PADA sidang media ringkas di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam sebelum pulang ke ibu negara Isnin lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara sekali lalu menyebut Brunei sudah menggugurkan isu tuntutan ke atas Limbang, sekali gus mengesahkan pemilikan negara khususnya Sarawak terhadap daerah itu.
Berlatarbelakangkan isu tuntutan bertindih berlarutan sejak puluhan tahun lalu, umum menjangkakan keputusan sebesar itu hanya mampu dicapai dalam rentetan suasana 'hingar-bingar', malah berkemungkinan berakhir di meja Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) selaku jalan penyelesaian terakhir seperti pertindihan tuntutan dengan Singapura sebelum ini.
Sebaliknya, ia berlangsung dalam ruang lingkup kekeluargaan penuh mesra dua negara berjiran, dengan prinsip bertolak-ansur dan saling hormat-menghormati menjadi tunjang yang membawa kepada persetujuan bersama.
Malah, apa yang terungkap dari mulut Perdana Menteri berhubung ketetapan Limbang di pejabat Suruhanjaya Malaysia di Brunei itu, seharusnya dikenang sebagai legasi sangat bermakna dalam lembaran sejarah hubungan akrab Malaysia-Brunei, terutama dalam keadaan beliau menghampiri penghujung khidmat jawatannya.
Merakamkan penghargaan dan junjung kasihnya terhadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, atas kerjasama kedua-dua negara dalam menyelesaikan isu berkenaan, Abdullah menyifatkan kesepakatan itu sebagai termaktubnya era baru hubungan dua hala merangkumi pelbagai bidang tanpa perlu wujud perasaan kurang senang di kalangan mana-mana pihak.
Isu tuntutan ke atas Limbang, yang kedudukannya diapit daerah Brunei-Muara dan Temburong (ke arah Sabah) timbul setiap kali masalah persempadanan Malaysia-Brunei dibangkitkan sejak pembentukan Malaysia pada 1963.
Dengan keluasan 3,978 kilometer persegi, Limbang didiami kira-kira 42,600 penduduk berdasarkan bancian 2000, merangkumi etnik Melayu, Lun Bawang, Cina, Kedayan, Iban, Bisaya, Kelabit, Tagal dan Penan. Ia menjadi sebahagian Sarawak ketika pemerintahan James Brooke pada 1890.
Apabila Sarawak mencapai kemerdekaan dan menganggotai Malaysia pada 1963, Limbang kekal sebagai satu daripada daerahnya.
Hakikatnya, kemampuan Malaysia dan Brunei menyelesaikan pelbagai isu membabitkan persempadanan darat dan maritim kedua-dua negara hasil siri rundingan berterusan sejak pertengahan 1990-an membuktikan betapa perkara membabitkan kepentingan bersama perlu ditangani dengan telus, profesional dan bebas daripada prasangka.
Isu tuntutan Limbang itu sememangnya bukan asing bagi Perdana Menteri. Di akhir mesyuarat pertama Suruhanjaya Malaysia-Brunei di Langkawi pada 24 April 1994, beliau yang ketika itu Menteri Luar, menyatakan persetujuan kedua-dua negara untuk menyelesaikan kemelut pertindihan daerah itu menggunakan pendekatan dua hala tanpa perlu merujuk kepada pihak ketiga.
Menerusi pertemuan itu juga, kedua-dua negara bersetuju bahawa isu pertindihan tuntutan berkenaan tidak perlu dirujuk kepada ICJ, sejajar keyakinan pemimpinnya untuk mencari penyelesaian.
Berpegang kepada konsep musyawarah dan setia mematuhi janji supaya masalah itu kekal sebagai urusan keluarga, Malaysia dan Brunei hanya memerlukan 15 tahun untuk mengakhiri episod Limbang - jangka masa yang dianggap singkat memandangkan isu yang perlu ditangani bukan calang-calang lantaran ia membabitkan kedaulatan wilayah.
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, merumuskan penutup penuh bermakna itu dengan sempurna dan sarat dengan diplomasi.
"Tuntutan (bertindih ke atas Limbang) tidak pernah menjadi pertelingkahan besar di antara kedua-dua negara atau menghalang usaha kerajaan negeri menjaga kebajikan rakyat. Isu Limbang ditangani dengan berhati-hati dan kami membangunkan Limbang demi kebajikan rakyat.
"Paling penting, Brunei tidak pernah menghalang dan saya ucapkan terima kasih kerana memahami. Banyak ruang kerjasama boleh diwujudkan dan tiada lagi isu kecil boleh menghalang," katanya.
Kecil atau besar, Malaysia dan Brunei sudah membuktikan bahawa rundingan yang berlangsung selama ini bukan sekadar cakap kosong tanpa penyelesaian. Mereka mahukan yang terbaik untuk negara masing-masing, namun mereka juga menyedari kepentingan untuk menjunjung prinsip menghormati kejiranan.
Tanpa perlu bertikam lidah atau bermasam muka, Malaysia dan Brunei mencipta sejarah baru apabila meletak noktah terhadap kemelut ini secara penuh terhormat. Ia bukan soal siapa menang atau kalah kerana pengertiannya mencakupi skop lebih luas daripada itu.
Hubungan Malaysia dan Brunei kini layak diletak di persada tertinggi kerana berjaya menguraikan permasalahan rumit secara budiman, malah sewajarnya menjadi lambang terhadap sebarang tuntutan pertindihan wilayah.
Selain isu Limbang, Malaysia dan Brunei turut bersetuju memuktamadkan persempadanan maritim Malaysia-Brunei, pewujudan Kawasan Aturan Komersial (CAA) bagi minyak dan gas, penentuan sempadan darat Malaysia-Brunei serta hak laluan maritim yang tidak boleh dicabuli.
Pembentukan jawatankuasa bersama untuk memperincikan butiran sebagai susulan apa yang dipersetujui kedua-dua negara dalam majlis bersejarah di Istana Nurul Iman, membuktikan Malaysia dan Brunei mahu memulakan perjalanan episod baru ini dengan segera.
Ia termasuk memperhalusi persetujuan berhubung isu persempadanan maritim bagi menentukan ketetapan sempadan laut, pelantar benua dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) kedua-dua negara, dengan Malaysia dan Brunei berhak melaksanakan undang-undang dan peraturan di samping memulakan pembangunan baru di perairan sendiri.
Pertemuan Abdullah dan Sultan Hassanal Bolkiah kelmarin mungkin singkat, namun hasilnya bakal dikenang selagi hayat dikandung badan. (Berita Harian)
|