BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 26 Mei. - Penglibatan generasi muda dalam Pertandingan Membaca Al-Qur'an sejak beberapa tahun kebelakangan, menggambarkan betapa dasar dan sistem penggalakan membaca Al-Qur'an, dari peringkat kanak-kanak hinggalah dewasa, merupakan usaha berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke arah menyuburkan syiar Islam, serta penglibatan dan penghayatan masyarakat bagi memantapkan ketaqwaan masing-masing, telah mula menampakkan keberhasilannya.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri bersabda demikian ketika merasmikan Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1431 Hijrah Sempena 50 Tahun pertandingan seumpamanya diadakan di negara ini, berlangsung di Dewan Plenary Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.
Duli Yang Teramat Mulia bersabda setentunya menjadi kewajipan semua, untuk memastikan usaha bagi meningkatkan kemahiran dalam pembacaan Al-Qur'an, akan sentiasa diteruskan dan dilipatgandakan, bagi melahirkan generasi penerus yang mahir dalam bidang pembacaan serta menghayati Al-Qur'an sebagai panduan kehidupan yang syumul.
Generasi belia negara ini sabda DYTM, sudah sekian lama didedahkan kepada kaedah pembacaan serta pengajian Al-Qur'an, sama ada melalui alam persekolahan dan sistem pendidikan negara, mahupun atas insiatif para ibu bapa sendiri.
"Pendedahan berterusan yang dimulakan pada usia yang masih muda itu, tidak syak lagi mempunyai pengaruh yang besar ke atas usaha, menyemaikan nilai-nilai murni di kalangan rakyat dan penduduk di negara ini," sabda DYTM.
DYTM menambah sabda bahawa negara sememangnya amat menjunjung tinggi hasrat Paduka Ayahanda DYTM, yang mengambil perhatian berat terhadap kepentingan pendidikan agama, dengan menjadikan mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam, sebagai salah satu mata pelajaran teras dalam SPN21.
"Kita bersyukur, atas titah Paduka Ayahanda, yang menekankan perimustahaknya usaha-usaha dibuat pada mewajibkan persekolahan agama, kepada semua kanak-kanak yang berugama Islam di negara ini, bagi memastikan generasi yang celik ugama dan berpegang teguh kepada ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya, serta sentiasa pula mengamalkan nilai-nilai akhlak yang luhur serta terpuji," sabda DYTM lagi.
DYTM bersabda, pandangan jauh Kebawah DYMM itu adalah amat relevan, dalam usaha dan hasrat ke arah menjadikan negara ini sentiasa dilimpahi rahmat, berkat dan nikmat dari Allah Subhanahu Wata'ala, dengan mengharapkan negara akan sentiasa berkeadaan selamat dan aman tenteram serta terhindar dari apa jua jenis bala bencana yang tidak diingini.
Dalam pada itu, pemantapan nilai-nilai rohani, dan ukhuwah Islamiah di kalangan rakyat dan penduduk negara ini sabda DYTM adalah juga selaras dengan hasrat yang terkandung dalam Wawasan Brunei 2035, iaitu bagi memastikan keseimbangan pembangunan fizikal dan kerohanian rakyat dan penduduk.
Sabda DYTM penduduk negara ini amat bersyukur atas berbagai nikmat yang tidak ternilai kurniaan Allah Subhanahu Wata'ala kepada diri dan negara kita termasuk keadaan negara yang aman tenteram dan kemakmuran serta taraf kehidupan antara yang terbaik di rantau ini.
Sebagai tanda kesyukuran itu sabda DYTM, penduduk negara ini perlu berusaha memantapkan diri dan masyarakat untuk membudayakan pembacaan serta penghayatan ajaran kitab suci itu.
Arus global terus mencabar keutuhan pegangan kita
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya menekankan, negara dan penduduk setentunya harus mengakui bahawa perkembangan arus global, akan terus mencabar dan menguji keutuhan pegangan kita.
Duli Yang Teramat Mulia bersabda demikian ketika merasmikan Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1431 Hijriah Sempena 50 Tahun pertandingan seumpamanya diadakan di negara ini, berlangsung di Dewan Plenary Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.
"Oleh yang demikian, kita memerlukan generasi yang berilmu, memiliki syaksiah yang hebat, serta mempunyai jati diri muslim yang sebenar, yang kita yakini akan membolehkan kita mampu berdepan dengan cabaran dan ujian tersebut dengan jayanya serta menyumbang kepada keharmonian sejagat," sabda DYTM.
DYTM seterusnya menambah sabda jati diri itu akan lebih mantap dengan ketaqwaan kepada Allah, yang mampu menghalang segala bentuk anasir dan pengaruh negatif, yang boleh membawa kepada keruntuhan nilai murni itu, seperti maksud firman-Nya dalam Surah Al-'Imran ayat 102 :
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam".
Taqwa itu sabda DYTM lagi menyuburkan nilai-nilai luhur di kalangan generasi muda, untuk beradab sopan, tertib, jujur dan tabah serta cekal dengan minda yang positif.
"Justeru itu, generasi muda perlu terus menerus diasuh, dididik dan dibimbing ke jalan yang benar dan diredai Allah Subhanahu Wata'ala, sehingga mampu menjadi generasi yang boleh diharapkan bagi mencapai kemajuan dan pembangunan negara yang seimbang," sabda DYTM.
Sebaliknya, sabda DYTM lagi jika masyarakat dan generasi yang mengaku dirinya beriman, tetapi tidak memiliki serta mempraktikkan nilai-nilai taqwa tersebut, pastinya akan berlaku berbagai kepincangan dalam masyarakat, yang hanya berpaksikan kepada kemewahan dan kepentingan berbentuk duniawi sahaja.
Semasa bersabda DYTM mengingatkan bahawa sebarang kemungkaran hanya akan membawa kehancuran kepada masyarakat dan negara, di samping kesengsaraan yang bakal menanti di akhirat kelak. (Dipetik dari Pelita Brunei)
|