Info Harian
Cuaca
Waktu Solat
Berita Kerajaan
Info Niagaan
Direktori Niagaan
Brunei SMEs
Info Brunei
Kenali Brunei
Kerajaan Brunei
Daily Diary
Pelita Brunei
Brunei Tourism
Telefon Kerajaan
Brunei Darussalam and the IMF
The EU's relations with Brunei
CIA on Brunei
WATCH NDP VIDEOS
 
 
EMAIL
UCAPAN PERASMIAN HIMPUNAN TAHUNAN PEMUDA, WANITA DAN NON-MUSLIM OLEH TIMBALAN PRESIDEN PARTI PEMBANGUNAN BANGSA

UCAPAN ALU-ALUAN PENGERUSI PANITIA KONGRES PERTAMA PARTI PEMBANGUNAN BANGSA

LAGU PATRIOTIK NDP - DEMI BRUNEI TERCINTA

ALBUM KONGRES AGONG NDP KE 2

ALBUM NDP JUNJUNG ZIARAH KEHADAPAN MAJLIS KDYMM DI KUALA BELAIT

KEYNOTE ADDRESS OF THE PRESIDENT OF NDP

PRESS STATEMENT IN CONJUNCTION WITH THE VISIT OF GERMAN'S MPS TO NDP
 
Artikel pilihan

Kearah Perpaduan Nasional: Harapan Dan Cabaran

TUNTUTAN PEMBELAJARAN BERTERUSAN

TUNTUTAN ORGANISASI: AMANAH DALAM PENGURUSAN PENTADBIRAN

MENCONTOHI MODEL KEPIMPINAN PARA  NABI

DIRGAHAYU KDYMM PADUKA SERI BAGINDA SULTAN- Berazam kearah BRUNEI tanpa penerima zakat

WACANA DARI MEJA PRESIDEN

MENGURUS KEJUTAN, MENGHURAI KEKUSUTAN:
 KES  TUNTUTAN BRUNEI KEATAS WILAYAH LIMBANG

Pandangan pablik di Negara Brunei Darussalam mengenai pengumuman penyelesaian isu persempadanan Brunei-Sarawak pada hari Isnin 16 Mac 2009 baru lalu, khususnya Brunei- Limbang  diterima dengan reaksi yang bercampur-campur.

Keadaan ini berlaku disebabkan garis sempadan baru yang dipersetujui didalam Petukaran Surat-Surat (Letters of Exchange) antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia  dengan perdana Menteri Malaysia masih belum jelas kepada pablik. Dokumen tersebut juga  mengadungi banyak terminologi yang terlalu teknikal bunyinya dan tidak difahami  orang awam seperti kami didalam Parti Pembangunan Bangsa(NDP)  ini.

Adat orang tidak faham seperti kami tentunya  menimbulkan banyak tanda tanya, kemana Pertukaran Surat-Surat (LoE) itu akhirnya hendak membawa isu persempadanan dan tuntutan Brunei keatas Limbang?. Apa dia yang dikatakan Pertukaran Surat-Surat yang ditanda tangani itu dan sejauh mana ianya mengikat?. Apa dia yang disebut prinsip ”watershed” itu?, apa dia lima perjanjian yang disebutkan itu? dan apa pula proses selepas itu? Bilakah agaknya isu persempadanan itu selesai sepenuhnya?

Pada pandangan kita, tempoh 24 jam selepas penanda tanganan Pertukaran-Surat-Surat itu adalah saat-saat kritikal  dimana takrif perjanjian tersebut dan penjelasan segera amat perlu dibuat oleh pihak-pihak berkenaan bagi mengelak sebarang kekeliruan orang awam yang boleh mengundang kekusutan.

Mengadakan sidang media terbuka sebaik selesai majlis menanda tangani Pertukaran Surat-Surat yang dimaksudkan adalah diantara pilihan sebaran maklumat berkesan. Disidang seperti itulah berbagai persoalan mengenai kandungan dan takrif dapat diperjelaskan, seterusnya akan dikongsikan kepada umum melalui saluran media letronik dan cetak.

Sebarang persoalan mengenai takrif perjanjian itu, dan keraguan mengenai untung rugi perjanjian yang dicapai itu juga kemungkinannya dapat dihurai melalui sidang  media yang terbuka dan segera diadakan itu. Yang demikian  akan terjawablah segala kesangsian, teka teki dan keraguan orang ramai mengenai apa jua yang berkaitan dengan isu berkenaan.

Natijah dari pendekatan itu tidak syak lagi membuatkan pablik  lebih bermaklumat, dan lebih  jelas akan duduk persoalan. Pendekatan ini tentunya akan membantu ”mendifuse” dan mematikan sebarang salah tanggapan terhadap apa jua keputusan yang diambil oleh pihak berkenaan.

Namun begitu, kita melihat kekeliruan yang timbul itu boleh diambil  sebagai satu peluang terbaik untuk dijadikan iktibar oleh semua yang bergelar pemimpin untuk menilai dan  memperbaiki kaedah pendekatan yang sewajarnya dilakukan dimasa-masa depan, lebih-lebih lagi yang melibatkan minat dan menyangkut kepentingan  orang ramai .

NDP banyak menerima pertanyaan dari ahli-ahli dan bukan ahli mengenai isu persetujuan persempadanan yang disebutkan. Malangnya kepimpinan NDP sendiri tidak dapat membantu menerangkan segala persoalan dan kesangsian yang dilontarkan,  justeru pemimpin-pemimpin NDP pun masih samar-samar mengenainya.

Rakyat Brunei umumnya  dikejutkan dengan berita awal dari media Malaysia pada petang 13 Mac 2009, bahawa Brunei-Malaysia beberapa hari lagi akan menuju penyelesaian isu persempadanan Brunei – Limbang.

Berita itu sahih. Pertukaran Surat-Surat berlaku pada 16 Mac antara Kebawah DYMM dan Perdana Menteri Malaysia. Selesai majlis itu, disusuli pula dengan kenyataan  Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia dalam sidang media khas beliau bahawa Brunei telah menggugurkan tuntutannya keatas Limbang.

Kenyataan beliau itu membuat pendapat umum di Brunei sekali lagi bingkas terkejut mempersoalkan  kewajaran kenyataan itu kerana isu menggugurkan isu tuntutan Brunei keatas Limbang  tidak pernah dibayangkan oleh pihak berkenaan sebelum ini, dan juga tidak disentuh langsung didalam Pertukaran Surat-Surat yang ditanda tangani oleh kedua pemimpin tertinggi Negara Brunei Darussalam dan Malaysia itu.

Urutan dari kenyataan Dato’ Seri Abdullah  yang dianggap mengelirukan banyak pihak itu, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II, Pehin Dato Seri Setia Lim Jock Seng  di Majlis Mesyuarat Negera 17 Mac lalu menjelaskan bahawa  ”isu Limbang tidak pernah dirundingkan oleh pihak Kerajaan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Malaysia dan tidak dimuktamadkan mengenainya dalam dokumen Pertukaran Surat-Surat antara kedua-dua negara... Apa yang sebenarnya dirundingkan ialah berkenaan dengan sempadan darat seluruhnya” demikian dilaporkan oleh Media Permata, akhbar tempatan 18 mac 2009.

Dato’ Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Luar Malaysia dalam reaksi beliau mengenai kenyataan Pehin Dato Seri Lim itu segera mengakui bahawa ”Limbang tidak ada disebut dalam persuratan itu, cuma tanggapan apabila kelima-lima perjanjian itu dapat dilaksanakan, maka soal Limbang akan selesai.” (Utusan Malaysia 20 Mac 2009).

Urutan isu ini, NDP bertanggapan bahawa kekeliruan ini timbul kerana kurangnya ketelusan justeru orang ramai tidak bermaklumat.

Namun apa yang dapat kita pisi ialah, kita sebenarnya berhadapan dengan dua kes berasingan. Pertama ialah isu persempadanan dan kedua ialah isu tuntutan Brunei keatas Limbang.

Kita bersyukur, nampaknya kes pertama itu pada dasarnya telah berjaya dirungkai, walaupun belum sejelas mana perincian pencapaian persetujuan tersebut telah dicapai, namun kita memandang kehadapan bahawa Brunei kelak tidak berada dipihak yang rugi.

Mengenai kes kedua pula, sama ada Brunei berhasrat hendak menggugurkan atau tidak tuntutan keatas wilayah Limbang adalah isu lain. Isu ini dilihat lebih kompleks dari isu membetulkan garis persempadanan kedua negara kecuali jika  kaedah penyelesaiannya didasarkan kepada takrif dan tanggapan Malaysia  ”bahawa  apabila selesai kelima-lima perjanjian maka Limbang pun akan selesai” (Berita Harian 20 Mac 2009).

Dari sudut pandang NDP berdasarkan maklum balas ahli dan bukan ahli,  semua pihak hendaklah lebih berhati-hati menangani isu sama ada mengekal atau menggugurkan isu tuntutan Brunei keatas wilayah Limbang yang dinilai terlalu sensitif.

Isu Limbang ini nampaknya amat dekat dihati majoriti rakyat Brunei. Yang demikian, kita berpandangan adalah wajar agar pihak-pihak berkenaan turut merundingi, mendengar suara dan pandangan mereka sebelum sebarang keputusan mengenai masa depan tuntutan Brunei keatas wilayah Limbang di putuskan.

Rakyat kini lebih bermaklumat dari orang-orang dahulu. Mereka menunduki dan membaca sejarah rebah bangun bangsa dan negaranya yang pernah menjadi sebuah empayar Brunei raya.

Rakyat Brunei masih trauma dengan sejarah pahit bangsa dan negaranya yang suatu ketika dulu gilang gemilang memiliki satu juta kilometer persegi wilayah, tetapi kini tinggal sekangkang kera. Genarasi kini sudah tahu bahawa soal hak, maruah dan  keutuhan negara adalah nilai kebangsaan yang wajib dipertahankan. 

Dengan merundingi rakyat yang menjadi  ”stake holder” terbesar dalam kes ini dan bermaufakat mengambil kata sepersetujuan tentulah akan membawa natijah yang baik dan barakah. Dari kaca mata sejarah rakyat dan pemerintah tentunya akan dilihat bebas dari perlakuan sumbang dan jenayah sejarah.

Menyelesaikan isu pertindihan tuntutan ke atas wilayah Limbang dengan cara perundingan dua hala di antara pemimpin tertinggi kedua-dua negara  yang di mulai dengan penyelesaian isu persempadanan ini merupakan satu langkah bijak mencerminkan semangat setiakawan yang tinggi di kalangan negara Islam dan anggota pertubuhan ASEAN.

Dalam hal ini, menyedari bahawa  Brunei dan Malaysia merupakan dua Negara penting Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), adalah amat diharapkan sebarang bentuk  penyelesaian pertelingkahan atau permasalahan yang wujud, dilakukan berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan oleh Islam seperti yang disarankan Al-Quran dan As-Sunnah.

Pegangan kepada prinsip ini adalah penting bagi menonjolkan ciri sebenar kaedah penyelesaian konflik yang disarankan oleh Islam, yang berteraskan prinsip memberikan hak dan keadilan kepada yang berhak dan membela mereka yang ditindas.

Selain itu, menurut Abu-Nimer (2003), terdapat sekurang-kurangnya tiga prinsip asas yang perlu difahami dalam membincangkan asas penyelesaian konflik dalam islam.

Prinsip pertama ialah Islam meletakkan sebagai tanggungjawab setiap individu Muslim untuk menghilangkan sumber ketidakadilan dan mengembalikan keadilan dalam setiap aspek kehidupan mereka.

Kedua, adalah menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk melakukan kebaikan untuk diri dan kepada orang lain.

Asas ketiga ialah kesatuan Ummah sebagai tunjang penting kepada keadilan dan kesejahteraan masyarakat Islam seluruh dunia.

Prinsip-prinsip di atas adalah penting difahami kerana matalamat penting kepada penyelesaian konflik ialah bagi mengekalkan keharmonian dalam dan di antara masyarakat dan diantara negara.

Seperti yang disentuh tadi. unsur sejarah juga merupakan elemen yang amat penting. Sejarah dianggap sebagai sumber kestabilan dan panduan untuk membentuk masa depan yang harmoni dalam masyarakat. Jika elemen sejarah ini diabaikan, adalah dikahutiri keamanan yang wujud tidak berkekalan dan generasi berikutnnya akan meletakkan kesalahan kepada generasi yang terdahulu ke atas apa-apa yang berlaku di kalangan mereka.

Justeru, dengan merujuk kepada prinsip-prinsip yang dijelaskan di atas, sebarang langkah penyelesaian konflik yang diambil haruslah mengambilkira saranan yang digagaskan dalam Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan untuk menjamin kesejahteraan yang berterusan dalam hubungan antara Brunei dan Malaysia.

Dalam hal ini, langkah penyelesaian kepada pertindihan tuntutan ke atas Limbang perlu mengambil kira sumber kepada masalah yang timbul iaitu ketidakadilan dan manipulasi yang terhasil daripada penjajahan British sebelum kedua-dua Negara mencapai kemerdekaan lagi.

Walau bagaimana pun, pada pandangan NDP, jika pendekatan yang disebutkan masih dilihat longgar oleh kedua pihak yang bertikai iaitu Brunei dan Malaysia, atau atas sebab untuk menjaga intergeriti dan maruah masung-masing, maka kes tuntutan keatas wilayah Limbang  ini sewajarnyalah  diserahkan kepada keputusan muktamad Mahkmah Dunia. Wallah a’alam (mmo). 


Abu-Nimer, Mohammed. Nonviolence and Peace Building in Islam: Theory and Practice. Gainesville, FL: University Press of Florida, 2003.

 Abdul Aziz Said and Nathan C. Funk. The Role Of Faith In Cross-Cultural  Conflict Resolution. Kertas kerja dibentangkan di European Parliament for the European Centre for Common Ground, September 2001. Diperolehi dari : http://www.gmu.edu/academic/pcs/ASNC83PCS.htm (29 Ogos 2008).

 
Presiden NDP


Hj. Muhammad Yasin bin Abdul Rahman @ Yasin Affandy

Timbalan Presiden

Sdra. Mahmud Morshidi Othman

Setiausaha Agung

Hj. Aminorashid Hj. Ghazali






 
 
 
 
 
 
 
 
 
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.