LIMBARUH HIJAU 09 MEI 2008 - BUKAN niat hendak mengadu domba atau pun niat untuk memperkecil-kecilkan mana-mana pihak atau mana-mana agensi kerajaan, tetapi hanya semata-mata untuk meluahkan rasa terima kasih dan setinggi penghargaan kepada Kementerian Kewangan atas ketelusannya mendedahkan masalah hutang tertunggak yang sedang dihadapi negara masa kini.
Menterjemahan kenyataan yang dibuat baru-baru ini oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Awang Haji Bahrin Abdullah, masalah hutang tertunggak di negara ini bukan sahaja melibatkan rakyat jelata seperti yang sering di gembar-gemburkan oleh beberapa agensi-agensi kerajaan.
Menurut kenyataan tersebut Jabatan-Jabatan Kerajaan juga turut berhutang kepada kerajaan yang perlu dilunaskan dengan segera.
Ketika bercakap pada Jerayawara Belanjawan 2008 di Bangunan Majlis Mesyuarat Negara pada Khamis 08 Mei, beliau mendedahkan tunggakan yang melibatkan jabatan kerajaan bagi penjualan tenaga elektrik, air dan telefon setakat 31 Mac tahun ini sudah mencapai lebih $200 juta.
Beliau turut mengingatkan jabatan-jabatan kerajaan menyelesaikan tuntutan dari agensi-agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan utiliti tepat pada masanya bagi membolehkan hasil pendapatan dapat dikirakan dengan cepat.
Dalam masa sama, katanya, mereka juga perlu mengambil langkah pembaikan tertentu dalam memastikan pengutipan hasil kerajaan yang berkesan dan mengurangkan berlaku masalah bayaran tertunggak.
Mengamat-amati kenyataan yang di buat oleh Awang Haji Bahrain itu, Parti Pembangunan Bangsa (NDP) merasakan wajar pegawai kanan seperti beliau di berikan pujian atas ketelusan, keadilan dan sikap rasional beliau dalam melihat dan memahami isu tunggakan bayaran yang sebenarnya merupakan masalah sejagat di negara ini.
Sikap-sikap yang positif inilah kita sangat-angat perlukan ada dalam diri seluruh anggota perkhidmatan awam bukannya yang bersikap 'hentam-hentam' sahaja mendedahkan kecelaan rakyat untuk menutup keburukkan mereka.
Kta mestilah ingat masalah yang di hadapi oleh rakyat seperti tunggakan pembayaran sedikit sebanyak berpunca dari kelemahan sistem pengurusan dan pentadbiran itu sendiri yang kurang cekap dalam pengutipan hasil kerajaan.
Makanya apabila baru-baru ini mimbar-mimbar mesjid di seluruh negara sekali lagi digunakan untuk mengingatkan rakyat akan hutang mereka yang tertunggak kepada kerajaan, NDP turut rasa sedih dan tersinggung, tambahan lagi apabila hadis dan firman digunakan untuk 'menakut-nakutkan' umat Islam yang berhutang.
Mesej yang dihantar dari mimbar-mimbar mesjid mengambarkan seolah-olah hanya rakyat yang bermasalah sedangkan sekarang sudah jelas Jabatan-Jabatan Kerajaan sendiri pun sama saja, tidak membayar hutang dan tidak cekap mengutip hasil keraaan. Tidak menakjubkan kalau-kalau terdapat beberapa orang imam-imam yang membacakan khutbah tersebut pun masih menanggung hutang, wallah waalam.
Dari itu kita berharap pihak-pihak tertentu dalam perkhidmatan awam mengambil contoh dari Kementerian Kewangan atas ketelusan, keadilan dan sikap rasionalnya melihat dan memahami isu tunggakan pembayaran tersebut.
Bersikap adillah dalam melaksanakan tugas dan tanggunjawab dalam menangani masalah tunggakan pembayaran hutang demi kepentingan kesatuan bangsa dan negara yang kecil ini.
Jika menguatkuasakan undang-undang, contohnya, janganlah rakyat biasa sahaja jadi sasaran seolah-olah rakyat biasa dan pinggiran sahaja yang bermasalah, tetapi biarlah juga jabatan-jabatan yang terlibat, orang-orang tertentu yang belum melunaskan pembayaran, turut sama merasakan 'nikmatnya' di porong karan, air dan telefon.