MANILA: Kumpulan pertama pasukan pengaman Malaysia meninggalkan Filipina semalam ketika rundingan damai antara kerajaan dan pemisah Islam masih tergantung, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa pertempuran akan meletus semula di selatan negara itu.
Ketua Pasukan Pemerhati Antarabangsa dari Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Mat Yasin Mat Daud, berkata beliau berharap perjanjian damai akan ditandatangani segera. Pengunduran itu dilihat isyarat Kuala Lumpur sudah hilang sabar dengan kelembapan rundingan dianjurkannya untuk cuba menamatkan gerakan pemisah Islam selama lebih 30 tahun.
"Sepanjang yang saya tahu, misi kami sudah selesai. Kami meninggalkan asas baik bagi keamanan. Penduduk tidak perlu hidup dalam ketakutan," katanya kepada pemberita sebelum menaiki pesawat pengangkut tentera Malaysia di Datu Odin Sinsuat, ibu negeri wilayah Shariff Kabunsuan.
Pengunduran pertama membabitkan 29 rakyat Malaysia yang mewakili sebahagian pasukan pengaman dan 12 lagi akan meninggalkan negara itu pada 31 Ogos ini. Selain Malaysia, ada kontinjen dari Brunei dan Libya, termasuk seorang pekerja bantuan Jepun.
Perunding pemisah keluar daripada pertemuan pada Disember lalu untuk membantah ketegasan Manila memastikan sebarang perjanjian selari dengan Perlembagaan Filipina.
Fasilitator dari Malaysia pada rundingan itu, Othman Abdul Razak, berkata jika Manila 'berkeras untuk berpegang pada Perlembagaan, maka tiada apa yang akan berubah.'
Ketua perundingan kerajaan, Rodolfo Garcia juga menolak anggapan kononnya kepulangan pasukan pengaman Malaysia akan mencetuskan pertempuran antara tentera kerajaan dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan 11,000 kekuatan.
"Saya yakin keadaan akan kekal stabil," katanya sambil menambah sebahagian pasukan pengaman masih kekal di negara itu dan jawatankuasa gencatan senjata tentera dan MILF terus berfungsi.
Katanya, pemisah dan tentera berharap dapat mengelakkan pertumpahan darah dan 'mahu rundingan damai diteruskan dan menyelesaikan masalah secara aman.'
Bagaimanapun, perundingan pihak pemisah, Mohagher Iqbal tidak begitu optimis dan berkata, keadaan 'amat cair' terutama di Mindanao, kubu kuat MILF.
Iqbal berkata, kedatangan pemantau keamanan pada 2004 mengurangkan tahap keganasan kepada 'hampir sifar.'
"Dengan pengunduran ini, kemungkinan keganasan kembali di Mindanao lebih besar," katanya. - AP