BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa telah mengukir sejarahnya yang tersendiri dengan 50 kali berlangsung tidak perlu disekat-sekat dan biarkan ia terus berjalan selaras dengan sejarah bangsa yang panjang.
Sehubungan itu baginda bertitah agar pertandingan seumpama itu kita jadikan sebagai 'tradisi budaya' yang rakat lagi kukuh di dalam kehidupan-kehidupan kita dan menurunnya kepada generasi demi generasi.
"Suntik semangat mereka untuk menggemarinya, dan bangunkan jiwa-jiwa yang lesu sekiranya ada, untuk sama-sama membina sejarah ini, sehingga tidak akan ada lagi - walau sekerat pun - dari kalangan anak bangsa yang menganggapnya basi," titah baginda di Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1431 Hijrah/2010 Masihi yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Baginda seterusnya bertitah menyarankan menjadikan Negara Brunei Darussalam dan kita semua sebahagian dari sejarah Al-Qu'ran itu dalam makna kita tidak mampu untuk berpisah dengannya buat selama-lamanya, Insya-Allah.
Menurut baginda kita mesti rapat dengan Al-Qur'an dan tidak boleh berenggang dengannya kerana ia adalah alat untuk mendekatkan diri kepada Allah, alat untuk kita berkomunikasi dengan-Nya.
Dengan membaca Al-Qur'an itu titah baginda, sama ertinya kita berkomunikasi dengan Allah, kerana Al-Qur'an adalah kalam-Nya dan tidak syak lagi Al-Qur'an itu adalah 'keperluan asasi' kita dan juga tonggak Negara Brunei Darussalam selaku 'Negara Zikir'.
Ke arah itu, titah baginda berbagai langkah sudah kita ambil untuk merealisasikan semangat dan ilmu Al-Qur'an itu menjadi milik umat Brunei.
UNISSA dan KUPU SB disaran
mengusung mushaf semasa konvo
Sementara itu baginda juga bertitah menyarankan agar Universiti Islam Sultan Sharif 'Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) mengusung mushaf semasa konvo masing-masing seperti yang dilakukan oleh Universiti Brunei Darussalam (UBD).
"Mengapakah kita tidak merancang seperti langkah UBD? Kerana UNISSA dan KUPU SB juga, tentu saja akan mempunyai sama hari-hari konvonya sendiri masing-masing. Takkanlah UBD saja yang kita lihat mengusung mushaf, sedang UNISSA dan KUPU SB tidak," titah baginda di Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1431 Hijrah/2010 Masihi berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Langkah seperti itu, titah baginda kita buat adalah terbit dari niat kita untuk menjulang Al-Qur'an itu setinggi yang mungkin disamping secara intelek dan psikologi untuk menjana semangat dan kemahuan umat supaya terus belajar dan mengamalkannya.
Kemuncak majlis baginda berkenan menganugerahkan hadiah-hadiah dan cenderamata kepada Johan Qari dan Johan Qariah serta para peserta-peserta dan hakim-hakim Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1431 Hijrah/2010 Masihi.