Kesemua pihak yang bertelagah di Palestine masih ada yang berada di Mesir untuk membincangkan usaha penyatuan bagi membolehkan mereka menerima sumbangan antarabangsa yang telah dijanjikan bagi tujuan membangunkan kembali Gaza.
Usaha bagi mewujudkan persepakatan di antara pihak-pihak yang bertelagah di Palestine itu telah digerakkan oleh Mesir selaku broker perdamaian Hamas-Fatah.
Ketua agensi perisikan antarabangsa Mesir, Omar Suleiman dalam kenyataannya di hari pertama rundingan pada 10 Mac, telah mengingatkan semua pihak yang bertelagah di Palestine itu supaya bersedia menerima sebarang kenyataan (yang tidak baik dari sudut usaha membangunkan kembali Gaza) sekiranya mereka gagal mencapai persetujuan hasil dari rundingan yang diadakan.
Demikian juga dengan Menteri Luar Mesir, Ahmed Abul Gheit, juga turut memberi peringatan bahawa sebarang kegagalan di pihak-pihak yang bertelagah untuk berdamai dan bersatu kembali cuma akan bakal melahirkan kebimbangan di kalangan bakal-bakal penderma antarabangsa untuk menghulurkan bantuan bagi membangunkan kembali Gaza.
Sejauh ini, jumlah bantuan antarabangsa yang telah dijanjikan bagi tujuan pembangunan kembali Gaza berjumlah $5 bilion dollar Amerika. Cuma, apa yang menjadi persoalan pada masa ini ialah kepada pihak manakah bantuan tersebut sewajarnya dihulurkan bagi memastikan pembangunan kembali Gaza dapat berjalan sepertimana yang diinginkan.
Pada tahap ini penderma antarabangsa secara keseluruhannya membayangkan bahawa bantuan tersebut akan disalurkan kepada kerajaan Palestine yang dipimpin oleh Presiden Mahmoud Abbas. Hal ini bagaimanapun dibantah keras oleh pergerakan Hamas dengan mendakwa bahawa Gaza berada di bawah pentadbiran pergerakan itu dan dengan demikian berhak untuk menguruskan sendiri segala hal berhubung pembangunan kembali wilayah berkenaan.
Hamas juga turut melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan pergerakan Fatah pimpinan Mahmoud Abbas akan menyalahgunakan bantuan tersebut, termasuk untuk memperkuatkan pertubuhan itu dalam menekan perjuangan Hamas.
Pergerakan Hamas juga tidak yakin keseluruhan bantuan antarabangsa yang dijanjikan akan sampai ke tangan pertubuhan itu selaku pentadbir di wilayah Gaza sekiranya bantuan tersebut diserahkan kepada kerajaan Palestine.
Di satu pihak lain, beberapa negara penderma terbesar antarabangsa terutama Amerika dan beberapa negara Eropah tidak mengiktiraf pertubuhan Hamas.
Mereka meletakkan pertubuhan ini dalam senarai pertubuhan pengganas antarabangsa yang bukan sahaja tidak layak dirundingi dan dihulurkan bantuan, malah sewajarnya diperangi. Justru itulah mereka walaupun menyedari bahawa Gaza kini berada di bawah pentadbiran Hamas, tetap mahukan kerajaan Palestine pimpinan Mahmoud Abbas sendiri yang menguruskan soal pembangunan kembali wilayah tersebut.
Berbalik kepada rundingan yang sedang berlangsung di Mesir itu, beberapa pokok persoalan berkaitan hubungan Hamas-Al Fatah dikatakan akan dibincangkan dengan keutamaannya dikatakan akan menjurus kepada persoalan sejauhmana pihak-pihak yang bertelagah di Palestine itu mampu mewujudkan perdamaian di antara mereka.
Seorang perunding kanan di pihak Al-Fatah, Nabil Shaath, yang turut dipikulkan dengan tugas untuk membincangkan sejauhmana Hamas dan Al-Fatah boleh duduk dalam sebuah kerajaan yang dipersetujui bersama, menyatakan bahawa sasaran tersebut tidaklah begitu jauh memandangkan kedua-dua pihak sebelum ini pernah mencapai persetujuan ke arah itu.
Dalam tahun 2007, kedua-dua pihak pernah mencapai kata sepakat untuk duduk bersama dalam sebuah kerajaan campuran. Bagaimanapun ianya tidak menjadi kenyataan berikutan ketegangan yang meletus di wilayah Gaza yang menyaksikan penduduk Gaza tetap mahukan Hamas sebagai satu-satunya pertubuhan yang layak mewakili perjuangan dan kepentingan mereka.
Satu lagi isu yang dikatakan akan bakal dibincangkan ialah soal samada perpaduan Palestine boleh dicapai dengan cara diadakan satu pilihan raya umum. Namun apa yang menjadi persoalan ialah sebelum pilihan raya dapat di adakan, beberapa usaha ke arah mewujudkan suatu suasana yang membolehkan pilihan raya di adakan sudah pasti perlu diwujudkan.
Antaranya, persetujuan kedua-dua pihak kearah itu perlu diperolehi. Selepas itu, usaha bagi membentuk keyakinan di antara kedua-dua pihak, terutama terhadap aspek ketelusan pilihan raya perlu diwujudkan pula. Ini penting kerana pilihan raya tidak akan membawa makna apa-apa sekiranya terdapat mana-mana pihak kelak bangun mempertikaikan keputusannya, lantas menolak hasil pilihan raya dan kembali kepada perjuangan asal seperti sebelumnya.
Demikian juga dengan isu penyelesaian bersangkutan hal-hal strategik dan keselamatan yang mungkin akan turut dibincangkan, mengundang pelbagai telahan terhadap sejauhmana isu yang agak besar ini akan dapat diselesaikan.
Bekas penasihat Menteri Luar Mesir bagi Timur Tengah, Ezzedine Choukri, dalam ulasannya kepada pihak akhbar menyatakan rasa tidak yakin beliau terhadap keupayaan kedua-dua pihak yang bertelagah, Hamas dan Al-Fatah, untuk mencapai persetujuan dalam hal-hal keselamatan.
Beliau mengajukan satu pertanyaan mudah - siapakah yang yakin Hamas akan menyerahkan monopoli kekuasaannya di Gaza semata-mata untuk berkompromi dengan kerajaan yang dipimpin oleh Al-Fatah?.
Selain isu-isu di atas, terdapat satu lagi isu besar yang dikatakan akan turut dibincangkan dalam rundingan Hamas-Al Fatah di Mesir itu. Ianya adalah berkait dengan persoalan sejauhmana kemungkinan pergerakan PLO boleh dirombak dengan tujuan untuk membolehkan berlakunya penyertaan anggota Hamas.
Dalam konteks ini, Ketua Jabatan Pengajian Israel di al-Ahram Centre for Political and Strategic Studies di Cairo, Emad Gad berpendapat sejak tahun 1967 lagi Al-Fatah yang ketika itu di bawah pimpinan Yasser Arafat, merupakan satu-satunya pihak yang mewakili rakyat Palestine.
Kini, bagaimana Hamas yang tidak pernah berada di bawah PLO boleh diterima masuk ke dalam pertubuhan itu, bukan sekadar duduk sebagai ahli, tetapi akan menuntut sekurang-kurangnya sehingga lima puluh peratus kerusi dalam pertubuhan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau percaya, secara teorinya, Hamas mungkin akan masuk menyertai PLO dan menangguhkan buat sementara waktu tuntutan-tuntutan lain bagi membolehkan bantuan antarabangsa dapat dibawa masuk ke Palestine khususnya ke Gaza.
Walau apapun natijahnya, doa dan harapan kita ialah agar program pembangunan kembali Gaza yang musnah teruk berikutan serangan tentera Israel beberapa bulan lalu akan segera dapat dilaksanakan.
Dalam hubungan ini kita amat berharap kesemua pihak yang bertelagah di Palestine agar dapat berkerjasama dalam mengorbankan agenda politik masing-masing, sekurang-kurangnya buat sementara waktu, demi untuk kepentingan penduduk Gaza yang menderita itu.
Kita melihat tanpa masuknya bantuan antarabangsa yang kini mencecah $ 5 bilion dollar yang dijanjikan itu, tidak akan ada harapan bagi Gaza untuk dipulihkan pada kadar segeranya.
Malah kita sebenarnya amat bimbang, sebarang kegagalan untuk membangunkan kembali Gaza dalam tempoh yang sewajarnya mungkin saja boleh mendedahkan penduduk Gaza kepada musibah-musibah lain terutama penyakit berjangkit dan kemelaratan hidup yang berterusan.
Ini disebabkan segala kemudahan infrastruktur yang ada, terutama bekalan air, elektrik dan perhubungan kini rosak teruk sehingga mudah akan berlakunya wabak penyakit berpunca daripada pembuangan sisa kumbahan yang tidak lagi terkawal.
Dalam pada itu, bagi penduduk awam yang kehilangan tempat tinggal, mereka kini tinggal di bawah khemah-khemah sementara yang amat daif, tanpa bekalan api dan air, dengan ketua keluarga kebanyakkannya tidak lagi mempunyai pekerjaan dan tidak mampu menyediakan keperluan harian untuk keluarga, termasuk kesihatan dan pendidikan.
Sekiranya pembangunan kembali Gaza tidak dilakukan dalam tempoh beberapa bulan mendatang, kita bimbang suasana yang ada akan bertambah memburuk. Maka itu, kita tumpang mengharap agar pertemuan yang sedang berlangsung di antara Hamas dan Al-Fatah di Mesir itu akan membuahkan hasil yang diharapkan, setidak-tidaknya dari sudut membuka laluan kepada kemasukan bantuan antarabangsa bagi membolehkan pembangunan kembali Palestin diusahakan dalam masa terdekat. Wallah a’alam - (mmo).
|