Sejak Pakatan Rakyat berjaya menguasai lebih banyak kerusi di parlimen, di samping mengambil alih kerajaan di beberapa buah negeri melalui pilihan raya umum Mac 2008 lalu, semakin banyak nampaknya isu-isu yang menyentuh institusi raja dan kedudukan orang Melayu muncul di negara jiran kita, Malaysia.
Terbaru, adalah isu yang menyentuh perebutan kuasa memerintah di Perak, sebuah negeri yang sebelum ini diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat, yang teraju kepimpinannya dikemudikan oleh seorang Menteri Besar dari Parti PAS.
Kemelut terbaru di Perak ini bermula dari tindakan tiga ahli Dewan Undangan Negeri Perak dari Pakatan Rakyat yang bertindak meninggalkan parti masing-masing, dua dari Parti Keadilan Rakyat dan satu dari parti DAP, untuk kemudiannya berdiri sebagai anggota bebas yang menyokong Barisan Nasional.
Ekoran dari itu, Barisan Nasional (BN) yang sebelumnya menguasai 28 kerusi, kini menerima sokongan tambahan tiga ahli dewan dari anggota bebas. Berikutan itu, BN telah berjaya mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membentuk kerajaan baru memerintah di negeri Perak.
Pakatan Rakyat yang sebelumnya memiliki 31 kerusi kini hanya menguasai 28 kerusi berikutan tindakan tiga anggota mereka yang berikrar menyokong Barisan Nasional seperti yang disebutkan.
Pakatan Rakyat dengan itu dilihat tidak lagi mendapat sokongan rakyat untuk mengendalikan kerajaan di negeri Perak. Dengan itu juga, Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari Parti PAS telah diminta supaya menyerahkan kepimpinan politik negeri Perak kepada Menteri Besar baru, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dari Parti UMNO yang dilantik oleh Perdana Menteri.
Pakatan Rakyat tidak berpuas hati dengan apa yang disifatkan sebagai campur tangan istana, lantas melalui peguam mereka, cuba mengheret Sultan Perak ke mahkamah dengan mendakwa bahawa mereka mempunyai alasan perundangan yang kukuh untuk mencabar keputusan Tuanku Sultan Perak.
Mereka berhujjah bahawa kerajaan baru BN yang diwujudkan di negeri itu adalah melalui perkenan Sultan, bukan melalui mandat rakyat iaitu pilihan raya, atau secara mengikut peraturan di Dewan Undangan Negeri justeru sebagai sesuatu yang tidak sah.
Bermula dari situ, Speaker dewan yang juga merupakan seorang ahli parti DAP, telah mengeluarkan perintah pengantungan selama setahun setengah kepada Datuk Dr. Zambry dan masing-masing selama satu tahun kepada keenam-enam ahli exconya daripada menghadiri sessi persidangan dewan.
Pakatan Rakyat selain itu turut memfailkan saman di mahkamah bagi memohon perintah perlantikan Datuk Dr. Zambry sebagai Menteri Besar Perak sebagai tidak sah.
Pada 3 Mac 2009, kesemua 28 ahli Dewan Undangan Negeri Perak dari Pakatan Rakyat telah mengadakan sidang tergempar di luar dewan berikutan kegagalan mereka untuk meminta sidang tergempar di adakan bagi membahaskan isu perlantikan Menteri Besar yang didakwa tidak mengkut lunas undang-undang tubuh negeri Perak itu.
Persidangan tersebut yang dilangsungkan di bawah pokok ditafsirkan sesetengah kalangan sebagai sesuatu yang turut bertujuan untuk memalukan kerajaan Barisan Nasional dan Istana Perak. Disatu dipihak lain pula, kejadian tersebut ditafsirkan lebih kepada satu bentuk protes kepada Kerajaan Barisan Nasional yang dikatakan telah merampas kerajaan negeri yang menerima mandat rakyat.
Bagi sesetengah kalangan diatas pagar pula, mereka melihat kemelut yang wujud sebagai sesuatu yang malang bagi politik Melayu dan tidak sepatutnya berlaku sekiranya semua pihak menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara dan menghormati hak orang-orang Melayu yang menjadi tuan di bumi orang Melayu.
Sebelum inipun, beberapa isu yang seakan-akan mempertikaikan ketuanan orang Melayu yang secara langsung atau tidak langsung, turut berkait dengan institusi raja, telah begitu banyak diperdebatkan oleh beberapa pihak khususnya dari kalangan pihak pembangkang bukan Melayu.
Isu-isu seperti kenyataan bahawa bukan Melayu boleh menerima konsep pemerintahan Melayu tapi bukan Ketuanan Melayu, isu hak istimewa orang-orang Melayu dalam perlembagaan negara yang dipertikaikan dan digesa supaya dimansuhkan, isu kouta kemasukan ke pusat-pusat pengajian tinggi yang digesa dimansuhkan dan diganti dengan prinsip meritokrasi, isu bahasa pengantar di sekolah-sekolah yang diminta tidak dihadkan hanya kepada Bahasa Malaysia, dan gesaan agar prinsip Dasar Ekonomi Baru di mansuhkan agar ianya memberi keadilan kepada semua kaum yang membentuk masyarakat Malaysia – adalah antara beberapa isu yang ditafsirkan sebagai boleh menggugat institusi raja dan aspek ketuanan Melayu di Malaysia.
Paling terbaru, masyarakat Melayu di negara jiran kita itu dikejutkan dengan kenyataan yang dibuat oleh seorang ahli politik pembangkang bukan Melayu yang menyifatkan Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak tahun 1970 sebagai satu dasar yang menyerupai aparteid.
Kenyataan tersebut yang berslogankan kata-kata “bumiputeraisme vs aparteid” disifatkan sebagai sesuatu yang dangkal, tidak memahami prinsip dan tidak mahu menerima fakta berkaitan kejayaan Dasar Ekonomi Baru yang bukan sahaja menyumbangkan manfaat kepada orang-orang Melayu, tetapi juga terhadap bukan Melayu.
Mereka berhujjah misalnya, sebelum seseorang kontrektor Melayu menikmati bayaran keuntungan dari projek yang dilaksanakan, maka pembekal--pembekal bahan binaan dan seumpamanya yang terdiri dari kalangan pembekal/peniaga bukan Melayulah yang terlebih dahulu menikmati keuntungan dan manfaatnya.
Umat Melayu di Malaysia kebelakangan ini juga diperhatikan sering berada dalam tekanan dan keresahan bilamana satu persatu perkara yang termaktub dalam perlembagaan negara cuba dipertikaikan dari masa ke semasa oleh mereka yang cuba mengambil pendekatan baru dalam perjuangan politik mereka.
Keadaan ini disifatkan sebagai sesuatu yang mendukacitakan, lebih-lebih lagi mengambil kira Malaysia dengan masyarakatnya yang berbilang kaum itu telah lebih dari setengah abad berkongsi hidup dalam membawa pembangunan dan kemakmuran kepada negara.
Harapan banyak kalangan kini adalah supaya setiap pihak benar-benar mematuhi prinsip undang-undang dan keadilan disamping menghormati perlembagaan dan kedaulatan raja dalam apa jua tindakan dan matlamat politik masing-masing bagi menjamin suasana damai yang dilalui oleh negara jiran itu pada masa ini akan kekal berpanjangan
Dalam konteks yang lain, kepimpinan NDP sewajarnya mengambil iktibar dari apa yang berlaku di negara jiran kita itu. Segala-galanya seperti berputar kencang hanya selepas 50 tahun Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya - satu putaran masa sejarah yang amat singkat. Kita gerun. Betapa tidaknya, sesuatu yang kita tidak terfikir 25 tahun dahulu, mungkin saja akan berlaku pada tahun 2035 kelak!.
Justeru itu demi kesedaran untuk memperkasa dan mempertahankan surviviliti negara bangsa kita yang berpaksikan Melayu Islam Beraja, pada hari ini, jam ini dan saat ini, tanpa kompromi, kita memerlukan pemimpin-pemimpin yang berpandangan jauh, futuristic, berintergriti, berani, bijaksana, setia dan ikhlas dalam membantu Kebawah DYMM Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan dan Ulil Amri kerana Allah jua. Wallahu a’alam- (mmo)