Pakatan keselamatan permakanan Brunei - India

 
 

23 MEI 2008 - BRUNEI dan India telah sepakat untuk memenafaatkan hubungan persahabtan mereka yang sudah sekian lama terjalin dengan menubuhkan Institut Penyelidikan Beras India-Brunei di tengah-tengah dunia sekarang sedang berhadapan dengan krisis makanan.

Perkembangan positif dalam sejarah hubungan dua hala Brunei-India ini dicatat dalam siri lawatan rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam ke India.

Baginda Sultan telah berangkat untuk mengadakan lawatan rasmi 4 -hari ke India pada hari Selasa baru ini.

Presiden Puan Pratibha Patil di majlis santap

malam yang di adakan di Istana Rashtrapati Bhawa berkata kedua-dua negara bersetuju untuk bekerja sama dalam bidang penyelidikan padi melalui Institut tersebut.

Institut tersebut akan melakukan inisiatif pertukaran pakar beras, kata Presiden India itu sambil berkata 90 peratus daripada keluaran beras di dunia digunakan di Asian dan keselamatan makanan mula meraih perhatian dunia.

Sementara itu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di majlis santap tersebut bertitah menzahirkan rasa penghargaan mendalam atas hubungan dengan India dan berharap ia dapat diperkukuhkan lagi.

Usaha itu membawa kepada keamanan, kemajuan dan kesejahteraan yang berterusan antara India dan Brunei, titah baginda lagi.

Sambil menyebut India sebagai arkitek globalisasi, Baginda Sultan bertitah golongan muda turut meraih manfaat daripada sumbangan masyarakat India dalam sektor kesihatan dan pendidikan.

Kehadiran kira-kira 8,000 warga India di Brunei mungkin kelihatan kecil berbanding penduduk India keseluruhannya tetapi mereka mewakili komuniti besar di Brunei dan kerana itu Baginda Sultan bertitah menzahirkan penghargaan bagi kemajuan mereka terutama dalam industri minyak dan gas.

Dalam mengimbau kembali sejarah ketika lawatan baginda ke India pada 1992, Baginda Sultan bertitah semoga hubungan dalam bidang perubatan, pelaburan perdagangan, pertahanan dan latihan terutama dalam bidang ICT India yang mendapat pengiktirafan dunia, dapat diperkukuhkan lagi.

Baginda bertitah Brunei mengagumi pencapaian menakjubkan dan kerana itu akan terus mengukuhkan hubungan antara Brunei dan India yang menggambarkan keamanan serantau.

Presiden Patil pula dalam dalam ucapannya menyentuh mengenai jalinan hubungan antara Brunei dan India yang telah bermula dengan penemuan minyak di negara itu pada 1929 yang seterusnya membawa kepada kemasukan ramai pekerja dari India ke Brunei.

Kesan tarikan peluang pekerjaan itu dapat dilihat pada hari ini dengan sebahagian besar masyarakat India di Brunei menjawat pelbagai jawatan profesional termasuk di bidang kedoktoran, kejuruteraan, keusahawanan, perguruan dan tenaga mahir lain yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi Brunei, kata Presiden Patil.

"Pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan pada kadar lapan peratus pada dekad lalu mengetengahkan India sebagai salah sebuah ekonomi utama dunia dan membolehkannya membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan," tambahnya.

Beliau menambah kata India mengalu-alukan kemasukan pelaburan Brunei dalam sektor infrastruktur, telekomunikasi dan sektor-sektor lain.

"Brunei sebagai salah sebuah negara pembekal minyak mentah kepada India turut mengukuhkan hubungan perdagangan dan India bersedia bagi melancarkan kerjasama dalam projek huluan, pertengahan dan hiliran," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa gembira atas bantuan dan kerjasama yang dihulurkan oleh Brunei dalam perjalanan India ke Telemetry Tracking and Telecommand Station ISRO di Brunei dan gembira melihat minat yang ditunjukkan oleh Brunei dalam berkongsi kepakaran dalam bidang Teknologi Maklumat.

Beliau menekankan bahawa India bersedia untuk melanjutkan sebarang bantuan termampu untuk memperkukuhkan kerjasama dalam bidang yang memberikan keuntungan bersama memandangkan kedua-dua negara mempunyai skop untuk kerjasama luas dalam pertahanan, latihan kakitangan dalam pelbagai bidang, kesihatan dan pembangunan keupayaan.

Presiden Patil juga menghargai sokongan Brunei dalam menjadikan India rakan dialog penuh ASEAN dan rundingan FTA India-ASEAN yang sedang berlangsung, yang menyerlahkan kefahaman Brunei mengenai polisi "Memandang ke Timur" India yang bermatlamat mengintegrasikan hubungan India dengan ASEAN dan yang lain.

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.