KUALA BELAIT 12 MARCH 2009 - SUDAH jatuh di timpa tangga. Begitulah kisah derita seorang wanita yang kehilangan keupayaan fizikal sejak mengalami penyakit lumpuh di kaki.
Nasib yang malang turut menimpa ke atas anak bungsunya yang juga cacat anggota fizikal dan cucunya yang cacat sejak daripada lahir lagi.
Bagaimanapun penderitaan yang ditanggungnya selama ini sedikit ringan apabila menerima kunjungan ziarah daripada serombongan ahli-ahli Badan Perhubungan Parti Pembangunan Daerah Belait ke rumahnya di simpang 93-21-5 Kampung Pandan Lima Kuala Belait.
Lawatan yang bertujuan untuk mendekati masyarakat yang kurang berkemampuan bersempena dengan sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW merupakan salah satu daripada aktiviti berkebajikan badan berkenaan.
Lawatan diketuai oleh Naib Presiden NDP Daerah Belait Awang Sulaiman Metarsad.
Rombongan tersebut yang turut disertai oleh Badan JASA NDP turut menyampaikan sumbangan berupa keperluan makanan dan wang tunai untuk membantu meringgankan masalah yang dialami oleh keluarga seramai sepuluh orang itu.
Di sebelah petang rombongan yang terdiri dari Ketua Biro Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKWa), Dr Hajah Ra'yah dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Kesejahteraan Insan (KeKin) juga turut menziarahi Dyg Johanie binti Haji Kikil, 57 ibu kepada seramai lima orang anak.
Dayang Johanie turut menceritakan bagaimana dia telah kehilangan upaya fizikal dan menjadi lumpuh pada tahun 2007 setahun selepas beliau berpencen daripada kerjanya sebagai salah seorang keranai di Pejabat Pos Seria.
Penderitaan kurang upayanya itu semakin bertambah menjadi kehibaannya apabila mengenangkan dia tidak lagi dapat membantu menangani masalah yang dihadapi oleh salah seorang anaknya Dyg Ayu Marlena, 21 yang juga dalam keadaan cacat fizikal sejak berusia lima tahun.
Tidak cukup dengan nasib malang anaknya itu, Dyg Johanie juga lebih menderita menahan kesedihan apabila ditakdirkan lagi mempunyai seorang cucu perempuan Dyg Nursyaqinah Shahira binti Abdullah , 7 tahun yang cacat sejak daripada lahir lagi.
Pada masa ini Dyg Johanie terpaksa hanya bergantung kepada pendapatan anak menantunya yang bekerja di syarikat swasta yang juga mempunyai tanggungan seramai tiga orang anak berusia 7 hingga 6 bulan.
Manakala ibu kepada cucunya yang cacat hanya bekerja swasta dengan gaji $300 sebulan, dan telah bercerai selama lapan tahun dengan suaminya terpaksa menyara anaknya yang cacat dan seorang lagi anak lelakinya berusia 11 tahun dan sedang belajar dalam darjah lima, dan tidak menerima sebarang perbelanjaan daripada bekas suaminya ke atas anaknya itu.
Dyg Johanie juga dalam keadaan dilema kerana terpaksa menanggung beberapa tonggakan pembayaran rumah hampir setahun dan pembayaran Elektrik lebih $1,000.00 kerana tidak cukup keupayaan untuk menjelaskan pembayaran.
Pembayaran rumahnya sejumlah $145.00 sebulan dan dia sudah tidak membayarnya sejak lapan bulan yang lalu, di samping perbelanjaan makanan yang hanya mengharapkan daripada menantunya.
Manakala perbelanjaan ke atas cucunya termasuklah untuk membeli pampers, susu dan jika terpaksa cucunya itu hanya terpaksa memakai lampin dan minum air teh panas. Doktor yang sudah menganggap penyakit cucunya itu tidak dapat disembuhkan lagi menasihatkan supaya cucunya itu di jaga di rumah sahaja.
Biarpun begitu Dyg Johanie masih tidak berputus asa untuk menunggu nasib ke atas seorang anak lelakinya yang baru pulang daripada menuntut di luar negara sejak sebulan lalu tetapi belum mendapatkan pekerjaan tetap melainkan pada masa ini bekerja di sebuah syarikat swasta di Bandar Seri Begawan.
Manakala anaknya Ayu yang cacat belajar sehingga tingkatan dua juga sudah puas mencari pekerjaan tetapi dalam keadaannya itu seperti tiada siapa yang menaruh kepercayaan untuk mengambilnya bekerja. Dyg Ayu mula cacat semasa berusia lima tahun selepas menjalankan pembedahan di peha kanan berikut keadaan berjalan yang tidak stabil, selepas sahaja dibedah, tulang belakang anak bungsunya itu semakin meninggi dan sakit, akhirnya fizikalnya menjadi cacat, badanya tidak meninggi malah tulang belakangnya yang semakin meninggi, apabila diadukan kembali kepada doktor mereka menegaskan bahawa anaknya itu mengalami penyakit tulang.
Dyg Johanie pernah menghadapkan permohonan bantuan sara hidup ke atas anaknya itu melalui Penghulu Mukim Belait pada tahun 2005 tetapi sehingga hari ini tidak ada tindakan lanjut mengenainya. Selain menerima setahun sekali sumbangan orang-orang Istimewa sempena Hari Raya Aidil Fitri tetapi setelah dia berusia 12 tahun tidak lagi menerima sumbangan seperti itu sehinggalah hari ini.
Apa yang diharapkan oleh Dyg Johanie dan anaknya serta ibu kepada cucunya yang cacat supaya kedua insan yang cacat ini mendapat bantuan daripada mana-mana pihak berkenaan di negara ini, bagi membantu meringankan penderitaan mereka(HSK). |