LIMBARUH HIJAU 09 MEI 2010 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) selaku pergerakan politik rakyat Negara Brunei Darussalam akan terus berdiri teguh menyokong sebarang usaha bijaksana KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam serta Kerajaan Baginda dalam menyelesaikan pertikaian sempadan sama ada yang melibatkan sempadan darat atau martim antara Brunei dan Malaysia.
Kenyataan ini ditekankan sebulat suara oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi NDP ketika bersidang di Mesyuarat Majlis Tertingi NDP ke 43 di Laimbaruh Hijau, markas pusat NDP di Jerudong kelmarin.
Isu Blok L dan M (iaitu dua blok minyak kawasan martim kepunyaan Brunei berdasarkan kehendak Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982) telah diberikan perhatian di mesyuarat tersebut berikutan laporan-laporan media di Malaysia dan juga dalam negeri yang menyentuh isu tersebut dan isu tuntutan Brunei keatas Limbang.
Isu-isu tersebut mula mendapat perhatian media berikutan kenyataan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau meminta penjelasan Wisma Putra berhubung status dua kawasan pengeluaran minyak bernilai RM320 bilion yang kini dikatakan menjadi milik Brunei. Dr. Mahathir mendakwa penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyerahkan kedua-dua blok itu sebagai pertukaran bagi Limbang.
Di Mesyuarat MT ke 43 kelmarin, ahli-ahli Majlis Tertinggi NDP sebulat suara menyatakan sokongan kepada usaha KDYMM dan Kerajaan dalam menyelesaikan isu sempadan antara Brunei dan Malaysia melalui Surat Pertukaran (Letter of Exchange) yang dimeterai oleh KDYMM dan Mantan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada bulan Mac 2009 lepas di Bandar Seri Begawan.
Sehubungan dengan itu NDP menyeru semua pihak agar menghormati perjanjian tesebut. Dalam masa sama NDP juga sekali lagi meluahkan harapan agar perlaksanaan 'Letter of Exchange' yang telah dimeterai akan dilaksanakan dengan lebih telus dan merundingi rakyat dalam proses mencari jalan penyelesaian tuntutan Brunei katas Limbang yang NDP yakini merupakan isu berasingan dari isu sempadan darat dan maritim yang sedang disempurnakan melalui Surat Pertukaran (LoE) tersebut.
Sementara itu Majlis Tertinggi NDP juga menerima dan menyokong ketetapan yang diambil oleh Badan Perhubungan NDP Brunei-Muara berhubung isu yang sama yang telah diserakan oleh sdra Haji Mohiddin DP Pengarah Haji Othman, Naib Presiden NDP Brunei-Muara merangkap Ketua Perhubungan BM. Berikut diperturunkan ketetapan Badan Perhubungan NDP BM:
"Saya selaku Naib Presiden NDP Brunei Muara, atas semangat perpaduan yang kita tunjukkan dalam meyuarat Majlis Tertinggi pada hari ini, dengan hormat dan sukacita ingin menyatakan kepada saudara—saudari sekalian bahawa saya telah mendapat sokongan padu daripada seluruh Ahli Majlis Tertinggi Brunei-Muara, Ahli JK Badan Perhubngan NDP Brunei-Muara dan seluruh ahli NDP Brunei-Muara. pada memohon Presiden NDP menyatakan sokongan padu kami terhadap DYMM pada usaha Baginda menyelesaikan isu persempadan Brunei Limbang.
Kami penuh mengharap dan percaya hak NBD ke atas kawasan lombong minyak yang diklasifakasikan sebagai Kawasan L & M tidak lagi harus di pertikaikan oleh mana-mana pihak di Malaysia. Begitu juga kami penuh yakin dan percaya bahawa pemulangan semula wilayah perairan (Maritime Economic Zone) kepada yang punya hak ia itu Negara Brunei Darussalam tidak mengakibatkan Negara Brunei Darussalam akan menggugurkan tuntutan nya terhadap haknya ke atas daerah Limbang.
Kami juga ingin minta dinyatakan dalam warkah itu, memberikan penghargaan kepada Mantan PM Malaysia Datu Abdullah Ahmad Badawi, yang kami lihat telah coba menyelasaikan masaalah persempadanan antara Brunei Darussalam dengan Malaysia itu dengan secara perundingan antara pemimpin dua rumpun bangsa yang sama yakni tidak dipolitikkan". |