BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 Mac. -Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, keagungan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam kerana Baginda itu menjadi Rasul pembawa rahmat kepada alam seluruhnya.
Hasil dari itu titah baginda, umat Islam telah dapat membangun tamadun yang bertunjangkan akidah, kasih sayang dan saling hormat-menghormati sesama manusia dan itulah punca kekuatan dan keteguhan yang Baginda (Rasullulah) asaskan.
Prinsip kasih sayang dan saling hormat-menghormati itulah yang diamalkan di negara ini dalam meniti usia kedewasaan bernegara, titah baginda.
Baginda juga bertitah, kemajuan dan pembangunan negara lebih mudah untuk diungkayahkan melalui amalan saling menyayangi dan saling menghormati, oleh itu janganlah sesiapa berfikir untuk bertindak yang sebaliknya.
Baginda bertitah demikian sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Tahun Hijrah 1430/2009 Masihi yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara melalui Radio Televisyen Brunei (RTB).
“Kita hidup harmoni dan aman damai adalah kerana kasih sayang. Kita teguh dan bersatu padu kerana amalan hormat menghormati sesama sendiri. Inilah punca rahmat Allah kepada kita,” titah baginda.
Baginda seterusnya bertitah, kita telah mengamalkan ‘Hablun Minannas’ (menjaga hubungan dengan sesama manusia) di samping memelihara dengan kuatnya ‘Hablun Minallah’ (hubungan dengan Allah) dalam makna sentiasa membuat ketaatan.
Amalan tersebut titah baginda telah diterapkan di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat yang berpegang kuat kepada ‘Tali Allah’ sehingga kekuatan menjelma dan kebajikan tersebar di kalangan ummah.
Mereka titah baginda sama sekali tidak membelakangi hukum Allah dan Rasul di dalam apa jua keadaan yang menjadikan mereka terus dihormati lagi digeruni.
“Inilah yang sebenar-benarnya rahsia kejayaan ini. Manakala Allah tidak dibelakangi, Dia pun tidak akan membiarkan kita bersendirian,” tegas titah baginda.
Semasa bertitah baginda juga mengingatkan, kalau kita berhajat kepada kemuliaan, Allah akan muliakan kita dan kalau kita menginginkan perlindungan-Nya, Allah akan melindugi kita sementara kalau kita berhasrat mengusahakan kemakmuran, Dia akan menunjukkan jalan bagaimana untuk memperolehi kemakmuran itu. (Ehsan Pelita Brunei)