LIMBARUH HIJAU 03 MARCH 2009 - Sidang Kemuncak ASEAN Ke-14 di Thailand berakhir dengan satu Deklarasi Cha-am Hua Hin Peta Jalan Bagi Kumuniti ASEAN 2009-2015 (Cha-am Hua Hin Declaration on the Roadmap for an ASEAN Community 2009-2015).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat bersama Ketua-ketua Negara dan Kerajaan ASEAN bagi Majlis Menandatangani Deklarasi tersebut selepas selesai Majlis Retreat pagi tadi yang berlangsung di Hotel Dusit Thani Hua Hin.
Baginda Sultan dan rakan-rakan pemimpin ASEAN yang lain telah menilai semula pencapaian ASEAN sepanjang tahun ini, terutamanya perlaksanaan Piagam ASEAN.
Di sesi tersebut Baginda Sultan bertitah menyentuh mengeni Piagam ASEAN.
Titah Baginda Piagam Asean dapat memberikan hala tuju yang lebih jelas untuk mengukuhkan mekanisme yang sedia ada bagi membolehkan negara-negara ahli untuk bergerak dengan bersatu padu.
“ASEAN perlu menjadi lebih kukuh dan bersepadu kerana ianya dapat menjejaskan kredibiliti pertubuhan tersebut,” titah baginda.
ASEAN titah baginda, perlu meningkatkan lagi peranan utamanya dalam proses-proses ASEAN lain bagi mengatasi segala cabaran.
Mengenai dengan keadaan ekonomi semasa, baginda mengambil maklum bahawa ASEAN telah mengalami cabaran yang serupa di masa yang lalu dan menekankan kepentingan bagi negara-negara ahli untuk bersama-sama mengatasi cabaran tersebut.
Baginda menyatakan negara-negara ahli perlu menentukan cara-cara untuk memulih semula dan membina keyakinan sistem kewangan, dasar-dasar ekonomi dan kepercayaan orang ramai bagi mengatasi masalah krisis kewangan.
Baginda berpendapat ASEAN perlu menunjukkan ‘stakeholder’ dan masyarakat dunia yang ianya telah mengambil hala tuju yang tepat bagi membina ekonomi dan sistem kewangan yang lebih kukuh bagi rantau tersebut.
Dalam hubungan ini, baginda berharap negara-negara ahli akan dapat menahan diri dari mengambil langkah-langkah ‘protectionist‘ serta meneruskan usaha-usaha perpaduan ASEAN dan menunaikan komitmen dengan rakan-rakan dialog bagi mencapai Komuniti Ekonomi ASEAN.
Baginda juga melahirkan rasa puas hati terhadap hasil positif Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan ASEAN Plus Three, terutamanya untuk bekerjasama dengan rakan-rakan serantau dalam penubuhan mekanisme pemantauan serantau bebas bagi meningkatkan persediaan dalam menangani sebarang kegawatan kewangan di masa yang akan datang.
Mengenai dengan penjaminan pemakanan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan ASEAN perlu mencari jalan untuk mengukuhkan lagi mekanisme serantau seperti menggalakkan pelaburan dalam sektor pertanian, dan meningkatkan lagi keupayaan hasil permakanan dirantau tersebut.
Baginda seterusnya menambah pembekalan makanan yang berterusan di rantau tersebut akan meningkatkan lagi keyakinan orang ramai.
Mengenai dengan keselamatan tenaga, baginda menyatakan harga minyak yang tidak menentu di sepanjang tahun lepas, yang mana meningkatkan lagi kepentingan dasar tenaga yang stabil di rantau ini bagi membantu pertumbuhan dan perkembangan yang berterusan.
Baginda menambah bahawa perkara tersebut perlu diatasi dengan berkesan bagi kepentingan pertumbuhan ekonomi serantau.
Baginda berpendapat aktiviti-aktiviti yang sedang dijalankan oleh ASEAN dan rakan-rakan dialognya merupakan langkah-langkah positif bagi mencapai kestabilan tersebut.
Walau bagaimanapun, baginda percaya negara-negara ahli dapat meningkatkan lagi usaha-usaha mereka, terutamanya dari segi perkongsian maklumat serta mengukuhkan lagi dialog dan kerjasama.
Mengenai dengan bencana alam, baginda menyatakan bahawa kesanya terhadap orang ramai, ekonomi dan infrastruktur adalah sama di mana saja.
Dalam hubungan ini, baginda melahirkan rasa puas hati terhadap kerjasama yang erat dalam pengurusan bencana alam oleh ASEAN Plus Three, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan Forum Serantau ASEAN (ARF). Baginda seterusnya menyatakan usaha-usaha tersebut melengkapi inisiatif negara ASEAN masing-masing. (Sumber Berita : Pelita Brunei)
|