LIMBARUH HIJAU 14 MEI 2008 - PERKEMBANGAN proses perundingan damai di Mindanao antara pihak Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan Kerajaan Filipina yang sekarang terancam berikutan langkah Malaysia mengundurkan pasukan pengamannya turut membimbangkan Parti Pembangunan Bangsa (NDP).
NDP sebagai sebuah pargerakkan politik rakyat di Brunei yang cintakan keamanan dan kedamaian sejagat risau pengunduran pasukan pengaman Malaysia selaku Ketua Pasukan Pemerhati Antarabangsa (IMT), atas alasan perkembangan proses damai tersebut sejauh ini tidak menggalakkan, akan menimbulkan suasana yang tidak setabil dan boleh mencetuskan semula pertumpahan darah di Mindanao.
Justeru NDP berharap ahli-ahli pasukan pengaman yang lain terutama sekali Negara Brunei Darussalam, yang merupakan negara Islam dan berkongsi banyak persamaan sejarah dengan Mindanao dan penduduk Islam di sana, akan mengambil langkah segera memastikan keadaan di Mindanao akan terus berada dalam keadaan setabil berikutan pengunduran sejumlah 28 anggota IMT dari Malaysia pada 10 Mei lalu.
NDP melihat pentingnya kesetabilan terus di pelihara demi kepentingan keamanan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di Midanao serta negara-negara yang berjiran dengannya.
Sehubungan dengan itu, NDP berharap kedua-dua pihak MILF dan Kerajaan Filipina akan terus berusaha dengan penuh kejujuran dan keikhlasan kearah penyelesaian rundingan damai antara mereka.
NDP berpandangan kegagalan proses damai yang telah berjalan dengan baiknya sejak kehadiran IMT di Mindanao tidak akan mendatangkan keuntungan kepada mana-mana pihak bahkan akan boleh menjejaskan hubungan mesra dan semangat saling hormat antara Negara Filipina dengan negara-negara yang cintakan keamanan dan kedamaian sejagat.
Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah berada di Mindanao sejak 2004 sebagai sebahagian daripada IMT yang terdiri daripada 41 pegawai ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan disokong oleh 10 pegawai tentera dari Brunei Darussalam dan lima dari Libya.
Berikutan pengunduran pasukan pengaman dari Malaysia itu, Libya telah bersetuju untuk menghantar 25 anggota pengamannya sebagai tambahan kepada pasukannya yang sedia ada.
Akan tetapi agak sukar bagi Libya mengambil alih peranan Malaysia memandangakn persetujuan awal IMT yang telah memberikan mandat kepada Malaysia untuk mengepalai pasuakan pengaman di Mindanao.
Sementara itu pejuang pemisah Muslim Filipina, dilaporkan telah berkata mereka bersedia berperang dan menuduh Kerajaan Filipina mengabaikan rundingan damai yang diusahakan Malaysia apabila enggan menghormati persetujuan sebelum ini.
Dalam kenyataan pada laman web mereka, pejuang pemisah menuduh pentadbiran Presiden Gloria Macapagal Arroyo sebagai 'sengaja mahu kembali mencetuskan perang selepas enggan menghormati dan mematuhi 49 perkara yang sudah dipersetujui' membabitkan isu warisan bangsa yang menguasai wilayah itu dulu.
Setiausaha kumpulan terbabit, Muhammad Ameen berkata keputusan itu adalah amat tragik.
Dalam suasana teggang ini, Amerika Syarikat (AS) dan pegawai Filipina pula menaruh berharap perjanjian damai akan dimeterai di antara Kerajaan Manila dan MILF yang dianggotai kira-kira 11,000 pejuang sekali gus menjadikan kawasan di selatan itu membangun sebagai pusat ekonomi dan bukannya medan perang.
Ketua Perunding Kerajaan, Rodolfo Garcia berkata kerajaan tidak akan mengabaikan rundingan damai berkenaan dan pihak tentera sudah memberi jaminan yang mereka akan mematuhi rundingan itu.
Katanya, kerajaan sudah memulakan satu kajian semula mengenai perkara yang dipersetujui sepanjang rundingan damai bagi memastikan mereka dapat mempertahankan pemeriksaan umum dan perkara berbangkit di mahkamah.
"Kami melihat perlembagaan bukan sebagai satu batasan tapi satu panduan dan ukuran," katanya yang meminta pihak pejuang pemisah supaya bersabar.
Kajian semula mengenai aspek perundangan yang dijalankan selama beberapa bulan mendapati perlembagaan dan sesetengah undang-undang perlu dipinda untuk menyesuaikan persetujuan dengan pejuang pemisah.