LIMBARUH HIJAU 15 MARCH 2009 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) penuh berharap jalan penyelesaian isu sempadan antara Brunei dan Malaysia yang akan di persetujui oleh kedua-dua buah negara akan memihak kepada Brunei.
Harapan ini dikongsikan oleh Ayahnda Presiden Yasin Affandy kelmarin ketika di minta pandangan beliau mengenai perkembangan terbaru perundingan bagi menyelesaikan isu sempadan antara Malaysia dan Brunei.
"Setakat ini kita masih samar-samar mengenai perkara ini. Apakah dalam pakej penyelesaian ini hanya mengandungi isu sempadan Maritim yang bertindih atau juga termasuk isu Limbang? Kita tunggu dan lihat".
"Namun demikian kita berharap pihak Brunei akan mendapat keadilan dalam pakej penyelesaian yang akan di ambil dan dapat membuat keputusan tanpa di berikan tekanan politik (under political duress) oleh mana-mana pihak", tegas Ayahnda Yasin Affandy.
Menurut Ayahnda Yasin Affandy NDP (semalam) akan melakukan sembahyang hajat beramai-ramai di rumah Dr Pengiran Amir, ahli Lembaga Penasihat NDP untuk memohon pertolongan Allah agar memberikan pihak Brunei petunjuk dan hidayatNya dalam perundingan bagi penyelesaian isu sempadan antara Brunei dan Malaysia.
Sembahyang hajat akan di lakukan sebelum acara Malam Puisi anjuran Biro Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKWa) sempena Jubli Perak Kemerdekaan yang di adakan di tempat yang sama bermula.
Sementara itu menurut laporan perundingan isu sempadan antara Brunei dan Malaysia telah di mulakan semula 15 tahun yang lalu iaitu pada 1994 sebaik melalui Brunei-Malaysia Joint Commission yang di tubuhkan bagi tujuan menangani isu-isu kepentingan bersama dan memperkukuh hubungan serta kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini di jadualkan akan memulakan lawatan kerja dua hari ke Bandar Seri Begawan.
Antara agenda terpenting lawatan beliau ialah untuk menandatangani Pertukaran Surat bagi mengisytiharkan secara rasmi penyelesaian kepada isu sempadan Malaysia-Brunei.
Beliau dijadualkan mengadap ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-pertuan Negara Brunei Darussalam dan mengadakan pertemuan empat mata.
Kenyataan Kementerian Luar Malaysia menyebut Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Rastam Isa dan pegawai kanan kerajaan.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Malaysia cadangan untuk memulakan rundingan dua hala bagi menyelesaikan isu sempadan Malaysia-Brunei Darussalam mula dibangkitkan pada 1994, diikuti oleh satu cadangan lagi, tiga tahun kemudian.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak masih belum mencapai penyelesaian yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
"Susulan daripada itu, kedua-dua negara meneruskan rundingan sejak Mei 2003 sehingga Ogos lepas," menurut kenyataan itu.
Menerusi beberapa siri kerjasama ini, kedua-dua negara akhirnya mempersetujui satu pakej penyelesaian yang turut mengandungi sempadan maritim antara Malaysia dan Brunei Darussalam, kerjasama dalam penerokaan serta penggunaan sumber hidrokarbon dan penandaan sempadan darat antara kedua-dua negara.
Penyelesaian kepada perkara berkenaan memastikan ketentuan berhubung hak kedaulatan dan perundangan ke atas pentas benua serta Zon Ekonomi Eksklusif antara kedua-dua negara.
Pada masa sama, tuntutan maritim bertindih antara kedua-dua negara turut diselesaikan.
Selanjutnya, penyelesaian itu membolehkan kedua-dua negara memulakan pembangunan baru dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan dalam zon maritim masing-masing tanpa sebarang konflik.
Penyelesaian yang telah pun dicapai itu senada dengan semangat setia kawan antara Malaysia dan Brunei, selain aspirasi kedua-dua negara untuk menumpukan segala usaha ke arah meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor, termasuk ekonomi, demi faedah bersama.
|