KITA disogokkan cerita bahawa pada masa depan teknologi nano akan berjasa kepada manusia sehebat teknologi yang disumbangkan oleh transistor, enjin stim, elektrik dan Internet. Ramai mengalu-alukan kedatangannya kerana kononnya teknologi nano boleh memperbaiki keadaan hidup golongan kurang bernasib di negara membangun.
Secara ringkas teknologi nano adalah suatu teknologi yang membabitkan pengolahan jirim pada skala nano. Satu nanometer (nm) adalah bersamaan dengan satu per bilion meter. Tebal sehelai rambut manusia sama dengan 80,000 nm. Lebar satu molekul DNA adalah 2.5 nm.
Setiap benda berskala nano tidak mungkin dapat dilihat dengan mata kasar kecuali mengguna mikroskop berkuasa tinggi atomik. Kuasa teknologi nano boleh menyatukan pelbagai teknologi pada skala nano. Semasa proses pengolahan berlaku, perubahan pada ciri-ciri atau sifat yang berinteraksi secara dramatik lalu akibatnya mempamerkan sifat baru.
Sifat kuantum pada skala nano memberi potensi, kuasa dan pembaharuan. Justeru, penguasaan pada teknologi ini memungkinkan mana-mana syarikat multinasional beroleh pelantar strategik bagi penguasaan global dalam banyak bidang seperti pembuatan, makanan, pertanian dan kesihatan.
Rodney Brooks, Pengarah Makmal Cerdas Buatan, MIT merumuskan bahawa keajaiban teknologi nano adalah untuk memiliki satu penguasaan terhadap sistem genetik kehidupan, seperti daripada menanam sebuah pokok, menebangnya lalu membuat sebuah meja dan sebagainya. Dengan teknologi nano akhirnya boleh membuat terus meja itu. Maknanya potensi teknologi nano adalah luas, kemaraannya tidak boleh dihentikan.
Diberi beberapa contoh keupayaan ajaib teknologi nano.
- Bahan aluminium yang dibuat bekas minuman ringan boleh menjadi bahan bakar pada skala nano lalu boleh menjadi bahan bakar untuk roket.
- Karbon pada grafit pensel adalah lembut, namun pada skala nano ia boleh bertukar menjadi lebih kuat daripada keluli dan enam kali ganda lebih ringan.
- Panjang tembaga pada skala nano menjadi sangat elastik pada suhu bilik boleh dijangkau sehingga 50 kali lebih daripada panjang asalnya.
Kita dimaklumkan teknologi nano mampu memberi keajaiban, misalnya membolehkan orang buta kembali melihat, si pekak mendengar semula, merawat AIDS, barah, diabetes dan dari segi kesihatan, teknologi nano mampu memanjangkan hayat manusia.
Malah, teknologi itu boleh diaplikasikan kepada banyak bidang lagi seperti pertanian, makanan, kosmetik, bioteknologi, informatik, robotik dan farmaseutikal.
Banyak syarikat multinasional sedang membuat bahan kimia nano untuk kegunaan komersial seperti daripada cat yang tidak menggelupas dan pakaian yang tidak boleh dikotori sehinggalah kepada tingkap kaca yang membersihkan dirinya sendiri.
Begitu hebat sekali masa depan teknologi nano sehingga banyak kerajaan di dunia melabur dalam bidang itu. Pada 2006, pelaburan dalam R&D oleh semua kerajaan di dunia mencecah AS$12 bilion. Kesatuan Eropah , Asia dan Amerika Syarikat (AS) adalah pelabur utama dan sekurang-kurangnya 30 negara menubuhkan program penyelidikan teknologi nano.
Mengikut sebuah syarikat perunding teknologi nano, Lux Research pada 2006 lalu, lebih AS$50 bilion produk berasaskan teknologi nano telah dijual di seluruh dunia.
Apa yang boleh dirisaukan oleh manusia nanti ialah impak revolusi teknologi itu. Keajaiban yang berlaku boleh membawa masalah. Bahan baru ciptaan teknologi nano boleh tiba-tiba menjatuhkan pasaran komoditi atau dagangan dan melenyapkan peluang pekerjaan bagi golongan yang kurang bernasib baik khasnya di negara membangun.
Mereka tidak memiliki keluwesan ekonomi untuk menyambut kepada permintaan segera akan keperluan kemahiran atau bahan mentah baharu ini. Teknologi nano adalah ‘teknologi pelantar’, bermakna ia akan diaplikasikan ke semua sektor ekonomi dengan serentak. Apa yang lebih merisaukan adalah risiko toksikologi barunya.
Contohnya, bagaimana kesan benda nano terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar. Kesannya masih bertaraf tidak boleh disangka atau misteri. Kesannya mungkin sama seperti dengan teknologi genetik pada makanan atau lebih daripada itu lagi.
Apakah masyarakat umum sudah bersedia menghadapi tsunami teknologi ini? Kita telah belajar daripada beberapa gelombang teknologi sebelum ini seperti teknologi kimia, nuklear, bioteknologi dan pertanian. Semuanya pada mulanya memberi gambaran sangat positif terhadap manusia namun sehingga kini yang memperoleh faedah atau keuntungan besar adalah pemilik syarikat multinasional. (BHM)