LIMBARUH HIJAU 06 MEI 2008 - HASRAT Parti Pembanguan Bangsa (NDP) untuk melihat agenda memperkasa keupayaan bangsa berjaya melalui usaha memartabatkan puak-puak etnik dan menyatupadukan semua suku kaum yang berpijak di bumi Brunei telah disambut baik oleh kerajaan.
Sejak awal penubuhannya lagi, NDP yakin antara kunci utama kearah kejayaan memperkasa keupayaan bangsa ialah dengan memastikan semua lapisan dari rakyat pinggiran hingga ke ningrat dapat memberikan komitmen membangun bangsa dengan setulusnya.
NDP sebagai sebuah parti mewakili suara masyarakat di negara ini berpandangan bahawa iltizam memperkasa keupayaan bangsa adalah satu proses di mana usaha bersungguh-sungguh secara bersepadu dilakukan oleh rakyat keseluruhannya.
Semua lapisan rakyat perlu berganding bahu bersama pihak kerajaan dalam usaha memperbaiki lagi urus tadbir negara, taraf hidup rakyat, memperkasa ekonomi negara, mempertingkat keadilan sosial dan hubungan kepelbagaian budaya.
Seterusnya seluruh rakyat dan penduduk negara Brunei Darussalam perlu di bawa bersama ke dalam arus perdana pembangunan negara yang menjurus ke arah negara Melayu Islam Beraja yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah SWT (Baldatun Thayibbatun Warabbun Ghafur).
Untuk itu antara langkah yang perlu diambil (yang NDP lihat kurang di berikan perhatian) ialah usaha mengangkat martabat semua suku kaum bangsa agar jarak barisan antara rakyat pinggiran dengan golongan ningrat dapat di kecilkan. Dengan adanya barisan yang rapat, sesuatu negara bangsa itu akan dlihat lebih utuh dan kuat serta perkasa.
Dalam hal ini NDP telah mengadakan berbagai ativiti dan program termasuk seminar silang budaya pada Mac 2007 semata-mata untuk mengangkat martabat puak-puak etnik di negara ini dan untuk menanamkan semangat kesatuan di kalangan masyarakat Brunei yang berbilang suku kaum bangsa ini.
Usaha ini selaras dengan wawasan parti kearah mencapai matlamat ini seperti yang digariskan dalam Manifesto Politik NDP bagi tahun 2006 - 2016.
Antara lain Manifesto NDP telah mengariskan perlunya usaha dibuat untuk memastikan Institut Pengembangan Bahasa Melayu akan berperanan memajukan, memperkembangkan dan menyebarkan bahasa/dialek yang terdapat di Negara Brunei Darussalam, termasuk Belait, Bisaya, Dusun, Murut dan Tutong.
Dalam manifesto tersebut NDP juga menekankan pentingnya keadilan sosial ditanai dengan
memberikan hak kepada rakyat Kebawah DYMM dari bangsa-bangsa, kaum-kaum dan puak-puak yang lain untuk menubuhkan institut pengembangan dialek atau bahasa untuk memajukan, memperkembang dan menyebarkan dialek dan bahasa masing-masing.
Dan Alhamdullilah tahniah kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Haji Awang Mohammad yang juga dapat melihat pentingnya perkara ini.
Sentimennya kepada puak-puak etnik dan pentingnya mereka memelihara dan mempertahankan budaya dan nilai hidup mereka dari ditelan zaman dan tinggal menjadi sejarah digambarkannya dalam ucapan perasmian beliau di sambutan Jubli Emas Pakatan Sang Jati Dusun dan Adau Gayoh Sang Jati Dusun 2008 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas pada hari Ahad yang baru lepas ini.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Haji Awang Mohammad berkata terdapat kira-kira 6,800 bahasa yang dituturkan dalam 190 negara di dunia tetapi daripada jumlah itu hanya 3,000 bahasa mempunyai tulisan.
 |
Bahasa-bahasa selebihnya hanya wujud dalam bentuk lisan dan ada yang semakin kurang penuturannya atau hilang terus, katanya sambil menimbulkan kerisauan kemungkinan dari kalangan tujuh puak etnik di Brunei, terdapat puak etnik yang juga menghadapi ancaman kepupusan bahasa dialek mereka.
Dalam hubungan itu, menteri meminta puak-puak etnik yang ada, termasuk puak etnik Dusun mengambil tindakan proaktif melalui langkah strategik dan berwawasan bagi mempertahankan budaya dan
|
bahasa masing-masing dari kepupusan.
"Budaya puak etnik di negara ini termasuk budaya puak Dusun, proses akulturasi dan proses asimilasi diharap berterusan di mana falsafah negara Melayu Islam Beraja (MIB) adalah dominan dalam mencorakkan budaya bangsa," jelasnya.
Sehubungan dengan seruan Pehin Menteri itu, NDP dengan penuh iltizam akan mempertingkatkan lagi usaha untuk membawa bersama puak-puak etnik di negara ini termasuk puak etnik Iban Brunei ke arus perdana pemangunan bangsa.
Dalam hal sedimikian NDP bercadang agar hari-hari kebesaran puak-puak etnik, seperti pesta Adou Gayuh yang dirayakan oleh masyarakat Sang Jati Dusun yang merupakan kelompok masyarakat kedua terbesar setelah puak Melayu Brunei dijadikan cuti awam di Brunei.
