LIMBARUH HIJAU 05 MEI 2008 - HIKAYAT Singapura di langgar todak dan bagaimana seorang kanak-kanak pintar bernama Hang Nadim dibunuh setelah berjaya menyelamatkan rakyat Singapura dari kemusnahan hanyalah merupakan satu cerita dongeng.
Namun demikian ia sebenarnya kaya dengan mesej yang tersurat dan tersirat, justeru ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin Parti Pembangunan Bangsa (NDP) perlu berhati-hati dalam langkah politik mereka.
Jika tersilap langkah, NDP mungkin menerima nasib yang sama seperti Hang Nadim.
Mudah-mudahan kita tidak di timpa nasib yang sama, ujar sdr Morshidi sambil menasihatkan ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin NDP agar terus berusaha menjadi 'penasihat' dan penyumbang idea yang bijaksana selaras dengan visi, misi dan objektif parti menjunjung titah dan membangun bangsa.
Katanya memberikan pandangan yang bijaksana dan tepat sangat penting kerana setiap nasihat yang salah itu akan boleh merosakkan negara dan bangsa.
Dalam masa sama, tambahnya, kita berharap setiap pandangan dan idea yang baik yang disumbangkan janganlah di salah tafsirkan dan di pandang serong oleh mana-mana pihak kerana sikap tersebut akhirnya hanya akan merugikan bangsa dan negara.
Inilah antara pesanan Timbalan Presiden NDP, sdr Mahmud Morshidi Othman ketika berucap di Majlis Permesyuaratan Perhubungan Daerah Senegara bagi suku ke dua tahun 2008 yang telah berlangsung pada Sabtu 03 Mei 2008 di 'The Holiday Lodge Hotel, Jerudiong. |
|
Menurut cerita rakyat tersebut, pada suatu ketika dahulu Singapura telah diserang ikan todak.
Secara tiba-tiba, beratus-ratus ikan todak melompat ke arah pantai Singapura dan menikam ramai rakyat Singapura yang sedang berada di tepi pantai. Ramai rakyat Singapura mati terkena tikaman todak".
"Raja Singapura amat terperanjat dengan berita serangan todak ini. Baginda pun pergi ke pantai untuk melihat sendiri malapetaka yang telah menimpa negerinya. Baginda berasa sedih melihat ramai rakyatnya dibunuh ikan todak".
Menurut cerita tersebut lagi..."bagi mengatasi masalah ini, baginda pun di nasihatkan (oleh Menteri-menteri ketika itu) agar memerintahkan rakyatnya berkubukan betis di sepanjang pantai.
Malangnya, lebih ramai rakyat yang mati apabila terus diserang ikan todak.
Seorang budak yang bijak bernama Hang Nadim telah menyaksikan serangan kejam ikan todak ini. Hang Nadim mempunyai satu akal untuk melawan serangan ikan todak ini. Tanpa berlengah, Hang Nadim pergi mengadap Raja Singapura.
“Tuanku, patik rasa jika kita terus menyuruh rakyat menggunakan betis mereka untuk mengelak serangan ikan todak, lebih ramai rakyat yang akan mati,” sembah Hang Nadim mengadap Raja.
“Adakah kamu mempunyai cadangan yang lebih baik ? “ tanya Raja Singapura.
“Patik rasa adalah lebih baik jika kita menggunakan batang pisang untuk melawan serangan ikan todak ,” tambah Hang Nadim.
“Batang pisang ? Bagaimana ? “, tanya Raja dengan penuh hairan.
“Kita boleh menggunakan batang pisang sebagai kubu sepanjang pantai. Apabila ikan todak menyerang, jongor todak akan terlekat pada batang pisang. Apabila ikan todak ini sudah terlekat, rakyat sekalian boleh menetaknya hingga mati, “ tambah Hang Nadim.
Apabila kata-kata Hang Nadim didengar oleh Raja Singapura, baginda sedar akan kebenarannya.
Tanpa berlengah, baginda memerintahkan rakyatnya agar menggunakan batang pisang untuk dijadikan kubu. Nescaya, buah fikiran Hang Nadim itu berjaya. Ikan todak berjaya ditewaskan dan negeri Singapura akhirnya terselamat.
Raja Singapura berasa sungguh gembira dan menghadiahkan Hang Nadim dengan sebuah hadiah yang sungguh istimewa. Baginda bersyukur kerana negeri Singapura dikurniakan dengan seorang budak yang sungguh bijak.
Malangnya, para pembesar negeri sangat iri hati dan dengki dengan kebijaksanaan Hang Nadim. Mereka khuatir Hang Nadim akan mengambil tempat mereka sebagai penasihat Raja.
“Budak ini masih kecil tetapi sungguh bijak. Apabila dia besar nanti, tentu akan menjadi lebih bijak. Patik yakin Raja akan mengambilnya sebagai penasihat baginda,” kata Perdana Menteri kepada para pembesar negeri yang lain.
“Hang Nadim mesti dibunuh! Patik akan memujuk Raja untuk membunuhnya,” tambah Perdana Menteri dengan marahnya.
Para pembesar negeri pun bersepakat untuk menghasut Raja agar membunuh Hang Nadim.
Mereka menasihati Raja agar membunuh Hang Nadim yang cerdik itu kerana takut apabila besar dia akan menjadi lebih cerdik. Mereka terus menyakinkan Raja jika Hang Nadim menjadi lebih pintar daripada Raja, nescaya mahkota Raja Singapura akan cuba dirampasnya.
Setelah mendengar hasutan para pembesar negerinya, Raja Singapura pun menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hang Nadim. Hang Nadim diikat dengan rantai besi lalu dibuang ke laut.
Ramai rakyat Singapura berasa sungguh sedih dengan kematian Hang Nadim yang telah menyelamatkan Singapura dari serangan todak.
Begitulah antara lain cerita Hang Nadim yang di kongsikan oleh sdr Morshidi itu.
Pada hemat beberapa ahli-ahli yang hadir di MPPD 2 tersebut cerita tersebut walaupun satu cerita dongeng namun ianya banyak menggambarkan realiti kehidupan yang kita lalui di zaman penjajah dan sepanjang 24 tahun setelah Brunei merdeka dan juga pada ketika ini.
Pada hemat seorang ahli dari daerah Belait, "kita di Brunei juga telah banyak kali menyaksikan sejak 24 tahun yang lalu beberapa orang 'Hang Nadim' yang jujur ikhlas memberikan pandangan dan menyumbangkan jasa bakti kepada negara dan bangsa telah 'di rantai dan di lemaskan' kerana prasangka buruk sesetengah masyarakat dan elit-elit pentadbir yang lain.
Pada hemat ahli-ahli yang lain, NDP sebenarnya semacam sedang menghadapi nasib yang sama seperti yang di lalui oleh Hang Nadim dalam cerita dongeng tersebut.
Perjalanan NDP sejak hampir 3 tahun ini, pada hemat mereka, semacam cuba di lemaskan dengan merantai perjalanannya dengan rantai-rantai prosedur-prosedur dan proses-proses birokrasi yang membebankan selain dari usaha-usaha halus menakut-nakutkan orang ramai agar tidak terlibat dengan politik dan NDP.
Pada hemat mereka lagi perkara ini berlaku kerana terdapat segolongan masyarakat dan juga elit-elit pentadbir yang memandang serong terhadap usaha NDP untuk menjadi 'rakan strategik' kepada KDYMM Paduka Seri baginda Sultan dan Kerajaan baginda. Wallahwaalam.