda kerana Baginda sendiri memang sudah memiliki kecenderungan untuk melaksanakan perubahan seperti yang saya sebut tadi".
"Persoalannya kini, tinggal bagai mana seluruh rakyat dari semua paksi utama menyembahkan keyakinan, sokongan dan bantuan kepada Ke bawah DYMM dengan segala ketulusan dan keikhlasan".
"NDP juga tidak mempunyai pengaruh untuk mengubah aliran pemikiran golongan elit penguasa dan pentadbir. Kita sekadar berupaya mengangkat apa yang disuarakan dan diharapkan oleh rakyat daripada mereka".
"Dalam mana-mana struktur pemerintahan, elit pentadbir merupakan jentera dan pengantara di antara pemerintah dengan rakyat. Mereka adalah institusi yang menterjemahkan segala dasar pemerintahan kepada kaedah-kaedah perlaksanaan demi kebajikan rakyat".
"Sekiranya jentera tersebut tidak berfungsi dengan baik, maka sebahagian besar polisi dan perlaksanaan kerajaan tidak akan tercapai. Begitu juga sebaliknya. Mereka perlu peka dan memahami, serta bijak dalam mentafsir isyarat-isyarat pembaharuan yang datang dari pelbagai pihak sama ada Istana, pemerintah, atau dari bawahan yakni rakyat jelata".
PENUTUP KATA
"Saya telah bentangkan kepada saudara saudari sekalian bagaimana satu senario politik yang memberi isyarat kepada kita yang berbeza-beza dan ada kalanya bertentangan di antara satu sama lain".
"Ada ketikanya kita melihat isyarat kepada perubahan politik itu begitu memikat dan meyakinkan. Tetapi dalam ketika yang sama juga kita lihat harapan itu bagaikan fatamorgana di padang pasir. Justeru seluruh warga NDP hendaklah berhati-hati menghadapi keadaan ini jangan sampai kita terperangkap yang boleh merugikan parti".
"Saya juga telah mempamerkan satu senario mengerikan yang membawa pengertian bahawa Institusi Kesultanan, Bangsa dan Negara kita dalam keadaan “bahaya”, justeru seluruh warga Negara Brunei Darussalam hendaklah berdiri teguh di belakang Ke bawah DYMM dan zuriat Baginda yang menjadi ulil amri dan pemimpin kita. Justeru hendaklah menyuburkan pengertian dan mengukuhkan perpaduan sesama pelaku utama negara".
"Sebagai sebuah gerakan politik kita perlu merangka satu strategi berkesan untuk membantu mempercepatkan proses perubahan politik itu sebagaimana yang diwawaskan oleh Kebawah DYMM Sultan".
"Badan Perhubungan Daerah sebagai organisasi penyelaras kegiatan parti peringkat akar umbi memikul tanggungjawab besar untuk memajukan parti didaerah masing-masing dan mempastikan wawasan kita yang dirakamkan dalam Manifesto NDP 2006-2016 mencapai sasaran".
"Anadaikata kita berjaya mencapai sasaran Manifesto Politik itu, maknanya kita dalam masa yang sama telah berjaya menterjemahkan hasrat dan Wawasan rakyat terbanyak dan Insyaallah barangkali ianya juga adalah menjadi hasrat dan matlamat Kebawah DYMM Sultan dan Yang Di Pertuan sendiri", ujar sdr Morshidi.