Laporan yang dikeluarkan oleh International Crisis Group hanyalah menguatkan lagi hujah di atas.
Laporan tersebut menghuraikan banyak kesilapan besar yang dilakukan oleh kerajaan Thaksin dalam menguruskan kekacauan di Selatan.
Ini termasuklah kegagalan mendiagnose masalah dengan tepat, penggunaan kekerasan yang melampau, kegagalan menyiasat dan menghukum anggota keselamatan yang menyalahgunakan kuasa, melantik kakitangan pentadbiran yang tidak memahami masyarakat di Selatan, dan beberapa perkara lain lagi.
Ternyata, kegagalan kerajaan menangani konflik dan menjalankan polisi secara ‘sembrono’ merupakan punca utama kegagalan menyelesaikannya.
 |
Satu faktor pencetus konflik yang tidak dapat dinafikan ialah wilayah di Selatan Thailand adalah di antara kawasan yang termiskin di negara itu.
Kebanyakan polisi yang cuba diketengahkan lebih menjuruskan kepada penyelesaian ekonomi sedangkan isu sebenarnya ialah lebih bersifat kekecewaan politik seperti yang sekian lama tertulis di lipatan sejarah.
Isu sebenar ialah faktor diskriminasi ke atas masyarakat Islam Melayu di Selatan yang cuba diasimilasikan secara paksa ke dalam komuniti etnik beragama Buddha sejak seabad lalu.
Proses asimilasi yang berlaku secara paksa inilah yang menimbulkan kekecewaan mendalam di kalangan masyarakat Islam sehingga kini. |
Sekiranya faktor ini tidak di uruskan dengan baik, sudah pasti tiada jalan keluar untuk penyelesaian konflik dan jurang perbezaan pandangan pastinya menjadi semakin luas.
Pertukaran kerajaan melalui rampasan kuasa tentera walaupun kelihatan negatif dari satu sudut, diharapkan mampu membawa perubahan positif kepada situasi sedia ada di Selatan.
Keinginan General Sonthi dan Perdana Menteri kerajaan sementara, Surayud untuk menggunakan pendekatan lebih lembut dalam menangani isu di Selatan seharusnya disambut baik oleh pelbagai pihak.
 |
Inilah yang membezakan pendekatan kerajaan sekarang berbanding dengan kerajaan Thaksin sebelum ini. Dari satu aspek, mungkin juga disebabkan beliau dari latarbelakang keluarga beragama Islam , menyebabkan pendekatan yang cuba diketengahkan agak lebih memahami suasana sebenar.
Namun masih banyak halangan yang mesti ditempuhi. Sejak mengambilalih pentadbiran kerajaan Thailand dan kerajaan sementara dibentuk, telah banyak usaha positif diatur.
Lawatan menemui pemimpin-pemimpin negara jiran seperti Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam untuk mendengar pandangan mereka berhubung dengan konflik di Selatan adalah antara langkah yang baik dan membina.
Kesudian Surayud sendiri untuk memohon maaf di atas kejadian yang tragis Tragedi Takbai juga disambut baik bukan hanya oleh pemimpin-pemimpin negara jiran, malah turut disambut oleh umat islam seluruhnya.
Manakala, General Sonthi yang sekarang memegang jawatan sebagai Pengerusi Council for National Security sendiri telah mengumumkan untuk menamatkan Undang-Undang Darurat (Emergency Decree) selewat-lewatnya Januari 2007, berita yang pasti mengembirakan rakyat Selatan Thailand. Sebelum ini, |
Undang-Undang Darurat memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menangkap suspek selama 30 hari tanpa sebab, mencari dan menahan tanpa waran termasuklah merakam perbualan di telefon.
Idea menamatkan periystiharan Darurat tersebut selari dengan keputusan untuk menghidupkan semula operasi Pusat Pentadbiran Sempadan Wilayah Selatan (SBPAC) yang ditamatkan operasinya oleh Thaksin sejak 2001 lalu.
Tindakan ini diyakini menjadi kunci penting bagi menamatkan atau sekurang-kurangnya meredakan kekacauan politik yang berlangsung sekian lama di wilayah Selatan.
Walaupun begitu, peluang yang ada sepatutnya digunakan sebaik mungkin oleh masyarakat tempatan khususnya di kalangan pemimpin Islam dan kumpulan-kumpulan pejuang seperti PULO, Barisan Revolusi Nasional (BRN), PEMUDA dan Gerakan Mujahidin Islam Patani (GMIP).
Mungkin pilihan penyelesaian adalah tidak banyak, tetapi ia adalah lebih baik daripada membiarkan masyarakat terus menderita dalam kancah konflik yang tidak berkesudahan.
Walaupun ada antara kumpulan-kumpulan ini yang masih menyimpan hasrat mencapai kemerdekaan dan memiliki negara sendiri, ia kelihatan mustahil untuk dilakukan.
Mana-mana kerajaan pun termasuklah Thailand pastinya tidak akan membenarkan mana-mana wilayahnya berpecah.
Pandangan ini amat wajar diberikan perhatian oleh masyarakat Islam di Selatan khususnya. Surayud sendiri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sewaktu berada dalam lawatan singkat di Jakarta mengakui bahawa pendekatan yang digunakan di Acheh oleh Indonesia sebagai antara model yang dilihat amat baik untuk mewujudkan keamanan di Selatan.
Hingga setakat ini, usaha positif yang ditunjukkan oleh kerajaan sementara di Thailand wajar diberikan pujian.
Cuma harapan kita agar ia tidak terhenti setakat itu. Kerajaan yang ada sepatutnya mengkaji dan menyelongkar punca kewujudan konflik ke akarnya kerana pendekatan-pendekatan yang bersifat sementara ‘bersifat mengambil hati’ masyarakat pastinya tidak berkekalan dan ditolak oleh rakyat yang sudah lama menderita.
Yang penting ialah ‘hak’ masyarakat perlu diberikan perhatian wajar dan tidak diabaikan sewenang-wenangnya. Pastinya untuk menunding jari dengan menyalahkan kerajaan yang ada semudah itu adalah tidak wajar kerana usia konflik sekarang sudah berakar umbi ratusan tahun lamanya.
Kerana itu tidak dinafikan masih ada pandangan yang skeptikal terhadap kemampuan kerajaan sekarang untuk menunaikan janji-janji serta melaksanakan pembaharuan di wilayah Selatan terutama disebabkan isu kerajaan yang tidak mendapat mandat sah oleh rakyat.
Yang penting ialah langkah-langkah yang cuba diusahakan telah menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam meredakan ketegangan yang telah wujud sekian lama antara masyarakat di Selatan dan kerajaan Thailand.
Keamanan di selatan negara Thailand yang majoritinya penduduk Islam pastinya merupakan impian kesemua kita yang menginginkan saudara seagama itu hidup bebas dan aman dari sebarang tekanan dan penderitaan--BARD.