BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 29 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengumumkan mengenai rombakan keahlian Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet Negara Brunei Darusssalam dan pelantikan-pelantikan baru.
Semasa bertitah ke seluruh negara melaui Radio dan Televisyen Brunei kira-kira jam 3.50 petang, baginda menekankan bahawa pelantikan itu adalah bagi tempoh lima tahun iaitu 2010-2015 dengan bermula pada 29 Mei 2010.
Rombakan terakhir barisan Menteri-menteri Kabinet dan Timbalan -timbalan Menteri diumumkan lima tahun yang lalu pada 24 Mei 2005. Rombakan kabinet minggu lalu itu merupakan kali keempat sejak Negara Brunei Darussalam mencapai kedaulatan dan kemerdekaan pada 1 Januari 1984 iaitu lebih 26 tahun yang lalu. Pembentukan pertama Barisan Menteri-Menteri Kabinet diumumkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 1 Januari 1984. Rombakan pertamaa berlaku pada Oktober 1986, kedua pada 30 November 1988 dan ketiga pada 24 Mei 2005.
Walau bagaimanapun rombakan yang diumumkan oleh baginda itu masih mengekalkan 12 kementerian. Kementerian-kementerian berkenaan ialah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan, Kementerian Perhubungan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Dalam rombakan baru itu, baginda juga mengumumkan pewujudan satu jawatan baru, Menteri Kewangan II (Kedua) di Jabatan Perdana Menteri.
Sebelum ini, jawatan Menteri Kewangan II (Kedua) adalah diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.
Portfolio Timbalan Menteri Kewangan diwujudkan semula.
Walau bagaimanapun dalam rombakan kali ini, tiga jawatan Timbalan Menteri ditiadakan iaitu Timbalan Menteri Kesihatan, Timbalan Menteri Perhubungan dan Timbalan Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama.
Rombakan itu juga menyaksikan empat orang Timbalan Menteri dilantik memegang jawatan Menteri. Sementara kesemua lapan orang yang dilantik memegang jawatan Timbalan Menteri adalah merupakan muka baru yang terdiri dari pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pegawai-pegawai kanan yang bersara.
Berikutan dengan rombakan baru, keahlian Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet kini mengandungi 14 orang dan lapan orang Timbalan Menteri.
Keahlian Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Pelantikan-Pelantikan Baru adalah seperti berikut:
MENTERI-MENTERI KABINET

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan juga Menteri Kewangan.
|

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dilantik sebagai Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
|

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah ibni Almarhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.
|

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong sebagai Menteri Pendidikan.
|

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Awang Haji Mohd Yusof sebagai Menteri Kesihatan.
|

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman sebagai Menteri Pembangunan.
|

Yang Berhormat Pehin Orang Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haj Bakar sebagai Menteri Perhubungan.
|

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Awang Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar sebagai Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama.
|

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim sebagai Menteri Kewangan II (Kedua) di Jabatan Perdana Menteri.
|

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua).
|

Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (Bersara) Dato Seri Paduka Awang Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar sebagai Menteri Tenaga (Minister of Energy) di Jabatan Perdana Menteri.
|

Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman sebagai Menteri Hal Ehwal Ugama.
|

Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
|

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdulah sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
|

Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abd Wahab bin Juned sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
|

Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Mustappha bin Haji Sirat sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.
|

Yang Mulia Awang Haji Bahrin bin Abdullah sebagai Timbalan Menteri Kewangan.
|

Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Yusoff bin Haji Ismail sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.
|

Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Ali bin Haji Apong sebagai Timbalan Menteri Pembangunan.
|

Yang Mulia Pengiran Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama.
|

Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
|

Yang Mulia Datin Hajah Adina binti Othman sebagai Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
|
| DIPETIK DARI PELITA BRUNEI |
|