BANDAR SERI BEGAWAN 19 Mac 2009 - Isu Limbang tidak pernah dirundingkan oleh pihak Kerajaan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Malaysia dan tidak dimuktamadkan mengenainya dalam dokumen Pertukaran Surat-Surat antara kedua-dua negara yang ditandatangani semalam.
Apa yang sebenarnya dirundingkan ialah berkenaan dengan sempadan darat seluruhnya, tegas Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II Pehin Dato Seri Setia Lim Jock Seng dalam sesi petang Majlis Mesyuarat Negara hari ini.
Beliau menjelaskan demikian ketika mengulas laporan kononnya Brunei telah menggugurkan tuntutan ke atas Limbang serta beberapa tuntutan lain yang diminta oleh Malaysia dan dilaporkan dalam beberapa buah akhbar hari ini.
Perkara berkenaan juga dibangkitkan oleh Dato Paduka Haji Puasa Tudin yang mahukan penjelasan mengenai perjanjian antara Kerajaan Negara Brunei Darussalam dengan Kerajaan Malaysia yang menyentuh mengenai tuntutan Brunei ke atas Limbang.
Pehin Dato Seri Setia Lim berkata perenggan tiga kenyataan akhbar bersama yang dikeluarkan petang semalam menyebut kedua-dua pihak bersetuju kepada asas-asas bagi penyelesaian isu-isu yang telah berpanjangan seperti menggunakan perjanjian-perjanjian yang telah lama wujud sebagai asas dan prinsip-prinsip watershed.
Selepas itu satu kumpulan petugas (working group) yang akan melibatkan Juru Ukur Agung kedua-dua pihak akan menetapkan aspek-aspek teknikal untuk menyelesaikan sempadan darat, jelasnya.
Beliau berkata perenggan enam kenyataan akhbar bersama itu ada menyebutkan: "Pembatasan sempadan-sempadan tanah di antara kedua-dua buah negara akan diselesaikan berdasarkan kepada lima buah perjanjian bersejarah yang ada pada masa ini di antara kerajaan negara ini dengan kerajaan Sarawak dan juga jika bersesuaian prinsip-prinsip watershed, sejurus itu segala isu berkaitan dengan sempadan-sempadan tanah kedua-dua buah negara akan diselesaikan mengikut apa yang berpatutan."
Ketika membuat penjelasan itu, beliau membaca tiga perenggan yang relevan dengan soalan yang ditimbulkan itu iaitu perenggan dua, tiga dan enam.
Perenggan dua kenyataan akhbar bersama itu menyebutkan: "Pemimpin kedua-dua buah negara telah mengadakan perjumpaan empat mata di Istana Nurul Iman pada 16 Mac 2009, kedua-dua pemimpin juga menandatangani Pertukaran Surat-Surat yang menandakan kejayaan perundingan terhadap isu-isu dua hala yang belum selesai di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia."
Menurutnya, perundingan berkenaan yang telah berlangsung sejak beberapa tahun kebelakangan ini mengambil kira kriteria-kriteria berasaskan kepada sejarah, undang-undang dan faktor lain yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak.
Perenggan tiga kenyataan akhbar bersama itu pula menyebutkan: "Kedua-dua pemimpin mengambil maklum persetujuan yang dicapai oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam dan Malaysia terhadap perkara-perkara utama yang terkandung di dalam Pertukaran Surat-Surat."
Perenggan tiga itu juga menyebutkan bahawa itu termasuk pengehadan sempadan maritim kedua-dua buah negara, penubuhan Commercial Arrangement Area (CAA) di bidang minyak dan gas, cara-cara penyelesaian pembatasan sempadan tanah kedua-dua buah negara dan hak-hak laluan maritim yang berterusan bagi rakyat dan penduduk Malaysia di seberang zon-zon maritim Brunei sama ada bagi mereka yang melawati atau memulai perjalanan dari Sarawak, Malaysia mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan Negara Brunei Darussalam."
Dalam majlis di Istana Nurul Iman semalam itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menandatangani Pertukaran Surat-Surat dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Kenyataan akhbar Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam menyebut: "Penandatanganan Pertukaran Surat-Surat merupakan satu peristiwa dan bersejarah bagi Negara Brunei Darussalam dan Malaysia."
Sementara itu Datuk Seri Abdullah ketika bercakap kepada wartawan Malaysia selepas majlis itu semalam mendakwa Brunei secara rasminya menggugurkan tuntutannya sejak sekian lama terhadap Limbang, bahagian di utara Sarawak.
Agensi berita rasmi Malaysia, Bernama mengutip beliau sebagai berkata perkara itu adalah sebahagian daripada peristiwa bersejarah berikutan pemeteraian Pertukaran Surat-Surat antara kedua-dua negara.
"Persetujuan yang dicapai dalam Pertukaran Surat-Surat itu ialah penyelesaian isu tuntutan ke atas Limbang yang Brunei telah gugurkan dan ini bermakna Limbang kini telah menjadi sebahagian Malaysia," katanya pada persidangan akhbar itu seperti dilaporkan oleh Bernama. (Media Permata) |