BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 29 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan bahawa lantikan-lantikan Menteri-menteri Kabinet dan Timbalan-timbalan Menteri adalah amanah yang sangat berat.
Menurut baginda, jika kita berjaya menjalankannya, maka kita orang yang berbahagia, sebaliknya kalau kita gagal, maka penyesalan jua akan menunggu kita.
"Janganlah ada yang ingin mencipta haluan sendiri-sendiri untuk kepentingan yang terhad, tetapi bantulah raja untuk mencapai wawasan negara dengan keadilan", titah baginda semasa mengumumkan mengenai Rombakan Keahlian Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet Negara Brunei Darusssalam dan pelantikan-pelantikan baru yang disiarkan ke seluruh pelusuk tanahair melalui Radio dan Televisyen Brunei kira-kiran jam 3.50 petang.
Baginda menekankan lantikan juga bererti tugas, kewajipan dan kuasa yang mesti digunakan sejujurnya dengan penuh taat lagi setia. Apa yang penting, titah baginda lagi, kita perlu membuktikan keadilan tidak mati di Brunei, tetapi ia tetap hidup dan malah subur dari apa yang dijaja di mana-mana. (Dipetik dari Pelita Brunei) |