KUALA BELAIT, Ahad- (2hb Mei 2010)- Seramai lebih dua puluh orang di kalangan ahli-ahli jawatankuasa dan ahli-ahli Ranting Pekan Belait Tiga menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan 2010 yang diadakan di Restoran Rahmahniyah Jalan Mckeron Kuala Belait hari ini.
Ketua Ranting Pekan Belait 3 Awang Haji Ishak bin Abol dalam ucapan alu-aluannya telah merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada beberapa orang di antara ahli-ahli ranting tersebut yang berjaya terpilih menjadi Majlis Tertinggi bagi mewakili daerah Belait, di samping mantan Ketua Rantingnya Saudara Malai Hassan Malai Haji Othman telah berjaya menang tanpa bertanding menjadi Timbalan Presiden Parti Pembangunan Bangsa.
Begitu juga dengan ahli lainnya Awang Haji Ismail bin Kassim juga berjaya menang dalam pemilihan Majlis Tertinggi Daerah Belait dan kini memegang jawatan Biro KEKWA, Awang Mohd Iskandar Haji Yahya juga merupakan Majlis Tertinggi dan ahli ranting tersebut yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Biro Sumber Asli dan Tenaga merangkap Timbalan Ketua Perhubungan Daerah Belait.
Beliau seterusnya merakamkan tahniah kepada Saudari Hajah Sa’emah binti Haji Kepli, yang merupakan Ketua Perhimpunan Wanita Pusat Protem sejak NDP ditubuhkan dan sehingga kini kekal memegang jawatan tersebut apabila pada Kongress Pemilihan Tahun lalu beliau menang tanpa bertanding untuk kekal menjadi Ketua HAWA Pusat.
Begitu juga ucapan tahniahnya kepada Dayang Kartini Munap yang telah terpilih menjadi Ketua Himpunan Wanita Daerah Belait baru-baru ini, dan menurut beliau Ranting Pekan Belait 3 perlu merasa bangga kerana telah melahirkan mereka yang telah berjaya melayakkan diri menjadi pimpinan atasan parti ini.
Beliau seterusnya berharap mereka yang telah terpilih menjadi Majlis Tertinggi akan sama-sama memberikan kerjasama dan kesepaduan berterusan sepertimana kerjasama dan sokongan yang telah dilakukan mereka sehingga berjayanya ranting tersebut melakar sejarah parti untuk memulakan Mesyuarat Agung Tahunan bagi peringkat Daerah Belait pada tahun ini.
Beliau juga turut menyeru kepada ahli-ahli jawatankuasa dan ahli-ahli ranting tersebut supaya akan terus merapatkan barisan dan mengukuhkan kemuafakatan dalam menjayakan ranting ke arah aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada connectivity dan engagement bersama badan-badan NGO’s dan jabatan-jabatan Kerajaan di negara ini, khususnya di daerah Belait.
Majlis hari ini juga telah berjaya membuat pemilihan bagi perwakilan ke Kongress Agung Kelima yang akan diadakan di Bangunan Persatuan Guru-Guru Bandar Seri Begawan pada 4 dan 5hb Jun nanti. Mereka terdiri daripada Awang Haji Ishak bin Abol (Ketua), Awang Haji Hassan bin Haji Ismail (Timbalan), Dayang Hajah Rokiah binti Awang Haji Enci, Awang Haji Amba bin Syawal, Dyg Kartini Munap, Dyg Hjh Nilam Abdullah dan tiga pelapis terdiri daripada Dyg Jasmen Haji Mohd Ali Nordin, Awg Haji Yusof bin Haji Sulaiman dan Awang Abd Basheer Haji Haneefa.
Sementara itu Pengerusi Tetap Ranting Pekan Belait 3 Awg Haji Ismail bin Kassim ketika menyampaikan ucapan penangguhannya turut menyeru kepada semua ahli-ahli di ranting berkenaan supaya merapatkan perpaduan dan menjauhkan daripada sikap suka mencari kesalahan orang lain, sedangkan sikap tersebut adalah merugikan bukan saja untuk diri malahan untuk semua.
Timbalan Pengerusi Tetap Ranting Pekan Belait 3 Saudari Hajah Sa’emah Kepli pula ketika berucap merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Mantan Ketua Pemuda Pusat Protem dan Mantan Majlis Tertinggi daerah Belait NDP Awg Aji bin Haji Omarali kerana semangat kentalnya dalam menyokong dan mendokong Parti Pembangunan Bangsa yang tidak pernah pudar walaupun dalam keadaan beliau pada masa ini yang sudah tidak dapat melihat lagi kerana sakit.
“Saya sangat tersentuh melihat semangat beliau, yang tidak pernah kendur-kendur dalam sokongan dan cintanya kepada parti biarpun matanya buta tetapi hatinya penuh dengan cahaya kesedaran demi memperjuangkan bangsa dan negara, dan kenapalah pula kita yang punyai panca indera yang boleh melihat dengan jelasnya ini masih ingin menyimpan perasaan buta hati dan perasaan!, suka mencari kesalahan orang lain dan membesar-besarkan perkara remah temeh hanya kerana mahu melayan emosi yang tidak profesional” katanya.
Mesyuarat hari ini juga turut mengangkat beberapa usul daerah dan national yang antaranya mahukan Taman Lagoon Kampung Pandan 7 diswastakan supaya pemeliharaannya dan keselamatannya terjamin dibanding keadaannya hari ini yang kurang kawalan dan telah banyak berlaku pemugutan serta kejadian sosial yang boleh merebak ke tahap yang menggerunkan.
Turut hadir pada Mesyuarat hari ini ialah Timbalan Presiden Parti Pembangunan Bangsa Saudara Malai Hassan bin Malai Haji Othman, yang juga merupakan salah seorang ahli dalam ranting dan Mantan Ketua Ranting berkenaan.
Dalam ucapan khas beliau telah menyeru supaya semua ahli-ahli di daerah Belait amnya dan khususnya di ranting Pekan Belait 3 supaya terus meningkatkan semangat dan dengan adanya kegigihan serta rasa tanggungjawab daripada kemuafakatan dan kesepaduan telah mengatasi segala rintangan dan halangan yang telah di hadapi di daerah Belait ke arah melaksanakan permesyuaratan setiap ranting di daerah ini baru-baru ini.