Pertandingan Membaca al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1429H/2008

Dalami al-Quran untuk menangkis tohmahan

 
 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah membidas dakwaan seorang individu yang termuat dalam sebuah 'filem dokumentari pendek' dan disalurkan menerusi laman web sehingga menimbulkan kontroversi yang meluas.

Baginda Sultan bertitah menyatakan rasa kesal apabila al-Quran didakwa menganjurkan ajaran yang mengancam keselamatan orang lain dan menghuru-harakan ketenteraman dunia padahal al-Quran adalah suluh yang menjamin manusia memperoleh kehidupan yang baik serta pedoman untuk beroleh kebahagiaan yang sebenar.

Ketika bertitah pada malam kedua Pertandingan Membaca al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1429H/2008 itu Baginda Sultan menasihatkan umat Islam supaya tidak goyah iman sebaliknya semakin kuat memelihara Islam dan segala warisan yang dianggap mulia apabila tohmahan yang diterima semakin meluas.

Baginda Sultan bertitah al-Quran adalah salah satu warisan yang dianggap mulia, maka semua umat terutama generasi muda hendaklah tidak mengabaikannya dan merebut semua peluang dan kemudahan yang ada untuk mempelajari, membaca dan mengamalkan ajarannya.

"Itulah satu langkah paling wajar lagi bijak sebagai jawapan kita kepada pihak yang cuba memanipulasi ayat al-Quran bagi tujuan mereka yang tidak bertamadun," tegas Baginda Sultan.

Baginda Sultan bertitah menerangkan individu yang tidak bertamadun itu telah memetik beberapa potong ayat daripada tiga surah dalam al-Quran iaitu ayat 39 dan 60 Surah Al-Anfal, ayat 56 dan 89 Surah An-Nisa', dan ayat 4 Surah Muhammad.

Individu berkenaan cuba menimbulkan kesangsian terhadap al-Quran yang kononnya menggalakkan peperangan dan pembunuhan dengan merujuk kepada beberapa contoh ayat jihad, tambah Baginda Sultan.

"Tetapi ayat-ayat yang dipetik itu adalah tidak lengkap iaitu ayat sebelum atau selepasnya yang masih berkaitan ditinggalkan atau tidak disebut pada hal ayat-ayat itu perlu dibaca berurutan bersama ayat-ayat sebelum atau sesudahnya di samping juga mesti mengambil kira hubungan khusus ayat jika ada," titah Baginda Sultan.

Baginda Sultan seterusnya bertitah menekankan banyak ayat dalam al-Quran yang tidak wajar diputuskan atau diambil sebahagiannya saja tanpa melihat kepada hubungan ayat itu dengan ayat sebelum atau sesudahnya seperti contohnya ayat 4 Surah Al-Ma'un yang tafsirnya "Maka celakalah orang-orang yang sembahyang".

"Jika dibaca tanpa menghubungkannya dengan ayat lain sesudahnya, nescaya kita boleh saja beranggapan yang ibadat sembahyang itu adalah tidak bagus, malah mesti dijauhi kerana membawa kecelakaan sedangkan perkara itu sekali-kali tidak betul.

"Apabila kita membaca ayat berkenaan dan menyambungnya dengan ayat lain sesudahnya, maka barulah kita tahu orang sembahyang yang dimaksudkan celaka dalam ayat itu ialah orang yang sembahyang dengan lalai, yang menunjuk-nunjuk supaya dipuji orang dan yang menahan zakat atau bantuan.

"Jadi beginilah caranya al-Quran itu dilihat, diperhatikan dan diselami perutusan serta pengajarannya dan bukannya dengan memotong atau meringkaskan ayatnya bagi tujuan memburuk-burukkan Islam dan umat Islam," tegas Baginda Sultan bertitah.

Baginda Sultan bertitah umat Islam sedia menyedari yang segala tohmahan atau tuduhan terhadap Islam, terutama al-Quran memang tidak akan berhenti kerana seperti sudah menjadi ketentuan Allah untuk menguji kesabaran dan kebijaksanaan umat Islam.

"Oleh itu kita berhasrat supaya setiap individu Muslim pandai membaca al-Quran, membiasakan diri membacanya setiap hari jika boleh kerana kita mahu supaya al-Quran itu benar-benar bertakhta di hati sanubari kita," titah Baginda Sultan lagi. (MP)

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.