LIMBARUH HIJAU 29 MAC 2009 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) sangat berbesar hati dengan sikap Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang sangat prihatin dengan imej pertubuhan politik (seperti NDP) di negara ini.
NDP berharap agensi-agensi kerajaan yang lain juga dapat mengambil sikap yang sama agar usaha untuk memperkasa rakyat akarumbi melalui pembaharuan politik seperti yang di hasratkan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan tidak sia-sia dan tidak tinggal cakap kosong sahaja.
Pandangan ini di luahkan oleh Pengerusi Panitia Kongres ke-4, Malai Hassan Othman ketika di minta mengulas surat jawapan dari ROS
|
|
berhubung rayuan beliau dalam surat bertarikh 23 Mac 2009 agar ranting-ranting NDP di seluruh negara, terutama yang terletak di kawasan pendalaman dan jauh dari markas-markas pusat di benarkan mengadakan mesyuarat tahunan masing-masing di rumah ketua-ketua ranting.
"Sebilangan ranting-ranting terutama yang terletak jauh dari markas pusat dan pejabat Perhubungan Daerah menghadapi masalah tempat. Untuk memudahcara ahli-ahli menghadiri mesyuarat tahunan di ranting masing-masing kita telah pohonkan agar di benarkan ketua-ketua ranting mengunakan rumah mereka sebagai tempat bermesyuarat tahun ini".
"Kita juga telah mencadangkan satu cadangan alternatif iaitu membenarkan ranting-ranting mengunakan kawasan-kawasan tanah lapang berdekatan rumah ketua-ketua ranting seperti di halaman rumah jika dalam rumah ketua ranting tidak di bolehkan".
ROS dalam surat balas bertarikh 26 Mac 2009, tambah Malai Hassan Othman, tidak dapat mempertimbangkan rayuan tersebut dengan alasan kegiatan politik jika di adakan di rumah ketua-ketua ranting boleh menimbulkan ganguan kepada keharmonian dan kententeraman penduduk-penduduk di kawasan berkenaan.
ROS juga dengan berpandukan Akta Kententeraman Awam telah menolak permohonan NDP agar di benarkan ranting-ranting berkenaan mengadakan mesyuarat tahunan di kawasan-kawasan tanah lapang.
"Menurut ROS dengan mengadakan mesyuarat tahunan di kawasan-kawasan tanah lapang boleh menimbulkan ganguan di tempat-tempat awam selain kawasan-kawasan lapang bukan tempat sesuai bagi pertubuhan politik untuk mengadakan mesyuaratnya", jelas Malai Hassan.
"ROS berpandangan sebuah pertubuhan politik hendaklah menjaga imejnya dengan mengadakan mesyuarat di tempat yang lebih bersesuaian. ROS juga telah menasihatkan NDP agar mengunakan pusat-pusat kemasyarakatan atau balai-balai raya di mukim atau daerah masing-masing".
"Kita mengalu-alukan pandangan ROS ini dan sangat teruja dengan keprihatinan ROS akan imej baik pertubuhan politik seperti NDP", ujar Malai Hassan.
Katanya NDP juga mengalu-alukan nasihat ROS agar ranting-ranting NDP mengunakan pusat-pusat kemasyarakatan atau balai-balai raya di daerah-daerah atau mukim-mukim mereka.
"Saranan ROS itu kita alu-alukan dan NDP memandang kehadapan agar agensi-agensi kerjaaan yang lain termasuk penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampong mengambil sikap terbuka yang sama", ujar Malai Hassan.
"Saya berharap pihak-pihak berkenaan akan memberikan kerjasama kepada ranting-ranting NDP yang akan memohon untuk mengunakan pusat-pusat kemasyarakatan atau balai-balai raya sebagai tempat mereka mengadakan mesyuarat tahunan mereka tahun ini", ujar malai Hassan.
|