KUALA LUMPUR, MALAYSIA, Rabu, 19 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menyeru umat Islam menguatkan keimanan untuk menyesuaikan diri menghadapi cabaran globalisasi di abad ke-21 ini.
Baginda bertitah perkataan globalisasi merupakan sebahagian dari kehidupan di mana setiap orang mempunyai interpretasi yang berbeza, ada yang bergembira, ada yang menyesali, sebahagian mengutuk tetapi ia jelas merupakan cabaran kepada umat Islam.
"Cabaran tersebut bertepatan dengan tema tahun ini 'Ke Arah Kebangkitan Ekonomi', jelas baginda semasa mengurniakan titah khas pada Forum Enonomi Islam Sedunia (WIEF) Ke-6, berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Kumpur, di sini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, rakyat baginda hanya tahu satu realiti, melihat satu dunia yang mereka diami, satu kepercayaan yang mereka yakini, dengan lain perkataan mereka sudah sejagat (globalised) seperti yang dilalui oleh umat Islam sejak seribu lima ratus tahun yang lampau.
Oleh kerana itu titah baginda, mereka ingin mengambil bahagian sepenuhnya dalam dunia di mana mereka hidup dan berharap dapat mengukuhkan keimanan yang mereka yakini.
Menyentuh impak krisis ekonomi dan kewangan yang dirasakan oleh masyarakat Islam sejak dua tahun lalu baginda menyifatkan ia merupakan bukti bahawa kita tidak dapat dipisahkan dengan hal ehwal dunia.
Oleh itu tegas titah baginda, adalah sangat penting umat Islam mempunyai kelengkapan dan kemahiran-kemahiran untuk menangani cabaran sebaiknya sama ada sebagai sebuah negara, para peniaga lelaki dan wanita, masyarakat awam dan umat Islam.
Semasa bertitah baginda juga menghargai WIEF atas nasihat dan program-program latihan yang diberikan kepada umat Islam.
Bagaimanapun jelas titah baginda, jika ingin mencapai 'kebangkitan', kita tidak boleh menjadi ahli masyarakat antarabangsa yang pasif sebaliknya banyak perkara yang boleh ditawarkan oleh umat Islam.
WIEF berperanan wujudkan
perekonomian dunia yang adil
Sementara itu dalam titah yang sama Baginda Sultan menyentuh betapa Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) berperanan memenuhi seruan kebanyakan masyarakat bukan Islam termasuk kuasa-kuasa utama di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mewujudkan perdagangan, perbankan dan kewangan yang adil selain dapat dipercayai dan bermoral.
Antara perkataan yang sering digunakan ialah teratur (regulated) manakala perkataan yang sentiasa digunakan oleh masyarakat Islam ialah saksama (just or simply fair) selaras nilai-nilai dan prinsip-prinsip Islam sebagai asas pendekatan perniagaan yang merupakan sumbangan besar kepada perdagangan antarabangsa.
Menurut baginda, mengambil kira usaha itu memakan masa yang lama dan berat untuk dilaksanakan ke dalam ekonomi dan perdagangan global maka WIEF berperanan untuk melaksanakannya.
"Ia menghendaki keyakinan, kemesraan, kemahiran teknikal dan pakar perniagaan. Ia setentunya memerlukan banyak masa, usaha dan keyakinan," jelas titah baginda.
Terdahulu Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan bahawa baginda mengikuti usaha WIEF dengan penuh minat sejak ditubuhkan dalam tahun 2005 iaitu tahun yang sama dengan Sidang Kemuncak Khas OIC di Mekah yang merupakan salah satu dari dua sidang kemuncak yang paling penting pada dekad pertama di abad ke-21.
Menurut baginda, yang pertama tentunya Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Matlamat Pembangunan Milenium yang melebihi dari prinsip-prinsip sebelumnya sebagai matlamat antarabangsa terhadap kehidupan masyarakat umum di semua negara dunia.
Jelas titah baginda, pelan tindakan yang disusun di Mekah lima tahun kemudian mengabungkan dua bilion masyarakat kita kepada objektif antarabangsa yang sama di mana WIEF telah memberikan dorongan yang dinamik dalam kebanyakan bidang genting (crucial) dalam hubungan moden antarabangsa.
Baginda juga melihat berbagai tema WIEF yang telah dipilih itu menggambarkan kesatuan, perkongsian dan keselamatan.
Semasa bertitah baginda juga menyebut tentang berapa banyak kehidupan masyarakat awam yang telah meningkat sebagai individu, keluarga dan masyarakat dan adakah mereka sudah bersedia menghadapi cabaran-cabaran moden serta berkeyakinan menghadapi masa depan.
Jika soalan tersebut dapat dijawab secara positif titah baginda, maka kita telah merespons dengan baik tema WIEF pertama di Kuala Lumpur pada tahun 2005 iaitu 'Pembangunan dan Progres'. (Dipetik dari Pelita Brunei)