TUTONG, Isnin, 31 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) bertitah mengingatkan semua warga ABDB bahawa musuh utama yang sentiasa mengintai-intai ialah 'kelalaian'.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, jika sedikit lalai boleh mengakibatkan bencana atau musibah.
Baginda bertitah menegaskan perkara ini di Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB Ke-49 di Padang Kawad, Penanjong Garison, di sini.
"Bukankah di sebalik keamanan itu masih terdapat ketidakpastian berupa kemungkinan wujudnya anasir dan ancaman yang kita tidak sangka-sangka?," titah baginda.
Semua itu titah baginda, memerlukan kesedaran dan kewaspadaan yang berterusan, di samping itu kualiti juga perlu ditingkatkan dalam menjalani latihan-latihan bersama di antara perkhidmatan-perkhidmatan ABDB di semua peringkat.
Baginda seterusnya bertitah menyarankan agar warga ABDB menguasai semua kaedah tata pemerintahan seperti kaedah 'Balance Score Card', 'Performance Budgeting' dan yang akan datang 'Capital Budgeting' yang mana semua itu perlu dilaksanakan secara tepat dan konsisten.
"Selain itu, penglibatan di dalam operasi-operasi luar negara, khasnya yang di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga perlu diteruskan, kerana manfaatnya adalah cukup besar, bukan saja bagi anggota yang terlibat dan ABDB sendiri, malahan juga bagi negara di bidang diplomasi pertahanan," titah Baginda.
Sehubungan itu, baginda mengucapkan syabas kepada ABDB dan khasnya anggota yang pernah dan sedang bertugas di dalam pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) di Mindanao, Republik Filipina dan di dalam pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL).
Sumbangan negara di dalam pasukan-pasukan berkenaan, tegas baginda telah meletakkan Negara Brunei Darussalam selaku penyumbang terhadap keselamatan antarabangsa.
Dalam peningkatan individu pula, baginda seterusnya mengambil maklum bahawa Kursus Maktab Turus, selaku komponen Akademi Pertahanan ABDB yang akan bermula pada bulan November 2010 adalah selaras dengan dasar pembelajaran sepanjang hayat.
"Cara dan pendekatan seperti ini memang kita sokong dan galakan. Maka oleh itu, pujian patutlah diberikan kepada Kementerian Pertahanan dan ABDB di atas pencapaian tersebut," titah baginda.
Baginda bertitah, dengan sasaran peningkatan secara menyeluruh dan seimbang ini, insya-Allah kita akan dapat melihat Kementerian Pertahanan dan ABDB mampu untuk menjalankan amanah yang dipikulkan kepada mereka. (Dipetik dari Pelita Brunei)