DENGAN
NAMA ALLAH
YANG
MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI
Bahawa Dengan Sesungguhnya,
Demi kesedaran dan iltizam untuk menyokong dan
membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Baginda dalam mengekalkan
Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Melayu, Islam, Beraja dan
demokratik sebagaimana yang telah diamanatkan oleh Baginda melalui Titah
Pemasyhuran Kemerdekaan pada 01 Januari 1984;
Demi menunaikan tanggungjawab untuk menjadikan
Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang aman dan makmur serta
mendapat keampunan Allah SWT (Baldatun Thayiibatun Wa Rabbun Ghafuur);
Demi mendukung prinsip keadilan dan ihsan (Al
‘Adli Wal Ihsan) yang menjadi amalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam;
Demi kesungguhan
cita-cita untuk menzahirkan segala yang dinukilkan di dalam perlembagaan Parti
Pembangunan Bangsa (Parti Pembangunan);
Maka dengan ini
dilancarkan sebuah manifesto yang dinamakan MANIFESTO PARTI PEMBANGUNAN BANGSA
(PARTI PEMBANGUNAN) 1427/2006 – 1437/2016.
Visi Parti Pembangunan :
“Negara
Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Melayu, Islam, Beraja, yang aman dan
makmur serta mendapat keampunan Allah SWT”
BAHAGIAN II
Misi Parti
Pembangunan :
1.
Mempertahankan Kedaulatan Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin
Waddaulah dan zuriat Baginda sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan dan Ulil Amri
di Negara Brunei Darussalam yang berkuasa dan memerintah berlandaskan Al-Quran
dan As-Sunnah Nabi Muhammad SAW.
2.
Mempertahankan Kedudukan Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah
dan zuriat Baginda sebagai pewaris takhta Kesultanan Negara Brunei Darussalam
buat selama-lamanya.
3.
Menyokong dan Membantu Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah
dan zuriat Baginda dalam menegakkan serta mempertahankan Islam dan Syariatnya
sebagai Ad-Din, di Negara Brunei Darussalam, tanpa adanya sebarang diskriminasi
atau ketidakadilan terhadap penganut agama yang lain.
4.
Menyokong dan Membantu Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah
dan zuriat Baginda dalam menegakkan serta mempertahankan ketuanan Melayu-Muslim
di Negara Brunei Darussalam, tanpa adanya sebarang diskriminasi atau
ketidakadilan terhadap bangsa-bangsa dan kaum-kaum yang lain.
5.
Menyokong dan Membantu Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah
dan zuriat Baginda dalam mempertahankan dan mengekalkan kemerdekaan, kedaulatan
dan keamanan Negara Brunei Darussalam.
6.
Menyokong dan Membantu Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah
dan zuriat Baginda membangunkan Negara Brunei Darussalam dalam semua sektor,
termasuk ekonomi, sosial, budaya dan pendidikan, sehingga menjadi dan
berterusan berkekalan sebagai sebuah negara Melayu Islam yang progresif,
berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain dan negara yang merdeka di arena
antarabangsa.
7.
Menyokong dan Membantu Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah
dan zuriat Baginda menegakkan dan mempertahankan prinsip keadilan dan ihsan
(Al-‘Adl Wal Ihsan) di Negara Brunei Darussalam.
Objektif Utama Parti Pembangunan :
1.
Memupuk rasa taat setia yang tidak berbelah
bahagi di kalangan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah terhadap Baginda sebagai
Sultan dan Yang Di-Pertuan dan Ulil Amri Negara Brunei Darussalam, dan terhadap
zuriat keturunan Baginda.
2.
Mendidik dan menyemai semangat patriotik,
cintakan negara, dan kesedaran berpolitik secara aman dalam suasana madani di
kalangan rakyat.
3.
Berusaha membantu Kerajaan Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei
Darussalam mewujudkan sistem pemerintahan, pentadbiran dan pengurusan yang adil
dan saksama, telus, bersih, cekap, amanah, penuh ihsan dan kebajikan.
4.
Bekerjasama dengan mana‑mana jua pihak
yang menghormati visi, misi dan objektif utama Parti Pembangunan dalam
menjayakan wawasan Parti, selagi ia tidak bertentangan dengan perlembagaan dan
undang-undang negara.
5.
Berusaha menjalin hubungan dan kerjasama
dengan badan‑badan dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, Kerajaan dan
bukan Kerajaan, dan lain‑lain demi kepentingan nasional, terutama sekali
bagi memajukan dan membangunkan negara dan bangsa Brunei yang merdeka.
6.
Bergiat memartabatkan dan memajukan Bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi negara, di samping mengembangkan pengajian Bahasa
Al-Quran dan penggunaan tulisan Jawi.
7.
Pada amnya, menjalankan apa-apa jua kegiatan
yang telah digariskan oleh Perlembagaan Parti Pembangunan dan apa-apa jua
kegiatan yang sah di sisi perlembagaan dan undang‑undang negara demi
menunaikan komitmen untuk membantu membangun negara dan membina keutuhan
bangsa.
Syor, Program
dan Komitmen :
Bagi menterjemahkan
segala ikrar dan mengotakan janji yang dibuat Kehadapan Majlis Kebawah DYMM
Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kepada
negara dan kepada rakyat Baginda seluruhnya, dicernakan visi, misi dan objektif
utama Parti Pembangunan kepada cadangan-cadangan dan pelan tindakan untuk
jangka masa 10 tahun (1427/2006 – 1437/2016) merangkumi syor, program dan
komitmen Parti Pembangunan seperti yang galurkan di bawah dan perlaksanaannya,
Insya-Allah akan diungkayahkan mengikut
keupayaan, kesesuaian, urutan keutamaan, masa dan tempat.
Dengan
penuh sedar Parti Pembangunan akan
berusaha melakukan kajian mendalam ke
atas sebarang syor yang dikemukakan sama ada yang melibatkan aktiviti dan
program dalaman parti atau syor untuk dikemukakan kepada Kerajaan Kebawah DYMM,
bagi pertimbangan dan perlaksanaan mengikut kesesuaian dan keperluan atau syor
bagi mempertingkatkan keberkesanan mana-mana program yang sedang dilaksanakan
oleh Kerajaan Baginda.
Dengan
penuh sedar Parti Pembangunan akan sedaya upaya mengungkayah dan menunaikan
segala komitmen, ikrar sokongan dan bantuan Kehadapan Majlis Kebawah DYMM
Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan
Kerajaan Baginda seperti yang dimaktubkan di dalam perlembagaan, dan
manifesto Parti Pembangunan yang pada
garis kasarnya dipersembahkan seperti berikut:
·
Mencadang, menyokong dan membantu sebarang usaha Kebawah DYMM sebagai
Mujaddid bagi ummat Islam di Negara Brunei Darussalam, dan sebarang usaha
Kerajaan Baginda, untuk:
Memperkukuh dan memperdalam kecintaan
Muslimin / Muslimah di Negara Brunei Darussalam kepada Allah SWT dan Nabi
Muhammad SAW, serta ummat Islam dan ummat manusia sejagat;
memperkemas dan mempergiatkan program
pembangunan insan melalui kegiatan dakwah dan tarbiyah secara terancang dan
berterusan bagi melahirkan rakyat yang berkualiti tinggi dan bersahsiah
terpuji;
mengimarahkan masjid dan surau sepanjang tahun sebagai pusat perkembangan
ilmu, keagamaan, dakwah dan tabligh, serta memerangi kejahilan dan
menjadikannya nadi kegiatan pembangunan ummah, dan tidak menghadkan kegiatannya
kepada hari-hari atau bulan-bulan tertentu sahaja;
memurnikan pemikiran, kepercayaan dan amalan
rakyat Kebawah DYMM dari segala gejala tahyul dan khurafat yang boleh
menjejaskan aqidah dan menyesatkan;
membekalkan mashaf terjemahan Al-Quran, kitab
hadis Sahih Bukhari dan Sahih Muslim dan kitab-kitab muktabar dalam Mazhab
As-Syafii secara percuma ke setiap rumah
atau kediaman Muslimin / Muslimah di Negara Brunei Darussalam dan menjadikan
kitab-kitab ini sebagai asas pengajian dan panduan amalan setiap keluarga
Muslim;
menubuhkan Arkib Fatwa Islamiah Asia Tenggara
(Islamic Fatwa Archive of South-east Asia) di bawah kelolaan dan pengurusan Jabatan
Mufti Kerajaan, di mana pengumpulan serta penyelidikan ke atas fatwa-fatwa para
mufti dan ulama Mazhab As-Syafii di Asia Tenggara dahulu, sekarang dan di
masa-masa yang akan datang dapat dilaksanakan secara bersistematik mengikut
kaedah-kaedah yang moden dan terkini, agar institusi ini menjadi tempat rujukan
ulung dan utama Dunia Islam di dalam bidang tersebut dengan pengiktirafan
daripada OIC (Organisation of Islamic Conference);
mengadakan kajian bertujuan mempertingkatkan
kecekapan dan keberkesanan pengurusan Baitul Mal dengan mengambilkira ijtihad
terkini dan kontemporari ulama-ulama tersohor ke arah memartabatkan institusi
Baitul Mal demi kepentingan ummah di dalam dan di luar negara;
melaksanakan sistem pemungutan dan agihan
zakat mengikut kaedah yang lebih efektif di mana dengan sistem tersebut dan
melalui peruntukan undang-undang dan penggunaan teknologi, dipastikan bahawa
mereka yang wajib mengeluarkan zakat akan melunaskannya tanpa gagal dan mereka
yang berhak akan menerimanya mengikut lunas-lunas syarak;
membuat penyesuaian waktu bekerja dan waktu persekolahan, yang
lebih kondusif untuk Muslimin / Muslimah mendirikan solat, serta menyediakan
persekitaran yang memungkinkan seluruh Muslimin / Muslimah di Negara
Brunei Darussalam menegakkan solat dengan sempurna, termasuk mempertimbangkan
hari Khamis dan hari Jumaat sebagai hari cuti atau kelepasan awam mingguan,
menggantikan yang dikuatkuasakan ketika ini, iaitu hari Jumaat dan hari Ahad;
merangka pelbagai kaedah untuk menegakkan
makruf dan mencegah kemungkaran secara efektif dan berterusan;
memperkukuh dan memperdalam kecintaan
Muslimin / Muslimah di Negara Brunei Darussalam terhadap tempat-tempat suci
ummat Islam, khususnya Masjid Al-Haram di Makkah Al-Mukarramah dan Masjid
An-Nabawi di Madinah Al-Munawwarah di Jazirah Arab, dan Masjid Al-Aqsa di Bait
Al-Maqdis, ibu negara Palestin;
mewujudkan golongan rakyat dan jati diri
bangsa yang mengamalkan nilai-nilai
kehidupan masyarakat madani yang diterasi oleh nilai-nilai dan prinsip Islam
yang universal.
· Parti Pembangunan dengan penuh iltizam berusaha
untuk :
Mempertahankan kesucian Islam sebagai cara
hidup (Ad-Din), agama rasmi dan agama negara;
merangka dan menggerakkan program untuk
menjadikan semua markaz Parti Pembangunan sebagai pusat penyebaran ilmu, dakwah
dan kegiatan-kegiatan lain yang bermanfaat sebagai pelengkap kepada usaha-usaha
yang dilaksanakan Kerajaan Kebawah DYMM;
melakukan kajian dan penilaian semula ke atas
amalan adat istiadat dan segala bentuk perhiasan masyarakat Islam di Negara
Brunei Darussalam dan mencadangkan melalui Jabatan Mufti Kerajaan supaya
memurnikan mana-mana adat istiadat, penggunaan dan pemakaian alat perhiasan
mereka supaya tidak bercanggah dengan syarak;
mendidik ahli-ahli Parti Pembangunan yang
beragama Islam agar sentiasa berpegang kepada prinsip menegakkan makruf dan
mencegah kemungkaran dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan;
mengamat-amati secara berterusan serta
mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa bagi mempertingkat
dan memperkembangkan pengurusan dan perlaksanaan kegiatan dakwah dan pendidikan
Islam agar sentiasa selari dengan titah Kebawah DYMM, falsafah negara dan
aspirasi rakyat pada amnya.
PROSES
PEMBANGUNAN DAN PEMBAHARUAN POLITIK
·
Mencadang, menyokong dan membantu sebarang usaha Kerajaan Kebawah DYMM untuk:
Menstruktur semula badan hisbah dan pemantauan yang
bertanggungjawab terus Kehadapan Majlis Kebawah DYMM sebagai Sultan dan Yang
Di-Pertuan dan Perdana Menteri, supaya lebih efisien dan efektif, sebagai
kaedah membantu Kerajaan Baginda di dalam amalan urus tadbir yang baik dan
telus, membendung gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa;
mewujudkan iklim politik yang sihat di mana semua
kementerian, jabatan dan agensi-agensi
Kerajaan Kebawah DYMM yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan
pemantauan kegiatan politik dan sosial di Negara Brunei Darussalam melalui
pendekatan terbuka, mesra dan berhemah dengan parti-parti politik dan
badan-badan sosial sesuai dengan nilai-nilai amalan politik Islam dan
norma-norma politik antarabangsa dan semangat pembaharuan yang dihasratkan oleh
Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei
Darussalam;
mempergiat dan menstruktur semula sistem syura dalam
pemerintahan negara yang telah wujud sejak zaman berzaman melalui pembentukan
institusi parlimen yang mempunyai dua dewan iaitu, Majlis Mesyuarat Negara dan
Majlis Permesyuaratan Diraja. Majlis Mesyuarat Negara berperanan sebagai ‘lower
house’ sementara Majlis Permesyuaratan
Diraja berperanan sebagai ‘upper house’. Di bawah penstrukturan semula ini :
o bilangan ahli Majlis
Mesyuarat Negara yang sedia ada ditambah dengan majoriti ahli-ahlinya dipilih
terus oleh rakyat Kebawah DYMM melalui satu sistem pilihan raya yang bebas dan
telus. Calon-calon dari kalangan rakyat Kebawah DYMM yang bertanding mestilah
memenuhi kelayakan akademik yang ditetapkan di samping kriteria-kriteria lain selaras
dengan peruntukan undang-undang bagi mewujudkan sebuah sistem syura yang
benar-benar efektif dan representatif
demi kemakmuran dan kemajuan negara;
o Majlis
Permesyuaratan Diraja pula hendaklah dianggotai oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat
Diraja, Majlis Mesyuarat Adat Istiadat dan Majlis Ugama Islam Brunei. Keahlian
Majlis Mesyuarat Diraja, Majlis Mesyuarat Adat Istiadat dan Majlis Ugama Islam
Brunei dipilih seratus peratus oleh Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan
Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam;
o institusi ‘upper
house’ tersebut divisikan berperanan sebagai penapis kepada sebarang cadangan
rang undang-undang yang dikemukakan oleh Majlis Mesyuarat Negara, untuk
memastikan yang ianya tidak bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah Nabi Muhammad
SAW, adat istiadat, resam serta tradisi Melayu Brunei, dan segala hak Kebawah
DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam;
o sistem syura yang
disyorkan ini tetap mengekalkan kuasa meluluskan undang-undang kepada Kebawah
DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan sepenuhnya mengikut syariat
dan tradisi Islam dalam peranan Baginda sebagai Ulil Amri;
o tidak syak lagi
(sistem syura ini) akan memperkukuhkan keyakinan semua pihak terhadap sistem
pemerintahan negara dan sekaligus memperluas dan menginstitusikan secara
efektif penyertaan rakyat Kebawah DYMM
di dalam proses pentadbiran negara, seperti mana jua yang dinilai dihasratkan
oleh Baginda.
menstruktur semula pentadbiran mukim / kampung di
Negara Brunei Darussalam dengan saranan supaya:
o Penghulu / Ketua
Kampung dipilih secara langsung oleh penduduk dan akan memegang jawatan secara
berpenggal (5 tahun sepenggal) dan menerima emolumen mengikut skim perkhidmatan
yang ditetapkan. Mereka yang dicalonkan mestilah memiliki kelayakan akademik
dan sahsiah yang terpuji dan kriteria-kriteria lain yang akan ditentukan oleh
Suruhanjaya Pemilihan sesuai dengan peruntukan undang-undang;
o mana-mana Penghulu /
Ketua Kampung yang memenangi pemilihan dan berkhidmat tidak kurang dari 2
penggal berturut-turut (10 tahun) layak dipertimbangkan untuk menerima imbuhan
sempena persaraan. Tempoh perkhidmatan seseorang Penghulu / Ketua Kampung tidak
melebihi dua penggal atau 10 tahun;
o setiap mukim /
kampung akan diberi geran per kapita tahunan yang akan dipertanggungjawabkan
kepada Penghulu / Ketua Kampung untuk tujuan pembangunan di kawasan
masing-masing. Pengurusan dan perbelanjaan geran tersebut hendaklah dibuat
mengikut peraturan kewangan Kerajaan Kebawah DYMM (State Financial Regulations)
/ Arahan Perbendaharaan (Treasury Instruction);
o menjadikan institusi
Penghulu / Ketua Kampung sebagai pelengkap kepada jentera pentadbiran Kerajaan
Kebawah DYMM di peringkat akar umbi yang bertanggungjawab bagi kebajikan dan
kesejahteraan rakyat di mukim dan kampung serta berfungsi sebagai penyalur
maklumat dan permasalahan setempat bagi tujuan perancangan pembangunan Kerajaan
Kebawah DYMM dan untuk tindakan susulan;
o memansuhkan /
melonggarkan sebarang peraturan yang menghalang ahli-ahli parti siasah /
politik dari menganggotai Majlis Perundingan Mukim / Kampung atau badan-badan
tajaan Kerajaan Kebawah DYMM seumpamanya
bagi membolehkan penyertaan mereka yang lebih bermakna di dalam pembangunan
mukim dan kampung atau badan-badan tajaan Kerajaan Kebawah DYMM yang lainnya.
mengetengahkan pendekatan pembangunan dan
ketahanan nasional berteraskan keutuhan Islam, semangat nasionalisme yang luas
dan syura, sesuai dengan Syariat Islam;
mewujudkan keharmonian dan kestabilan politik
berteras tuntutan semasa yang mengarah kepada ketelusan, keadilan, kesaksamaan,
dan keterlibatan rakyat secara menyeluruh dalam semua sistem dan proses politik
berpaksikan akauntabiliti dan keterlibatan rakyat dan Kerajaan Kebawah DYMM
dengan penuh kematangan.
· Parti Pembangunan dengan penuh iltizam berusaha
untuk:
Membantu mendidik rakyat khususnya
anggota-anggota Parti Pembangunan ke arah kesedaran berpolitik yang sihat dan
disiplin berorganisasi bagi menanai
reformasi politik sesuai dengan anjuran Kebawah DYMM di dalam titah Baginda
sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-58 bertempat di Balai
Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman pada 27 Jamadilawal 1425/15 Julai
2004;
membantu negara mengisi dan memberi erti
kepada kemerdekaan dari sudut politik, pembangunan ekonomi, sosial, pendidikan,
kebudayaan dan aspek-aspek lain ke arah negara ‘Baldatun Thayiibatun Wa Rabbun
Ghafuur’, iaitu negara yang aman makmur yang mendapat keampunan Allah SWT;
menjana pendemokrasian politik di dalam Parti
Pembangunan sebagai satu institusi yang menjamin hak ahli-ahlinya bersuara,
berorganisasi dan menentukan masa depan parti sesuai dengan kehendak dan
semangat perlembagaannya;
mengamat-amati secara berterusan serta
mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa bagi mempertingkat
dan memperkembangkan peranan Majlis Mesyuarat Negara untuk mempastikan prinsip
dan semangat penubuhan institusi ini sentiasa memenuhi aspirasi Kebawah DYMM
Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta
rakyat Baginda seluruhnya.
Pertanian, Perikanan dan
Makanan:
·
Mencadang, menyokong
dan membantu Kerajaan Kebawah DYMM ke atas sebarang usaha untuk:
Merangka dan membangunkan dasar pertanian makanan
bagi menjamin pengeluaran bahan-bahan makanan terutama sekali makanan asas yang
mencukupi, berkhasiat, bersih dan halal bagi menjamin kesihatan rakyat dan
keperluan negara semasa aman mahupun krisis dan memastikan rakyat sentiasa
mendapat bekalan makanan yang berkhasiat, bersih dan halal;
membangunkan industri asas tani bagi pengeluaran
hasil pertanian dan produk makanan secara komersial dan sekaligus mengurangkan
pergantungan negara kepada produk-produk yang diimport;
menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan
(R&D) teknologi pertanian yang berdaya maju bagi memanfaatkan penggunaan
bidang tanah yang terhad untuk pengeluaran yang optimum;
menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara
industri pemprosesan dan pengeluaran makanan halal yang berasaskan hasil
pertanian, ternakan serta hasil laut dengan mewujudkan dan membangunkan jenama
logo halal Negara Brunei Darussalam yang diyakini dan diterima masyarakat Islam
sedunia;
membina prasarana yang lengkap dan sempurna termasuk
prasarana multi-media dan pengangkutan, sebagai pemangkin kemajuan ekonomi dan
muamalat Islam;
· Parti Pembangunan dengan penuh iltizam berusaha
untuk :
Mengamat-amati secara berterusan serta
mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa bagi membantu
sebarang usaha Kerajaan Kebawah DYMM untuk memajukan sektor pertanian,
perikanan dan industri makanan demi menjana pendapatan negara dan pada masa
yang sama mengurangkan pergantungan kepada negara luar untuk keperluan makanan
negara.
Perhutanan dan Pembalakan:
·
Mencadang, menyokong
dan membantu Kerajaan Kebawah DYMM ke atas sebarang usaha untuk:
Memajukan industri perkayuan dan hasil hutan sebagai
perusahaan terkawal memandangkan kawasan hutan yang terhad dan perlunya hutan
dilindungi. Tumpuan hendaklah diberikan kepada perkara-perkara berikut:
o Pembalakan yang sihat
dan efektif yang mengurangkan atau tidak mencemarkan dan merosakkan alam
sekitar, dan yang membolehkan penumbuhan semulajadi pokok kayu kayan untuk
generasi yang akan datang;
o Program penanaman
semula secara agresif berbagai jenis kayu kayan yang memberikan pulangan yang
lumayan seperti gaharu, jati dan seumpamanya;
o Program penanaman
semula secara agresif di tempat-tempat hutan yang telah dibalak (enrichment
planting), kawasan yang musnah akibat kebakaran hutan, dan tempat-tempat yang
dikenalpasti sebagai kawasan perladangan, dengan berbagai jenis pokok kayu
kayan tempatan dan luar yang boleh memberi hasil secara beransur-ansur. Juga
untuk menggalakkan konsep agroforestry iaitu penanaman spesis sampingan yang
bukan berupa kayu kayan, seperti rotan di ladang yang sama, dan buluh-buluh di
ladang yang berasingan;
o Meningkatkan
kecekapan dalam teknik pemprosesan sawmilling, timber preservation dan industri
pembuatan perabot. Memperkenalkan penggunaan teknologi terkini dan peralatan
moden untuk meningkatkan ketepatan pemotongan kayu dan mengurangkan pembaziran.
Ini termasuk memperkenalkan produk-produk baru yang dihasilkan daripada bahan
buangan kayu;
o Strategi pemasaran
yang cekap dan berkesan.
· Parti Pembangunan dengan penuh iltizam berusaha
untuk :
Mengamat-amati secara berterusan serta
mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa bagi membantu
sebarang usaha Kerajaan Kebawah DYMM untuk memajukan industri perhutanan dan
pembalakan demi menjana sumber pendapatan negara dan pada masa yang sama untuk
melindungi warisan semulajadi negara yang terhad.
Perniagaan, Perusahaan dan
Perindustrian:
·
Mencadang, menyokong
dan membantu Kerajaan Kebawah DYMM ke atas sebarang usaha untuk:
Mendidik dan membimbing rakyat khususnya golongan
usahawan akan peri pentingnya pengurusan harta, perniagaan dan membudayakan
diri dengan nilai-nilai yang positif sebagai prasyarat kepada pembangunan
korporat yang berdaya saing di peringkat serantau dan global;
menggalak dan memotivasikan rakyat supaya meneroka
potensi diri, kreativiti dan inisiatif dalam merebut apa jua peluang ekonomi
dan membuka dimensi baru baik secara sendirian atau berkelompok dengan suntikan
dorongan dan bimbingan Kerajaan Kebawah DYMM;
memperkasakan pertubuhan koperasi sebagai satu
institusi penggerak dan pemangkin yang penting dalam pembangunan ekonomi
melalui penglibatan rakyat Kebawah DYMM yang meluas;
menurunkan kadar yuran pendaftaran perniagaan,
lesen-lesen perniagaan dan bayaran kos utiliti aktiviti perniagaan seperti
elektrik dan air, kos telefon dan internet, serta menyediakan premis-premis
perniagaan yang mampu disewa oleh peniaga-peniaga kecil dan sederhana dan
mengurangkan sebarang bentuk cukai yang dianggap membebankan sebagai pemangkin
pertumbuhan ekonomi;
menubuhkan sebuah Suruhanjaya Anti-Monopoli yang akan bertanggungjawab memastikan
bahawa keadilan ekonomi wujud di Negara Brunei Darussalam, di mana semua pihak
mendapat peluang yang saksama dalam memajukan kepentingan ekonomi masing-masing
dan tidak ada pihak yang memperolehi bahagian yang melebihi daripada apa yang
dinilai munasabah, sama ada secara keseluruhan atau pun sebaliknya, sehingga
menguasai dan berupaya mengancam kepentingan-kepentingan nasional, termasuk di
dalam industri-industri penting negara, seperti industri minyak dan gas,
komunikasi, dan sebagainya. Suruhanjaya tersebut hendaklah bertanggungjawab
kepada Majlis Mesyuarat Negara;
mewujudkan kawasan-kawasan bebas cukai di Negara
Brunei Darussalam bagi menarik para pelabur asing dan tempatan di mana di dalam
kawasan tersebut, Kerajaan Kebawah DYMM akan menyediakan prasarana yang
diperlukan dan tidak ada cukai yang akan dikenakan kepada syarikat-syarikat
yang berniaga atau membuka premis perniagaan di dalamnya. Syarikat-syarikat
yang berniaga di dalam kawasan bebas cukai tersebut hanya akan dikenakan syarat
di mana para pekerja mereka, baik di peringkat pengurusan, mahu pun di
peringkat-peringkat yang lain, hendaklah memenuhi kuota yang ditetapkan, di
mana para pekerja ini terdiri hanya daripada rakyat Kebawah DYMM dan penduduk
tetap negara ini. Pentadbiran setiap kawasan bebas cukai tersebut hendaklah
dikorporatkan dan diketuai oleh seorang Ketua Eksekutif, yang bertanggungjawab
kepada sebuah badan berkanun yang bertindak sebagai regulatory body ke atas
kesemua kawasan-kawasan bebas cukai tersebut. Badan berkanun tersebut pula
hendaklah bertanggungjawab kepada Majlis Mesyuarat Negara, melalui Jawatankuasa
Tetap (Kewangan dan Pembangunan Ekonomi) yang disyorkan penubuhannya;
menubuhkan sebuah jawatankuasa kecil di bawah
Jawatankuasa Tetap (Kewangan dan Pembangunan Ekonomi) di dalam Majlis Mesyuarat
Negara yang bertanggungjawab untuk melaksanakan pemantauan ke atas segala
perkara yang berkaitan dengan industri-industri nasional yang penting, termasuk
industri minyak dan gas, industri komunikasi, dan lain-lain, dan juga ke atas
syarikat-syarikat yang mengeksploit untuk dikomersialkan hasil bumi dan
khazanah negara, khususnya untuk memastikan bahawa industri-industri dan
syarikat-syarikat tersebut benar-benar berjaya menyumbang kepada pembangunan
dan perkembangan ekonomi negara. Bagi industri-industri di mana Kerajaan
Kebawah DYMM mempunyai kepentingan dan atau berkongsi pengeksploitasian atau
produk atau pendapatan dengan syarikat tempatan atau syarikat asing, atau dengan
negara asing, hendaklah juga mempastikan bahawa:
o Dasar Bruneisasi
dilaksanakan dengan terancang dan menyeluruh mencakupi semua peringkat dan
bidang dan dibuat penilaian pencapaian secara berkala;
o pemindahan
pengetahuan dan teknologi daripada rakyat asing kepada rakyat Kebawah DYMM
dilaksanakan dengan teratur dan terancang dalam tempoh yang dipersetujui dan
munasabah;
o hal ehwal pengurusan
kewangan dan yang berkaitan dengannya diurus dan dikawal secara telus tersebut,
bagi menghalang sebarang salahlaku dan penyelewengan bagi mengelakkan sebarang
kerugian kepada Kerajaan dan rakyat
Kebawah DYMM dalam apa jua bentuk sekali pun;
o dasar perolehan yang
telus dan saksama digubal dan dilaksanakan supaya tidak terdapat
syarikat-syarikat atau pemilik-pemiliknya, khususnya syarikat-syarikat milik
asing sebahagian atau sepenuhnya, yang memonopoli sebahagian besar daripada
kontrak atau tender yang dikeluarkan oleh industri-industri tersebut, dan di
mana munasabah serta pratikal, menetapkan had
jumlah nilai kontrak dan tender yang boleh diberikan kepada
satu-satu syarikat dalam satu-satu masa;
o syarikat-syarikat
yang mengambil bahagian di dalam kontrak atau tender yang dikeluarkan oleh
industri-industri tersebut bukanlah terdiri daripada syarikat-syarikat yang
dikategorikan sebagai syarikat ‘Ali Baba’ atau window dressing.
o keutamaan diberikan
kepada syarikat-syarikat tempatan untuk membekalkan segala perkhidmatan dan
produk huluan (upstream) yang diperlukan oleh industri-industri nasional dan
atau syarikat-syarikat yang berkongsi
pengeksploitasian atau produksi atau pendapatan dengan Kerajaan Kebawah
DYMM. Keutamaan juga diberikan kepada syarikat-syarikat tempatan untuk
mengeksploit segala sisa daripada aktiviti menghasilkan produk utama yang
dijalankan oleh industri-industri nasional dan atau syarikat-syarikat yang
berkongsi pengeksploitasian atau produk
atau pendapatan dengan Kerajaan Kebawah DYMM, dalam usaha membangunkan dan
memperkembangkan industri hiliran (downstream) berikutan penghasilan produk
utama tersebut.
mendemokrasikan dan memperkukuhkan kebebasan
menjalankan aktiviti ekonomi dan perniagaan di dalam negeri dan dengan dunia
luar, serta menggubal dan mewujudkan dasar dan sistem ekonomi yang bebas,
bermoral, liberal, mesra-pasaran (market-friendly), mengutamakan sistem
perkongsian keuntungan dan kerugian yang sekali gus mengenepikan sistem riba,
selagi kesemuanya tidak bertentangan dengan Syariat Islam dan keadilan sosial;
merangka Dasar Ekonomi Negara yang disepadukan
dengan Dasar Kewangan Negara, Dasar Pendidikan Negara dan Dasar Sosial Negara
di mana di antara objektif dan natijah daripadanya ialah pengangguran sifar.
Melalui dasar bersepadu tersebut hendaklah disusun langkah-langkah yang konkrit
bagi memastikan yang objektif dan natijah yang dimaksudkan itu tercapai dalam
jangka waktu yang sesingkat mungkin. Mereka yang kini menggangur dan bakal
lepasan sekolah serta institut pengajian tinggi yang memiliki semangat entreprenuership yang
tinggi dan mendalam hendaklah diberi peluang untuk merealisasikan cita-cita
mereka membuka perusahaan sendiri dengan bantuan dan insentif daripada Kerajaan
Kebawah DYMM;
memajukan industri pelancongan di Negara Brunei
Darussalam sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan ekonomi, khususnya
produk Pelancongan Islamik seperti mewujudkan konsep Bandar Warga Emas,
menonjolkan aspek-aspek kebudayaan dan kesenian Melayu tulen, menganjurkan
pertunjukan, pameran, persidangan, seminar dan ijtimak yang berteraskan ilmu
dan ketamadunan Islam masa kini. Kegiatan-kegiatan ini bolehlah diadakan
sepanjang tahun dan digerakkan sepenuhnya oleh sektor swasta, dengan kerjasama
Kerajaan Kebawah DYMM, melalui Lembaga Kemajuan Pelancongan Brunei yang
bertindak sebagai fasilitator atau pemudahcara dengan menyediakan
prasarana-prasarana yang diperlukan baginya;
memandangkan posisi Bandar Seri Begawan di
pertengahan laluan Jakarta dan Bangkok / Yangon, Singapura dan Hong Kong, Kuala
Lumpur dan Manila, Delhi dan Phnom Penh / Hanoi, maka usaha hendaklah
dijalankan untuk menjadikan Bandar Seri Begawan sebagai pusat persinggahan dan
berbelanja bagi mempromosi dan menyebarluaskan pendekatan dakwah bilhal.
mempromosikan ‘eco-tourism’ yang berkualiti –
penggunaan konsep ‘well guided and informative nature tourism’ yang mesra alam
sekitar (environmentally friendly) yang tidak memudaratkan dan memusnahkan alam
sekitar;
memperkasakan undang-undang yang memelihara dan
melindungi hak individu ke atas harta-benda, termasuk hartanah dan hak milik
intelek (intellectual property rights), yang telah diperolehi dan dibangunkan
secara sah, selagi tidak bertentangan dengan Syariat Islam;
perancangan dan perlaksanaan pembangunan negara yang
efektif yang mengarah kepada mempelbagaikan kegiatan ekonomi bagi
mempertingkatkan produktiviti negara dan mengurangkan kebergantungan kepada
hasil minyak dan gas.
· Parti Pembangunan dengan penuh iltizam berusaha
untuk :
Membangunkan pusat pemantauan pertanian sebagai
pemangkin perkembangan pertanian selaras dengan dasar pertanian makanan yang
dianjurkan oleh Parti Pembangunan dengan mengembangluaskan peranannya untuk
membantu petani / peladang di seluruh negara;
mengusahakan penubuhan pusat pangkalan data
maklumat-maklumat perniagaan dan perdagangan dalam dan luar negara serta
mewujudkan klinik-klinik usahawan yang bertanggungjawab membimbing dan membantu
para usahawan, bakal usahawan atau mereka yang berminat dalam bidang usahawan
di semua daerah;
memupuk kesedaran rakyat supaya menyertai secara
aktif dalam usaha membangunkan ekonomi negara yang secara langsung akan meningkatkan
taraf hidup dan status ekonomi mereka dan dianjurkan supaya semua pihak iaitu
Kerajaan Kebawah DYMM, rakyat Baginda, swasta dan NGO bersepakat membuat
anjakan paradigma agar kemakmuran itu dapat dinikmati semua;
mengamat-amati secara berterusan serta
mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa bagi
mempertingkatkan dan memperkembangkan pengurusan pembangunan ekonomi negara
untuk memastikan tiada berleluasanya amalan negatif seperti penipuan, monopoli,
rasuah, kronisme dan nepotisme kerana amalan-amalan ini jika tidak dibendung
secara berkesan, boleh menghancurkan negara justeru amalan-amalan tersebut
bertentangan sama sekali dengan kehendak Syariat Islam.
·
Mencadang, menyokong
dan membantu Kerajaan Kebawah DYMM ke atas sebarang usaha bagi:
Menubuhkan sebuah Jawatankuasa Tetap (Kewangan dan
Pembangunan Ekonomi) di dalam Majlis Mesyuarat Negara yang, antara lain, akan
bertanggungjawab mencadangkan penggubalan dasar-dasar ekonomi nasional serta
memantau pelaksanaan dasar-dasar tersebut, dan lain-lain yang berkaitan,
termasuk pemantauan ke atas Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei dan agensi-agensi
lain yang berkaitan, seperti Agensi Pelaburan Brunei dan Lembaga Kemajuan
Pelancongan Brunei;
mewujudkan satu dasar kewangan dan fiskal,
undang-undang dan iklim pelaburan yang menggalak dan meyakinkan rakyat dan
pelabur asing;
memantapkan objektif dasar kewangan untuk
mengekalkan kestabilan kewangan dalam menggalakkan perkembangan sistem urusan
bank dan pembiayaan yang baik termasuk kestabilan kadar pertukaran wang;
membangunkan Negara Brunei
Darussalam sebagai pusat kewangan antarabangsa melalui sinergi faktor
geografinya yang strategik di tengah-tengah Asia Tenggara dan sebagai pengeluar
minyak dan gas. Untuk itu Parti Pembangunan akan berusaha keras membantu
Kerajaan Kebawah DYMM untuk berterusan mewujudkan kestabilan politik dan menyuburkan sistem
syura yang sihat selaras dengan falsafah negara Melayu, Islam, Beraja dan
demokratik, dengan gabungan barisan pimpinan negara yang
berwibawa, rakyat yang berilmu dan keselamatan yang terjamin, supaya boleh
menarik pelabur-pelabur asing dan institusi-institusi kewangan antarabangsa
untuk melabur di Negara Brunei Darussalam;
menubuhkan sebuah Agensi Pengurusan Pelaburan Asing (Foreign Investment Management Agency)
yang akan bertindak sebagai one-stop agency bagi mempertimbangkan dan
meluluskan permohonan kemasukan pelaburan asing di mana proses baginya
dilaksanakan dalam masa sesingkat yang mungkin serta kondusif kepada perkembangan
yang pesat di dalam sektor ini, bercontohkan piawaian yang telah ditetapkan
oleh negara-negara yang amat berjaya di dalam sektor ini. Aktiviti agensi
tersebut hendaklah dipantau oleh Jawatankuasa Tetap (Kewangan dan Pembangunan
Ekonomi) di dalam Majlis Mesyuarat Negara;
memastikan bahawa bekalan wang dan jumlah kredit
adalah cukup anjal bagi memenuhi permintaan ekonomi dalam negara tanpa memberi
tekanan kepada sumber-sumber kewangan;
mengekalkan suasana kewangan yang stabil - sebagai
tunjang sebuah ekonomi yang teguh, sebagai pra-syarat untuk kejayaan matlamat
dasar awam yang luas;
mewujudkan suasana yang baik untuk perusahaan,
kepakaran dan pengendali risiko dan juga kemahuan bekerja keras untuk kehidupan
yang lebih baik. Pertumbuhan paling pesat terjadi apabila di dalam sesebuah
masyarakat itu ahli-ahlinya nampak kewujudan peluang ekonomi dan mahu berusaha
untuk mendapatkannya;
merasionalisasikan dan jika perlu menyusun semula
insentif fiskal, peraturan tarif dan jentera pentadbiran;
memastikan pengurusan
dan pengagihan kewangan negara yang telus, dipantau oleh agensi yang bebas dan
berkecuali mewakili Kerajaan Kebawah DYMM dan rakyat Baginda, dalam memberikan
keyakinan yang tinggi kepada para pelabur tempatan dan asing mengenai ketelusan sistem berkaitan yang digunapakai. Ketelusan
ini amat penting bagi mengelakkan sebarang prasangka yang boleh mencetuskan
krisis keyakinan rakyat Kebawah DYMM dan para pelabur asing, serta boleh
mengekang korupsi dan penyalahgunaan kuasa. Ciri-ciri ketelusan ini
sesungguhnya selaras dengan tuntutan Syariat Islam;
memastikan bahawa kewangan negara yang dilaburkan di
dalam dan di luar negera, melalui agensi-agensi Kerajaan Kebawah DYMM, seperti
Agensi Pelaburan Brunei, adalah pada perkara-perkara, aset, hartanah dan atau
produk yang halal, dan mana-mana yang telah dilaburkan pada perkara-perkara,
aset, hartanah dan atau produk yang jelas haram, atau syubahat atau diragukan
kehalalannya, maka usaha dilaksanakan sesegeranya untuk membersihkan dan
mensucikan pelaburan-pelaburan tersebut mengikut Syariat Islam;
menubuhkan sebuah agensi yang bertanggungjawab ke
atas pemprosesan pengaliran wang ke luar (remittance) yang dikirim oleh para pekerja asing ke
negara mereka masing-masing. Wang yang
terkumpul itu (termasuk bayaran atau caj yang dikenakan bagi
perkhidmatan memproses tersebut) boleh dimanfaatkan bagi tujuan pelaburan
jangka pendek dan keuntungannya dimasukkan ke dalam kumpulan dana yang
disatukan (consolidated fund). Aktiviti agensi tersebut hendaklah dipantau oleh
Jawatankuasa Tetap (Kewangan dan Pembangunan Ekonomi) di
dalam Majlis Mesyuarat Negara;
mempertingkatkan keberkesanan pihak yang dipertanggungjawabkan oleh
Kerajaan Kebawah DYMM, sama ada di sektor awam atau pun sektor perbankan, dalam
melaksanakan peranan membantu koperasi-koperasi dan syarikat-syarikat kecil dan
sederhana memperolehi modal yang secukupnya tanpa sebarang cagaran, tetapi
melalui kaedah perkongsian untung / rugi, untuk memulakan perniagaan atau
mengembangkan perniagaan yang sedia ada yang telah dijamin oleh Kerajaan
Kebawah DYMM;
mempertingkatkan keberkesanan sistem pemungutan cukai, termasuk cukai
hartanah dan perniagaan, di mana ianya dilaksanakan dengan efisien dan tanpa
merugikan Kerajaan Kebawah DYMM serta rakyat Baginda dan pelaksanaannya dipantau oleh Jawatankuasa Tetap (Kewangan
dan Pembangunan Ekonomi) di dalam Majlis Mesyuarat Negara;
mewujudkan lebih banyak peluang pelaburan di dalam
produk-produk Islamik di Negara Brunei Darussalam, dengan, antara lain,
membenarkan produk-produk sedemikian diperniagakan oleh bank-bank dan
institusi-institusi kewangan asing yang bebas riba (usury-free), selain
daripada bank dan institusi kewangan tempatan. Ini bukan sahaja akan
menggalakkan pertumbuhan sektor pelaburan, tetapi juga akan memberikan peluang
yang seluas-luasnya kepada rakyat Kebawah DYMM untuk melabur atau menyimpan
bagi masa hadapan setelah bersara dan tidak bergantung hanya kepada penyimpanan
di dalam Tabung Amanah Pekerja. Selain itu, ianya juga akan mendorong
persaingan yang sihat di antara bank-bank yang terdapat di Negara Brunei
Darussalam, di mana natijah daripadanya ialah bertambahnya kemanfaatan kepada
rakyat Kebawah DYMM;
membuka / mewujudkan peluang pelaburan kepada rakyat
Kebawah DYMM di dalam industri-industri penting nasional, termasuk industri
minyak dan gas, dan di dalam projek-projek mega yang dikendalikan oleh Kerajaan
Kebawah DYMM, termasuk yang diselenggarakan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi
Brunei;
menghebahkan sebarang projek mega terlebih dahulu
kepada rakyat Kebawah DYMM untuk mendapatkan pandangan mereka dan diperdebatkan
di dalam Majlis Mesyuarat Negara;
menyediakan skim takaful kepada semua rakyat sebagai
tabungan simpanan kecemasan, yang dimestikan setiap rakyat melabur di dalamnya
mengikut peruntukan undang-undang;
mewujudkan suasana yang kondusif kepada pelabur
seperti undang-undang dan peraturan yang menarik pelabur, jaminan keselamatan
modal, peluang perniagaan yang terbuka, pendemokrasian dalam ekonomi, dasar
cukai yang menarik, bebas rasuah, anti-monopoli dan kronisme sifar;
menubuhkan sebuah unit perisikan pasaran untuk
mengumpul maklumat tentang pasaran antarabangsa dalam berbagai produk. Unit
tersebut hendaklah mengikuti semua corak dan perkembangan dalam pasaran dan
dengan ini berkemampuan untuk menjangka perubahan dalam pasaran. Segala
maklumat yang dikumpul oleh unit ini hendaklah diserahkan kepada pihak Kerajaan
Kebawah DYMM dan juga pihak swasta untuk dimanfaatkan bagi faedah negara secara
keseluruhan. Unit ini juga perlu memainkan peranan dalam mengenalpasti peluang
pasaran yang belum dikuasai oleh mana-mana negara, di mana Negara Brunei
Darussalam boleh mengambil kesempatan dan merebut peluang pasaran demikian di
peringkat antarabangsa dan bersaing dengan negara-negara yang lain;
memperkukuhkan sistem mata wang Negara Brunei
Darussalam dengan mengeluarkan mata wang untuk kegunaan dan diedarkan dalam
negeri sahaja di mana ianya dilindungi serta dipertahankan daripada pelbagai
ancaman berbentuk ekonomi dan kewangan dengan menyandarkan pengeluaran mata
wang tersebut kepada simpanan (reserves) emas dan perak milik negara;
merancang penubuhan Bank Islam Dunia (World Islamic
Bank) dan Takaful Islam Sedunia melalui kerjasama kesemua ahli OIC, di mana
ahli-ahli tersebut akan memiliki ekuiti di dalam kedua-duanya mengikut kadar
kemampuan masing-masing, dan kedua-dua entiti tersebut membuka cawangan di
kesemua negara yang menjadi ahli OIC serta di negara-negara lain yang dinilai
perlu. Pengurusan dan perkembangan entiti-entiti tersebut hendaklah diselenggarakan
oleh OIC secara langsung, mengikut Syariat Islam dan peraturan-peraturan lain
yang digariskan oleh ahli-ahlinya. Ini bertujuan untuk memperkukuh kedudukan
kewangan ummat Islam sejagat dan memastikan yang mereka tidak dieksploitasi
melalui sistem kewangan dan perbankan sekular atau ‘conventional’ yang
mengerakkan sebahagian besar ekonomi dunia ketika ini.
· Parti Pembangunan dengan penuh iltizam berusaha
untuk :
Menubuhkan sebuah jawatankuasa yang terdiri
daripada kalangan pakar kewangan, perbankan dan profesional untuk memerhati
pentadbiran dan pengurusan kewangan negara, dan mengetengahkan
pandangan-pandangan serta idea-idea secara berterusan bagi sama-sama memastikan
yang pentadbiran dan pengurusannya sentiasa berada di landasan yang betul
sesuai dengan tuntutan Islam dan prinsip akauntabiliti;
mengamat-amati secara berterusan serta
mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa bagi sama-sama
memastikan yang kewangan negara dibelanjakan dengan berhemah dan sedapat
mungkin hendaklah dijuruskan kepada matlamat pembangunan berimbang dan
merapatkan jurang pendapatan antara yang miskin dan kaya melalui pengagihan kekayaan secara adil dan saksama
dan tidak hanya berkisar di kalangan pihak-pihak tertentu sahaja, sesuai dengan
tuntutan Islam.
·
Mencadang, menyokong dan membantu sebarang usaha
Kerajaan Kebawah DYMM untuk menjadikan sektor awam dan sektor swasta lebih
proaktif melalui pelbagai usaha termasuk:
Memastikan yang Perkhidmatan Awam bertindak sebagai
sebuah institusi yang dianggotai oleh para pegawai dan kakitangan Kerajaan
Kebawah DYMM yang berkecuali, bersih, cekap, amanah, memiliki integriti dan
hemah yang tinggi, mengutamakan meritokrasi dan tidak melakukan sesuatu perkara
yang bertentangan dengan Syariat Islam dan undang-undang negara;
mempertingkatkan keupayaan perkhidmatan awam melalui
inovasi dan latihan bagi mewujudkan sistem penyampaian (delivery system) yang
benar-benar cekap demi pembangunan;
menubuhkan Tribunal Perkhidmatan Awam yang mempunyai
kuasa melampaui mana-mana kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang sedia ada
bagi mengadili kes-kes pelanggaran
tatatertib yang dilakukan oleh kakitangan Perkhidmatan Awam seperti
membelakangkan tugas-tugas awam, tidak bertanggungjawab, cuai, mencemarkan nama
baik Perkhidmatan Awam, tidak jujur, kurang cekap, ingkar perintah dan
seumpamannya. Hukuman yang sewajarnya hendaklah dikenakan terhadap mereka yang
didapati sabit melakukan kesalahan, mengikut Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam
yang berkuatkuasa. Sementara itu bagi kes-kes yang menyebabkan kerugian dalam
bentuk kewangan (monetary loss) kepada pengadu
awam, maka Tribunal ini bolehlah menentukan kuantum ganti rugi yang munasabah yang perlu dibayar oleh
Kerajaan Kebawah DYMM dan atau pihak
yang sabit menyebabkan kerugian kepada mana-mana pihak yang sabit aduan
kerugiannya dalam kes-kes yang diputuskan oleh Tribunal tersebut;
membentuk birokrasi yang bersemangat tinggi dan
sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan dan membantu orang awam bagi pihak
Kerajaan Kebawah DYMM, yang berpegang kepada objektif utamanya untuk menegakkan
keadilan;
menubuhkan Perbadanan Awam yang efektif bagi
mewakili Kerajaan Kebawah DYMM dalam sektor perkhidmatan dan kegiatan ekonomi
dan memajukan pertumbuhan ekonomi dalam bidang yang tidak boleh diswastakan dan
tidak boleh menjadi milik individu, atau dalam kegiatan dan perkhidmatan yang
belum mampu diterokai oleh rakyat Kebawah DYMM;
melaksanakan kajian yang meluas untuk mengenal pasti
perkhidmatan-perkhidmatan di sektor awam yang boleh diswastakan, dan
melaksanakan penswastaan dalam jangka masa yang terdekat, di mana mereka yang
kini bertugas dengan Kerajaan Kebawah DYMM dalam memberikan perkhidmatan
tersebut akan diberikan opsyen untuk menubuhkan syarikat yang kemudiannya akan
bertanding secara telus dan terbuka dengan syarikat-syarikat lain untuk
mendapatkan kontrak dalam memberikan perkhidmatan yang sama. Kesemuanya
dilaksanakan dengan objektif agar Kerajaan Kebawah DYMM dapat menjimatkan kos
dan mengalihkan penjimatan yang diperolehi melaluinya untuk kepentingan rakyat
Kebawah DYMM di sudut yang lain, dan mempertingkatkan tahap efisiensi dalam
pemberian perkhidmatan kepada orang ramai serta menggalakkan pertumbuhan
ekonomi melalui penswastaan perkhidmatan awam;
memindah hari kelepasan awam mingguan di Negara
Brunei Darussalam supaya jatuh pada hari Khamis dan hari Jumaat, menggantikan
hari Jumaat dan hari Ahad ketika ini, agar pengurusan masa di sektor awam akan
dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan menguntungkan serta bermanfaat
kepada rakyat Kebawah DYMM keseluruhannya. Dan disyorkan juga supaya rakyat
Kebawah DYMM dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang beragama Islam dan
berkhidmat di sektor semi-Kerajaan dan swasta diberikan hari Khamis dan hari
Jumaat sebagai hari kelepasan awam untuk mereka, dan ini tidak termasuk
hari-hari kelepasan awam yang diperuntukkan atas sebab ianya berkaitan dengan
hari-hari kebesaran Islam, negara atau yang sepertinya;
memastikan bahawa kegiatan-kegiatan ekonomi yang
melibatkan kepentingan rakyat akan dipertanggungjawabkan kepada sektor awam
terutama dalam bidang yang memerlukan biaya yang besar tetapi labanya sedikit
dan lambat, dan tidak menarik minat sektor swasta atau persendirian, dan di
mana penglibatan di dalamnya memerlukan pemegangan prinsip mengutamakan
perkhidmatan berbanding laba;
membimbing dan membantu penyertaan rakyat Kebawah
DYMM dari segi modal dan khidmat nasihat bagi memastikan tiada perusahaan
persendirian yang gagal dan tiada rakyat Kebawah DYMM yang menutup perusahaan
disebabkan telah dibebani hutang atas sebab-sebab di luar daripada kawalan
pengusaha persendirian tersebut, dan lebih-lebih lagi jika ianya adalah atas
sebab-sebab yang berkaitan langsung dengan ketiadaan atau kurangnya keberkesanan
Perkhidmatan Awam, atau sistem kewangan negara, atau pentadbiran dan pengurusan
sistem tersebut;
meneroka sebanyak-banyak peluang perusahaan untuk
disertai oleh rakyat Kebawah DYMM dan penduduk Negara Brunei Darussalam, tetapi
tidak terlibat di dalam sektor-sektor yang boleh menimbulkan persaingan dengan
individu atau swasta;
menyemai semangat kepada usahawan ‘jangan bekerja
untuk kegagalan’ dan membentuk sebuah perbadanan khas yang efektif bagi
memantau dan menyelamatkan perusahaan yang bermasalah dan yang boleh
diselamatkan;
memindah milik anak syarikat kepada usahawan
persendirian atau tokoh sektor swasta yang berpotensi jika didapati perusahaan
itu bersaing dengan sektor persendirian atau ianya boleh diusahakan oleh sektor
persendirian atau swasta;
menggalakkan sektor awam dan sektor swasta atau
kedua-duanya mengadakan usahasama melalui pendekatan Perkongsian Pintar (Smart
Partnership) untuk melabur di luar negara dan untuk tujuan itu Kerajaan Kebawah
DYMM dicadangkan untuk mempertimbangkan penubuhan sebuah perbadanan yang
bertanggungjawab sebagai pakar perunding pelaburan tersebut;
memperkasakan sektor swasta demi menjayakan dan
merangsang pembangunan dan membantu Kerajaan Kebawah DYMM menentukan dasar dan
halatuju pembangunan negara;
bekerjasama dengan sektor swasta untuk bersama-sama
meneroka peluang-peluang baru dan memajukannya, terutama dalam kegiatan yang
Kerajaan Kebawah DYMM mempunyai kepentingan;
memastikan pengeluaran petroleum dan gas yang
berhemat bagi menjamin tempoh pengeluaran dan pergantungan kemakmuran hasil
petroleum dan gas yang lebih panjang;
menjadikan hasil petroleum dan gas sebagai tunggak
modal utama menjayakan Dasar Pembangunan Ekonomi Nasional bagi membentuk negara
berkebajikan yang makmur dan mendapat keampunan Allah SWT serta menjamin nikmat
petroleum dan gas itu lebih melimpah dan dirasakan semua;
meneroka industri baru untuk memanfaatkan sepenuhnya
kegiatan huluan (upstream) dan hiliran (downstream) berasaskan petroleum dan
gas;
membuat persiapan yang strategik dan anjal supaya
halatuju pembangunan dan kemakmuran negara tidak terjejas sekiranya ketandusan
sumber petroleum dan gas.
·
Parti Pembangunan
dengan penuh iltizam berusaha untuk:
Membantu Kerajaan Kebawah DYMM membimbing dan
menggembleng penyertaan rakyat Kebawah DYMM dalam pembangunan sektor awam dan
swasta;
membantu menjayakan dasar anti-monopoli dan
membanteras kemungkinan berlakunya penindasan dalam kegiatan pembangunan;
memastikan rakyat Kebawah DYMM dan generasi
terkemudian mendapat manfaat dan kemakmuran dari limpahan sumber kekayaan
negara anugerah Allah SWT dan pulangannya diagih secara adil dan saksama;
mengamat-amati secara berterusan serta
mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa bagi
mempertingkatkan kualiti dan keberkesanan perkhidmatan awam agar mencapai
matlamat sebagai pemangkin dan tulang belakang Kerajaan Kebawah DYMM yang
beramanah, efisien, efektif dan proaktif di dalam menjalankan peranannya.
·
Mencadang, menyokong dan membantu Kerajaan Kebawah DYMM ke atas sebarang
usaha untuk :
Menjaga dan membangunkan nilai-nilai
kebangsaan yang amat penting iaitu, ‘survival’ rakyat Kebawah DYMM, keutuhan
wilayah, kemerdekaan politik dan kekuatan ekonomi. Sebarang ancaman terhadap
nilai-nilai kebangsaan ini tidak syak lagi merupakan ancaman kepada keselamatan
negara;
melengkapkan sistem pertahanan sebagai
strategi keselamatan dan sesuai dengan itu juga, menubuhkan Jawatankuasa Tetap (Keselamatan Nasional) di
dalam Majlis Mesyuarat Negara yang bertindak memantau pengurusan segala
dasar, rancangan dan hal ehwal lain yang berkaitan dengan keselamatan dan
pertahanan negara, serta penanganan isu-isu jenayah pelbagai kategori;
mewujudkan masyarakat yang ceria, harmoni dan
bebas prasangka dalam iklim politik yang sihat. Ke arah ini, akan diadakan
dialog dengan pihak-pihak berkenaan di dalam Kerajaan Kebawah DYMM bagi
mempertimbangkan saranan pemansuhan undang-undang yang memberikan imej negatif
kepada Negara Brunei Darussalam, lebih-lebih lagi undang-undang yang
bertentangan dengan hak-hak asasi kemanusiaan mengikut Syariat Islam;
memerangi segala bentuk jenayah dan keganasan
hingga ke akar umbi, dengan mengambil pendekatan Islamik, di mana menegakkan makruf dan mencegah kemungkaran
diutamakan, khususnya melalui proses pendidikan, dan tidak hanya
menumpukan konsentrasi serta pelbagai sumber sepenuhnya kepada penyiasatan dan
penyelesaian kes-kes jenayah sahaja. Kejayaan di dalam pendekatan sebegini
menuntut kepada penglibatan dan komitmen yang tinggi semua pihak di dalam
masyarakat dan tidak hanya mengharapkan kepada
agensi-agensi penguatkuasaan sahaja;
memperkenankan rakyat Kebawah DYMM Paduka
Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan keluarga
mereka yang bermastautin di luar negara, tetapi masih mahu bernaung di bawah
payung mahkota Kesultanan Baginda, kembali ke tanah air di bawah program
rekonsiliasi nasional sesuai dengan pepatah Melayu ‘biduk lalu kiambang
bertaut’ dan ‘air dicincang takkan putus’ agar sama-sama menikmati tuah kemerdekaan
negara demi perpaduan nasional yang sejati selaras dengan amalan Kebawah DYMM
yang adil lagi berihsan;
mengisytiharkan dadah dan HIV sebagai musuh negara,
kemanusiaan dan tamadun dengan mengenakan tindakan pencegahan yang keras dan
rapi supaya dadah tidak dapat dibawa masuk ke Negara Brunei Darussalam dan HIV
dapat dikawal sepenuhnya.
· Parti Pembangunan dengan penuh iltizam berusaha
untuk :
Memelihara dan mempertahankan kemerdekaan
negara agar menepati makna Negara Brunei Darussalam, iaitu wilayah yang selamat
dan sejahtera;
menjulang dan menghargai perjuangan
membebaskan negara dari penjajahan sebagai perjuangan suci dan para pejuangnya
diiktiraf sebagai Pahlawan Nasional untuk merangsang jati diri dan semangat
patriotisme yang tulus;
melakukan kajian dan pensejarahan alternatif
perjuangan menentang penjajahan dan mempertahankan kemerdekaan Negara Brunei
Darussalam dari sejak mula tertubuhnya negara, secara ikhlas dan jujur, agar
ianya dijadikan pengajaran dan iktibar yang sahih untuk pedoman generasi
sekarang dan akan datang, supaya timbul kesedaran betapa elemen-elemen negatif
sepanjang sejarah boleh memudaratkan institusi Kesultanan Melayu Brunei, negara
dan rakyatnya;
memperkukuh suasana harmoni dan rukun antara
Istana dan rakyat justeru kesepakatan kedua pihak adalah landasan kepada sistem
pertahanan yang berkesan;
mengamat-amati secara berterusan dan membantu
menangani sebarang perkembangan yang boleh mengganggu-gugat kedaulatan,
kedudukan, pemerintahan dan hak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan zuriat keturunan
Baginda sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan dan Ulil Amri Negara Brunei
Darussalam;
mengamat-amati secara berterusan serta
mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa terhadap sebarang
bentuk ancaman ke atas keselamatan dan ketenteraman negara dan mencadangkan
langkah-langkah yang difikirkan munasabah untuk membantu Kebawah DYMM dan
Kerajaan Baginda memperkukuh dan mempertahankan nilai-nilai kebangsaan yang
dijunjung dalam apa jua keadaan.
·
Mencadang, menyokong dan membantu Kerajaan Kebawah DYMM ke atas sebarang
usaha untuk :
Membentuk dasar pendidikan berasaskan konsep ‘Bismi Rabbik’ – mengenal Allah SWT – bagi
melahirkan masyarakat berpendidikan dan menatijahkan:
o Lahirnya tenaga
kerja yang terlatih dan bersahsiah tinggi supaya negara tidak bergantung kepada
tenaga kerja asing dalam pembangunan negara;
o Membebaskan negara dan ummat dari muslihat luar yang boleh mengancam
kemerdekaan dan keselamatan negara;
o Sumber bekalan
tenaga mahir dan tenaga ilmuan untuk pembangunan negara-negara yang
memerlukannya;
memastikan penduduk Negara Brunei Darussalam sifar
buta huruf, seratus peratus celik Al-Quran dan komputer, berilmu dan menjadi
generasi baru rakyat Kebawah DYMM yang mahir berbahasa Arab, Inggeris, Mandarin
dan lain-lain di samping Bahasa Melayu;
menjamin setiap penduduk atau warga Negara Brunei
Darussalam mendapat pendidikan ke tahap yang tertinggi tanpa sebarang
diskriminasi jantina (gender) dan umur, dalam apa jua bidang, dan supaya tiada
lagi golongan yang buta huruf dan tidak berpelajaran di Negara Brunei
Darussalam selepas kemerdekaan;
menggalakkan pendidikan sepanjang hayat dan menjamin
peluang pendidikan sama rata kepada semua golongan rakyat Kebawah DYMM bagi
melahirkan modal insan yang berdaya saing dan mampu menghadapi cabaran global;
mewajibkan anak-anak disekolahkan selama 13 tahun:
dua tahun pra-sekolah, enam tahun peringkat rendah dan lima tahun peringkat
menengah secara percuma;
memastikan atau mewajibkan setiap murid dan penuntut beragama Islam
menghadiri sekolah agama selama enam tahun di samping sekolah biasa untuk
memastikan mereka tahu dasar, asas dan rukun Islam. Di samping mata-mata
pelajaran asas seperti ilmu Tauhid, Ibadah, Mu’amalat, Sejarah, Munakahat,
Al-Quran, Tajwid, Fara-id, dan lain-lain, mata-mata pelajaran seperti Falsafah
Islam, Sastera Islam, Sejarah Islam, dan lain-lain yang boleh dikategorikan
sebagai sukatan pelajaran Tamadun Islam (Politik Islam, Ekonomi Islam, Sosial
Sains Islam dan Kesenian Islam) hendaklah dimasukkan ke dalam sukatan
pembelajaran, sama ada dengan sendirinya atau melalui manhaj perbandingan
dengan yang bukan bersumberkan Islam;
memastikan teori, konsep dan amalan seperti Teori Evolusi Darwinisme,
pengklonan manusia, pendermaan telur dan sperma, ibu tumpang (surrogate
motherhood) dan yang seumpamanya, diberi penerangan yang jelas dan terang dari
perspektif Islam melalui sistem pendidikan negara bagi menyelamatkan ummat daripada
perkara-perkara yang bercanggah dengan Syariat Islam dan yang menimbulkan
keraguan dan kekeliruan ke atas kebesaran dan ciptaan Allah SWT;
memajukan manhaj penyelidikan di dalam penimbaan ilmu di sekolah-sekolah
dan pusat-pusat pengajian dengan mempertingkatkannya dan dimulakan dari awal di
dalam alam persekolahan generasi yang sedia ada dan yang akan datang;
menyediakan kemudahan sukan yang mencukupi di setiap
sekolah di seluruh negara untuk menggalakkan kegiatan bersukan, demi mewujudkan
keseimbangan di antara kegiatan akademik dan ko-kurikulum dan secara tidak
langsung membantu meningkatkan pertumbuhan fizikal dan mental di kalangan
pelajar;
memberi peluang kepada para ibu bapa memainkan
peranan untuk memperkembangkan tahap pendidikan di Negara Brunei Darussalam, di
mana setiap sekolah ditadbir oleh Lembaga Pengurus sendiri dan ibu bapa
diwakili di dalamnya selain daripada diisi oleh wakil daripada Kementerian
Pendidikan. Lembaga Pengurus tersebut diberikan kuasa untuk mengambil
berkhidmat dan menghentikan perkhidmatan para guru secara berkontrak, mengikut
syarat-syarat dan garis panduan daripada Kementerian Pendidikan. Kementerian
tersebut pula bertanggungjawab menggubal segala dasar yang berkaitan dengan
pendidikan, termasuk sukatan pelajaran dan piawaiannya, dan Lembaga Pengurus
dipertanggungjawabkan untuk mentadbir dan mengurus sekolah, di mana peruntukan
yang diagihkan kepada sekolah akan bersandarkan kepada keramaian penuntut serta
faktor-faktor lain, seperti projek-projek pengajian dan penyelidikan yang
dikendalikan. Untuk memastikan yang konsep pembahagian tanggungjawab dan
peruntukan ini dilaksanakan secara efektif dan efisien agar objektif
mempertingkatkan tahap pendidikan tercapai, maka Kementerian Pendidikan melalui
jabatan-jabatannya yang berkenaan di semua peringkat perlu melaksanakan
pemantauan yang rapi dan berkesan;
membangun dan memperkembangkan kegiatan penyelidikan
dan pendidikan di Universiti Brunei Darussalam (UBD) (dan institut pengajian
tinggi [IPT] yang lain), seiring dengan keperluan semasa fakulti-fakulti
berkaitan;
menubuhkan sebuah Institut Pengajian Futuristik di
UBD yang akan berperanan untuk melaksanakan kajian-kajian mengenai trend semasa
serta pergolakan pelbagai isu yang dijangka mencorak keadaan masa hadapan yang
bakal dihadapi oleh Negara Brunei Darussalam, dan hasil-hasil kajian dikongsi
bersama Kerajaan Kebawah DYMM untuk dijadikan sebagai bahan rujukan di dalam
merangka dasar dan rancangan-rancangan negara;
menyediakan kemudahan prasarana serta kelengkapan
seperti makmal, kemudahan alat bantu mengajar dan penyelidikan yang termoden
dan mencukupi, terutamanya dalam bidang sains, kepada UBD dan IPT yang lain;
menggunakan kemahiran dan kepakaran tenaga pengajar
dari UBD (dan IPT yang lain) sebagai pakar runding atau pakar rujuk dalam
sebarang projek dalam perancangan dan pelaksanaan projek-projek pembangunan
negara;
menyalurkan peruntukan yang secukupnya kepada UBD
(dan IPT yang lain) untuk pembangunan prasarana, pembangunan sumber manusia,
perkembangan fakulti-fakulti yang sedia ada di samping menubuhkan
fakulti-fakulti dan program akademik yang baru;
mengagihkan tapak-tapak tanah yang luas dan
mencukupi kepada UBD untuk dimajukan secara komersial agar ianya mampu
mengusahakan pendapatan kewangan dengan sendirinya untuk dipergunakan dalam
memajukan rancangan-rancangan akademik dan lain-lain yang disusun olehnya,
selain daripada mengagihkan kepadanya peruntukan-peruntukan saham di dalam
sektor ekonomi yang dikuasai Kerajaan Kebawah DYMM di mana peluang pelaburan
juga dibukakan kepada pihak selain Kerajaan Kebawah DYMM, atas objektif yang
sama;
menubuhkan sebuah Institut Pengajian Tamadun Islam
China di UBD sebagai sumbangan negara ke arah persefahaman tamadun dan usaha
menghidupkan tradisi ummat Islam yang digalakkan menuntut ilmu dari tamadun
tersebut;
memajukan gerakan dan pendidikan kepenggunaan
(konsumerisme) bagi menyedarkan rakyat Kebawah DYMM akan hak-hak mereka sebagai
pengguna untuk mendapat perkhidmatan yang terbaik;
menjamin asas pendemokrasian yang kukuh dalam
pendidikan, penyiaran, penerbitan, pergerakan dan berorganisasi.
· Parti Pembangunan dengan penuh iltizam berusaha
untuk :
Memanfaatkan semua markas Parti Pembangunan sebagai
pusat pengembangan ilmu secara informal, khususnya kepada anggota-anggota
parti, warga lepasan sekolah dan warga emas;
mengetengahkan isu-isu hak tenaga sokongan akademik
dan non-akademik supaya mendapat peluang latihan dan kenaikan pangkat
berasaskan meritokrasi.
mengamat-amati secara berterusan serta mengetengahkan
pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa mengenai dasar dan perlaksanaan
sistem pendidikan bagi memastikan ianya sentiasa menepati dasar dan falsafah
pendidikan negara;
SAINS DAN TEKNOLOGI
·
Mencadang, menyokong dan membantu sebarang usaha
Kerajaan Kebawah DYMM untuk :
·
Menubuhkan Kementerian Sains dan Teknologi di bawah
Jabatan Perdana Menteri, sebagai Badan Berkuasa yang bertanggungjawab ke atas
perkembangan sains dan teknologi di negara ini;
·
membentuk polisi negara dan dengan demikian menjamin
sokongan jangka panjang yang konsisten untuk sains dan teknologi, demi mengukuhkan asas sumber
manusia, penubuhan institusi saintifik,
peningkatan pendidikan sains, integrasi sains dan teknologi ke dalam budaya
kebangsaan, pembangunan infrastruktur dan mempromosi kemampuan teknologi dan
inovasi;
·
mengenalpasti dan menekankan kajian dalam sains asas
dan sains gunaan (applied sciences) yang ditujukan secara khususnya untuk
keperluan asas rakyat dan kemajuan negara pada masa yang sama;
·
menggalakkan berbagai agensi Kerajaan Kebawah DYMM
dan institusi saintifik untuk meneruskan secara agresif aktiviti R&D dengan
cara membekalkan infrastruktur dan fasilitas yang berkualiti tinggi, dana yang
mencukupi, dan sumber manusia untuk memastikan kemajuan pesat sains dan teknologi
di samping merangsang daya saing negara;
·
menggalakkan badan-badan kajian dan
institusi-institusi saintifik untuk mengukuhkan rangkaian kerjasama serantau
dan antarabangsa demi memudahkan latihan saintifik, perkongsian fasilitas
berkos tinggi, mempromosi penyebaran maklumat saintifik, pertukaran pengetahuan
dan data saintifik, dan kerjasama dalam menyelesaikan masalah bersama dan
global. Kerjasama tersebut juga mestilah ditumpukan ke atas usaha-usaha
mengukuhkan sistem kajian nasional, di samping mengambil kira kepentingan
nasional dan polisi sains;
·
menyeru kepada penyertaan dan kerjasama semua sektor
dan pihak berkepentingan (melalui mekanisma yang inovatif dan ‘cost effective’
dalam meningkatkan dana kajian dan kapasiti kajian dalam pelbagai bidang,
terutamanya yang melibatkan kajian awam. Kerajaan Kebawah DYMM dan pihak swasta
harus bekerjasama untuk mencapai satu keseimbangan di antara
mekanisma-mekanisma untuk menanggung kos kajian saintifik, dan kemungkinan sumber dana yang baru perlu
dikaji dan dipromosikan menerusi peraturan yang sesuai dan skim-skim insentif,
dengan sistem perkongsian awam dan swasta yang berdasarkan skim yang fleksibel,
dan jaminan Kerajaan Kebawah DYMM terhadap akses kepada pengetahuan am;
·
mempercepatkan pemindahan teknologi untuk merangsang
pembangunan industri, ekonomi dan sosial melalui kebebasan mobiliti untuk para
profesional di antara universiti-universiti dan industri, dan di antara
negara-negara, di samping menerusi rangkaian kajian dan perkongsian antara
firma-firma;
·
mengurangkan birokrasi di semua peringkat, mengambil
langkah-langkah yang sesuai dan tahap belanjawan yang berpadanan, perancangan
yang lebih teratur termasuk dalam melaksanakan projek pembangunan kajian sains.
Parti Pembangunan
dengan penuh iltizam berusaha untuk :
Mengamat-amati secara berterusan perkembangan sains
dan teknologi serta mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa
bagi membantu sebarang usaha Kerajaan Kebawah DYMM untuk memajukan
bidang-bidang sesuai dengan tuntutan pembangunan negara dan global.
·
Mencadang, menyokong dan membantu kerajaan
Kebawah DYMM untuk :
Mengadakan Dasar Luar Negara Brunei Darussalam yang bebas dan dinamik,
supaya berjaya bukan sahaja mengikat hubungan politik dan diplomatik dengan
banyak negara bahkan juga menggalakkan kepentingan perdagangan dan ekonomi
Negara Brunei Darussalam sendiri. Agenda utama dasar luar dan peranan
perwakilan-perwakilan negara di luar hendaklah meletakkan agenda ekonomi dan
perdagangan teratas sekali. Justeru itu, Parti Pembangunan menyokong agar pihak
yang berwajib memanfaatkan hubungan antarabangsa sebaik-baiknya untuk
meningkatkan perdagangan dua hala dengan Negara Brunei Darussalam, untuk
kebaikan dan kepentingan kesemua lapisan rakyat Kebawah DYMM dan tidak
menghadkan kebaikan dan kepentingan tersebut kepada sebilangan yang tertentu
sahaja. Untuk menjayakan dasar ini, tindakan bersepadu yang agresif hendaklah
diambil oleh semua kementerian yang berkaitan agar dapat mengeluarkan
produk-produk yang boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa;
memanfaatkan pendekatan Islam yang diamalkan oleh
negara ketika ini sebagai instrumen dalam memajukan keamanan sejagat;
melahirkan pasukan diplomat yang tinggi ilmu
diplomasi dan kualiti perhubungan awamnya, cekap dan berwibawa sehingga dapat
menjalin jaringan diplomatik yang ampuh dengan negara-negara berkenaan, supaya
dapat menyumbang dengan berkesan kepada kepentingan negara, termasuk
kepentingan perdagangan dan peraturan keselamatan, sama ada dua hala atau berbagai
hala;
mengutamakan dasar berunding, hingga ke peringkat
pengadilan antarabangsa, dan bukannya beradu kekuatan jika wujud sebarang salah
faham dengan negara lain, walaupun persediaan yang rapi terhadap kemungkinan
tersebut giat dilaksanakan secara berterusan;
memastikan yang negara-negara lain tidak akan
mengeksploit Negara Brunei Darussalam sehingga mengikatnya dengan
perjanjian-perjanjian yang berat sebelah dan tidak menguntungkan kedua-dua
pihak, secara adil dan saksama, mengikut Syariat Islam;
memastikan yang perjanjian-perjanjian di antara
Negara Brunei Darussalam dan negara-negara lain dimesyuaratkan dan
diperdebatkan secara terbuka, dan disokong oleh Majlis Mesyuarat Negara,
sebelum dipersetujui untuk ditandatangani atau disambung, dan proses menyemak
semula perjanjian-perjanjian tersebut dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam
jangka waktu yang munasabah di mana proses penyemakan semula tersebut akan
ditugaskan, antara lainnya, kepada jawatankuasa-jawatankuasa tetap yang
semestinya ditubuhkan di dalam Majlis Mesyuarat Negara, seperti Jawatankuasa Tetap (Hal Ehwal Luar Negeri dan
Perdagangan);
memaksimum dan memanfaatkan sepenuhnya bentuk
hubungan diplomatik dan perdagangan antarabangsa demi keutuhan negara.
· Parti Pembangunan dengan penuh iltizam berusaha
untuk :
Menjadikan Bandar Seri Bagawan sebagai sekretariat
penyelesaian sebarang konflik sama ada antara negara dengan negara, atau antara
kerajaan dengan kumpulan-kumpulan yang bersengketa, seperti dalam isu Pattani,
Mindanao dan isu-isu yang melibatkan minoriti-minoriti Muslim di negara-negara
serantau. Dalam hal ini, dan atas nama keamanan dan kesejahteraan sejagat,
Parti Pembangunan memberikan komitmen yang mendalam untuk membantu Kerajaan
Kebawah DYMM sedaya mungkin menjayakan peranan ini. Parti Pembangunan penuh
yakin bahawa, dengan posisi Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara
kesultanan yang dihormati oleh negara-negara jirannya, maka ia boleh memberikan
sumbangan besar ke arah keamanan di rantau ini;
mengusahakan penubuhan sebuah kesatuan parti-parti
politik di kalangan anggota negara-negara ASEAN yang seidealogi dengannya dan
menjadikan Bandar Seri Begawan sebagai sekretariatnya. Tujuannya ialah untuk
mewujudkan satu platform yang berkesan untuk dialog antara Islam dan kuasa-kuasa
besar bagi menghurai sebarang kesangsian dan kecurigaan mereka terhadap Islam
dan gerakan Islam di rantau ini. Platform ini juga boleh digunakan untuk dialog
antara Islam dan agama-agama besar di rantau ini. Semua ini akan turut
menyumbang ke arah keharmonian dan kemakmuran bersama, sesuai dengan apa yang
dianjurkan oleh Islam dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu;
menubuhkan Institusi Kajian Strategik dan
Perhubungan Antarabangsa yang berperanan sebagai badan pemikir (think tank),
menyumbangkan idea-idea dan sebagainya kepada Kerajaan Kebawah DYMM dalam
sebarang isu yang menyangkut kepentingan nasional.
·
Mencadang, menyokong dan membantu Kerajaan
Kebawah DYMM ke atas sebarang usaha untuk :
Memartabatkan dan menanam rasa cinta kepada
Kebudayaan Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan bahasa ilmu;
memastikan kedudukan kebudayaan dan kesenian
nasional diberi keutamaan berbanding hiburan dalam saluran penyiaran negara;
mempertahan dan mengekalkan:
o Bangsa Melayu
sebagai rupa bangsa dan satu bangsa di Negara Brunei Darussalam;
o bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan;
o budaya Melayu
berteraskan Islam sebagai kebudayaan nasional;
mengetengahkan Kebudayaan Melayu agar kekal hidup
dengan mengadaptasi nilai-nilai murni yang universal dari kebudayaan dan
tamadun lain serta memanfaatkan revolusi teknologi maklumat dan komunikasi,
cara hidup moden dan penemuan baru yang tidak memudaratkan kebudayaan nasional;
menjadikan kebudayaan sebagai agen perubahan minda, sikap,
budaya bekerja, penguasaan ilmu dan pendidikan, dan pelindung akhlak bagi
melahirkan cara hidup baru untuk masyarakat Negara Brunei Darussalam yang
merdeka;
memastikan roh dan semangat kebudayaan di atas
menjadi dasar dan panduan kepada program penyiaran dan penerangan justeru
kerana perkhidmatan penyiaran adalah agen utama pelaksanaan program dan dasar
kebudayaan;
memastikan program kebudayaan, penyiaran dan
penerangan tersirat dengan unsur-unsur dakwah di samping fungsi menyampaikan
maklumat, pendidikan, kritikan dan hiburan yang murni;
melestarikan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa
Rasmi dengan menjadikan Daerah Temburong sebagai pusat kemajuan bahasa dan
persuratan Melayu dan menjalin hubungan kerjasama dengan negara-negara lain di
Nusantara bagi memajukan dan memperluaskan penggunaannya sebagai salah satu
bahasa antarabangsa;
menubuhkan sebuah Institut Pengembangan Bahasa
Melayu yang fungsi utamanya akan menjadi pusat perkembangan dan penyebaran
Bahasa Melayu ke seluruh dunia;
memastikan bahawa Institut Pengembangan Bahasa
Melayu juga akan berperanan memajukan, memperkembangkan dan menyebarkan
bahasa/dialek yang terdapat di Negara Brunei Darussalam, termasuk Belait,
Bisaya, Dusun, Murut dan Tutong;
membawa kesedaran kepada rakyat dan para pekerja
asing yang berada di Negara Brunei Darussalam, termasuk yang kehadiran mereka
di negara ini terikat kepada undang-undang atau perjanjian-perjanjian tertentu,
supaya sentiasa dan dalam apa jua keadaan sekali pun, menghormati budaya dan
bahasa negara ini. Dalam pada itu, kejayaan proses asimilasi melalui pendekatan
bijaksana Kerajaan Kebawah DYMM
membolehkan mereka itu turut
berperanan sebagai agen menyebarluaskan nilai-nilai keluhuran budaya Melayu yang tinggi.
· Parti Pembangunan dengan penuh iltizam berusaha
untuk :
Memperkenalkan dan mengembangkan beberapa
unsur kebudayaan Islam ke dalam masyarakat Negara Brunei Darussalam;
melakukan kajian terhadap sumbangan golongan
karyawan termasuk para penggiat seni, bahasa, sastera dan kebudayaan dengan
memberikan penghargaan yang sewajarnya kepada mereka dari masa ke semasa;
mengamat-amati secara berterusan serta
mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa untuk membantu
mempastikan semua kegiatan / pengembangan bahasa dan budaya sentiasa menjurus dan menyumbang kepada pencapaian
dasar bahasa dan kebudayaan kebangsaan.
·
Mencadang dan menyokong sebarang usaha
Kerajaan Kebawah DYMM untuk :
Mewujudkan pendemokrasian keadilan di Negara Brunei Darussalam di mana
rakyat Kebawah DYMM serta penduduk Negara Brunei Darussalam yang beragama Islam
diberikan hak mereka untuk diadili sepenuhnya secara saksama mengikut Al-Quran
dan As-Sunnah Nabi Muhammad SAW atau Syariat Islam di dalam semua aspek
perundangan, termasuk sivil, jenayah dan lain-lain, melalui kaedah
berperingkat-peringkat (tadarruj). Hak ini dihadkan kepada rakyat Kebawah DYMM
dan penduduk yang beragama Islam sahaja. Dalam mewujudkan pendemokrasian
keadilan kepada rakyat Kebawah DYMM serta penduduk Negara Brunei Darussalam
yang beragama Islam, Syariat Islam yang dimaksudkan itu tidaklah seharusnya
terhad atau terbatas kepada mana-mana fahaman fiqah tetapi bersandarkan kepada
kaedah-kaedah dan hukum-hukum asasi yang telah digariskan oleh Al-Quran dan
As-Sunnah;
menjamin kebebasan kehakiman dan pelaksanaan
keadilan, serta berpegang kepada prinsip:
o Kesilapan
membebaskan pesalah adalah lebih baik dari menghukum orang yang tidak bersalah;
o bagaimana hendak
membebaskan yang dituduh dan bukannya bagaimana hendak menghukum yang dituduh;
menubuhkan Jawatankuasa
Tetap (Kehakiman dan Undang-undang) di dalam Majlis Mesyuarat Negara
yang bertindak memantau sistem kehakiman dan keadilan di Negara Brunei
Darussalam, serta memantau penerapan kesaksamaan di dalam keadilan dan kesaksamaan di bawah
undang-undang, dan pengukuhan serta pelaksanaan peraturan undang-undang (rule of law) dengan penuh ketelusan yang
berteraskan sistem keadilan Islam.
· Parti Pembangunan dengan penuh iltizam berusaha
untuk :
Menubuhkan sebuah panel guaman untuk memberi
nasihat guaman dan membantu ahli-ahli dan orang awam yang menghadapi masalah
perundangan;
mengamat-amati secara berterusan serta
mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa untuk membantu
mempastikan perjalanan sistem dan roh keadilan menepati kehendak keadilan
Islam, yang mutlak dan sejagat.
·
Mencadang dan menyokong sebarang usaha
Kerajaan Kebawah DYMM untuk :
·
Mewujudkan sistem keadilan sosial yang
bersendikan keadilan Islam yang luas dan menyeluruh dan meliputi setiap bidang
aktiviti dan jurusan kehidupan ummat manusia;
merencana dan melaksanakan program pembangunan insan bagi melahirkan rakyat
yang berkualiti;
merangka strategi mencegah mungkar bagi memastikan semua pelan amal
kebajikan dapat menjamin suasana dan keselesaan hidup dan beragama di Negara
Brunei Darussalam mengikut konsep dan maksud ‘Darussalam’ sebagai wilayah yang
selamat dan sejahtera;
memerangi jenayah dan keganasan hingga ke peringkat
sifar melalui tindakan yang tegas dan mengkaji puncanya bagi merangka
strategi-strategi pencegahan;
membentuk sebuah Institut Revolusi Minda untuk
menggerakkan proses perubahan paradigma dan mempertingkatkan daya fikir rakyat
Kebawah DYMM;
menggerakkan semua jentera dan institusi masyarakat dan mengaktifkan
masjid, surau serta markas Parti Pembangunan untuk berperanan sebagai wadah
revolusi mental dan penggerak perubahan progresif;
membendung segala aspek penyakit sosial seperti
judi, keruntuhan akhlak, ketagihan dadah, pergaulan bebas tanpa batasan yang
bertentangan dengan agama dan budaya ketimuran, dan sebagainya;
membentuk saf bagi mencegah, mengawal serta
membendung segala bentuk penyakit dan gejala sosial yang mengancam kemanusiaan
dan tamadun serta menjalankan kempen berterusan terhadap bahaya jenayah sosial,
mengutamakan pencegahan sebelum berlaku sesuatu dan bertindak tegas, keras
serta segera apabila susila sosial diingkari;
mengawal dan menapis segala bentuk hiburan dengan
memastikan hanya hiburan yang berkualiti dan mempunyai nilai-nilai seni,
membangun minda, akhlak dan tali kekeluargaan (family oriented) sahaja yang
akan disiarkan dan menentukan bahawa slot-slot hiburan berseimbang dengan
slot-slot program yang lain;
merangka strategi dan mengambil langkah-langkah yang
mampu menjauh dan menyulitkan kemudah-capaian (aksesibiliti) rakyat Kebawah
DYMM kepada gejala-gejala yang memabukkan, mengkhayal dan melekakan;
membasmi kemiskinan dengan menaikkan pendapatan
serta taraf hidup individu dan keluarga dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi
mengatasi masalah pengangguran melalui pendekatan pembangunan ekonomi rakyat
yang berpegang kepada falsafah dan prinsip-prinsip:
o Rajin dan kuat
berusaha;
o berdikari dan tidak
bergantung kepada subsidi Kerajaan Kebawah DYMM sahaja tanpa memikirkan akan
kesannya di dalam jangka masa yang panjang;
o mengamalkan gaya
hidup yang sederhana dan menjauhi budaya suka berhutang bagi membiayai
keperluan-keperluan yang bukan asas;
mewujudkan skim keselamatan sosial bagi pekerja,
merangka perundangan-perundangan buruh yang berteraskan keadilan sosial yang
sebenar, mewajibkan pekerja asing dan majikan mereka menyumbang kepada Tabung
Amanah Pekerja, dan menjamin hak berkesatuan kepada kaum pekerja di semua
sektor dan peringkat, termasuk peringkat buruh dan pengurusan;
membela nasib pekerja awam bergaji hari dengan
mengkaji semula skim perkhidmatan dan gaji yang diterima dengan menetapkan
kadar gaji minimum bagi skim yang terendah tidak kurang daripada BRD 35.00
sehari dan kenaikan tahunan tidak kurang daripada 10%. Di samping itu,
skim-skim perkhidmatan lain yang seumpamanya hendaklah juga dikaji dan
ditentukan kadar bayaran minimum dan kenaikan tahunan yang lebih munasabah
mengikut kelayakan;
memastikan bahawa para majikan, termasuk industri-industri
nasional yang penting, seperti industri minyak dan gas, membayar gaji serta
memberikan kemudahan-kemudahan yang lain kepada para pekerja mereka yang
terdiri daripada rakyat Kebawah DYMM pada kadar yang sama dengan yang dibayar
serta diberikan kepada para pekerja asing, jika mereka memiliki kelayakan,
pengetahuan dan pengalaman yang sama atau sebanding;
memastikan bahawa proses pembayaran gaji bagi setiap
pekerja atau buruh oleh para majikan di Negara Brunei Darussalam dilakukan
melalui sistem perbankan, tanpa mengira sama ada para pekerja atau buruh
tersebut terdiri daripada rakyat Kebawah DYMM atau rakyat asing yang mencari
rezeki di negara ini. Bank-bank di Negara Brunei Darussalam, melalui peruntukan
undang-undang yang digubal, akan dikehendaki untuk melaporkan kepada pihak yang
berwajib dengan segera jika terdapat para majikan yang gagal membayar gaji para
pekerja atau buruh mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan mengikut kontrak
atau perjanjian yang telah ditandatangani dan dipersetujui oleh kedua pihak
sebelumnya, agar tindakan undang-undang dapat diambil ke atas para majikan
tersebut oleh pihak berwajib yang dimaksudkan itu;
menggembleng kesedaran bahawa antara ciri-ciri
ketakwaan adalah untuk memakmurkan bumi sebagai satu tanggungjawab sosial dan
bagi mengelak adanya individu yang tidak bekerja atau tidak mahu bekerja
disebabkan negaranya makmur;
menggalakkan penubuhan dan membantu parti-parti
politik dan organisasi-organisasi bukan kerajaan (NGO-NGO) yang dianggotai oleh
sejumlah rakyat Kebawah DYMM dan atau penduduk Negara Brunei Darussalam, dari
segi kewangan dan latihan yang boleh memberikan sumbangan dan bantuan
kemanusiaan, terutamanya dalam masa kecemasan di dalam dan di luar negara;
memastikan rancangan perumahan negara dilaksanakan
secara berkesan agar setiap keluarga mempunyai tempat kediaman yang selesa, di
dalam persekitaran yang menggalakkan perkembangan minda dan akhlak yang sihat.
Untuk ini pihak yang berkenaan disaran agar menyegerakan pembinaan rumah-rumah
kediaman, seperti mana yang dihasratkan Kebawah DYMM, untuk memenuhi keperluan
rakyat Baginda yang meningkat dari masa ke semasa.
· Parti Pembangunan dengan penuh iltizam berusaha
untuk :
Menubuhkan koperasi perladangan yang terancang untuk
menampung pekerjaan kepada bekas-bekas banduan jenayah dan dadah melalui
pembukaan tanah pertanian yang diurus dan dikawalselia dalam bentuk
perkampungan industri tani yang lengkap dengan prasarana dan kemudahan asas
seperti masjid, sekolah rendah, kilang, pusat pemprosesan produk tani yang
sesuai dan seumpamanya;
mengamat-amati secara berterusan serta
mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa bagi mempastikan
konsep keadilan dan roh keadilan sosial dan pembangunan sosial yang dihasratkan
mencapai matlamatnya.
·
Mencadang, menyokong dan membantu sebarang
usaha kerajaan Kebawah DYMM untuk :
Mewujudkan sistem perkhidmatan kesihatan percuma
yang sempurna dan terbaik dan memastikan setiap orang tanpa mengira status
sosial mereka, sama ada di bandar atau di kampung-kampung berhak mendapat
layanan perkhidmatan rawatan yang terbaik, ubat-ubatan yang berkualiti, klinik,
wad-wad hospital yang selesa, khidmat kepakaran dan peralatan rawatan yang
cukup, terkini serta bertaraf dunia;
mengurus dan menanggung sepenuhnya perbelanjaan
rawatan di luar negara sekiranya perlu seperti disyorkan oleh doktor dan pakar
perunding;
memastikan hospital-hospital mempunyai nisbah doktor
pakar / pesakit mengikut piawaian antarabangsa dan mendapat perkhidmatan
kepakaran luar bagi menampung sebarang kekurangan;
menggiatkan program latihan pegawai perubatan dan
jururawat terlatih untuk mengurangkan penggantungan kepada sumber-sumber tenaga
manusia dari luar;
mengadakan R&D bagi amalan, latihan dan pemakanan untuk
menjadikan generasi selepas merdeka terdiri dari warga yang bertubuh badan yang
sihat, bertenaga, berstamina, tahan lasak dan dinamik, supaya wujud persiapan
pekerja serba boleh, tentera atau pahlawan yang gagah, petugas negara yang
berwibawa dan penggiat sukan yang dapat bersaing dengan bangsa-bangsa lain;
mendidik rakyat secara agresif agar mereka sentiasa
peka dengan tahap kesihatan mereka melalui pengambilan makanan yang berkhasiat
dan seimbang sebagai langkah penjagaan kesihatan dan kawalan penyakit;
memastikan penyebaran maklumat kepada orang awam
tentang kes epidemik dilakukan dengan secepat mungkin supaya langkah-langkah
pencegahan dapat dijalankan dengan serta-merta untuk menghalang penyebaran
penyakit;
menyediakan pusat, perkhidmatan dan perundingan khas
dan kemudahan lain yang perlu untuk pesakit-pesakit yang tiada harapan untuk
sembuh (terminally ill patients), seperti penghidap kanser, pesakit koma,
penghidap AIDS, dan sebagainya. Ini untuk memastikan mereka mendapat jagaan
yang sebaik mungkin sepanjang tempoh hayat mereka yang terakhir;
mengadakan R&D bagi mengurangkan penggunaan
dadah dalam rawatan dan mencari kaedah baru perubatan atau perubatan alternatif
yang bebas dari dadah;
menanamkan kebencian terhadap tabiat merokok,
terutama sekali di kalangan kanak-kanak dan menjadikan rokok wabak yang setaraf
dengan virus HIV dan selsema burung yang mesti dijauhkan dari masyarakat
sehingga generasi mendatang Negara Brunei Darussalam bebas rokok;
menunaikan tanggungjawab kejiranan di mana
Kementerian Kesihatan membenarkan pesakit-pesakit serius dari daerah-daerah
perbatasan negara seperti Miri, Limbang dan Lawas untuk mendapatkan rawatan
secara percuma di hospital-hospital Negara Brunei Darussalam.
· Parti Pembangunan dengan penuh iltizam berusaha
untuk :
Menganjurkan kempen-kempen kesihatan dan kebersihan
khususnya di kalangan anggota parti secara berterusan;
Mengamat-amati secara berterusan serta
mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa bagi mempastikan
tahap kesihatan rakyat diberi keutamaan, terpelihara dan sentiasa terjamin
menepati piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
·
Mencadang, menyokong dan membantu sebarang
usaha Kerajaan Kebawah DYMM (ke arah pembentukan Negara Brunei Darussalam
sebagai sebuah negara Islam yang membawa maksud sebagai sebuah negara kebajikan
yang berlandaskan Syariat Islam) untuk :
Menubuhkan jabatan khusus bagi merangsang dan
melahirkan keluarga bahagia, menggaris dasar, undang-undang keluarga dan hak
anggota keluarga supaya tidak teraniaya, memberi perlindungan kepada
kanak-kanak dan isteri yang menjadi mangsa penderaan dan memantau serta
memastikan matlamatnya tercapai;
menjamin setiap keluarga terbela dengan mendapat
semua kemudahan asas iaitu rumah kediaman yang selesa, perlindungan keselamatan
dan makanan yang seimbang terutamanya bagi kanak-kanak. Justeru itu, pihak yang
berwajib hendaklah mempertimbangkan pemberian elaun pemakanan bulanan sebanyak
BRD 200 untuk kanak-kanak yang baru lahir hingga mencecah persekolahan formal
dan kanak-kanak yang belajar di sekolah formal pula hendaklah diberikan elaun
pemakanan bulanan sebanyak BRD 300 sehingga mereka tamat persekolahan di
peringkat menengah;
memastikan semua anak yatim dan ibu tunggal bebas
daripada kemelaratan, serta dijamin pembiayaan pemakanan, pakaian, perumahan,
termasuk pembelajaran anak-anak yatim, sehingga mereka berumur lapan belas
tahun atau tamat pengajian atas pembiayaan Kerajaan Kebawah DYMM di peringkat
menengah atau lanjutan;
melancarkan skim membasmi kemiskinan hingga tiada
rakyat Kebawah DYMM yang layak menerima zakat sebagai fakir dan miskin, kecuali
di bawah asnaf yang lain;
mengadakan khidmat kaunseling bagi menimbulkan
kesedaran betapa institusi keluarga perlu ditegakkan bagi menjamin
kesinambungan dan perkembangan zuriat, masyarakat dan bangsa berdaulat,
bermaruah dan selamat;
memberi khidmat, perlindungan dan bimbingan yang
perlu dan bersesuaian kepada mereka yang terlibat dalam kegiatan tidak sihat
seperti penagih dadah, bekas penjenayah, pelacur, penghidap AIDS, dan lain-lain;
menggalak pembentukan badan-badan sukarela bagi
memupuk kesedaran mengenai tanggungjawab sosial yang mesti dipikul bersama dan
tidak meletakkan tanggungjawab berkenaan sepenuhnya ke atas Kerajaan Kebawah
DYMM;
membangunkan sebuah negara kebajikan mengikut
konsep ‘Baldatun Thyaiibatun Wa Rabbun Ghafuur’ dengan memanfaatkan setiap sen
dari kekayaan alam yang dikurniakan oleh Allah SWT dan memastikan ianya
diagihkan kepada yang berhak secara langsung atau tidak langsung;
menaikkan umur persaraan kepada 60 tahun untuk
wanita dan 65 tahun untuk lelaki di samping memberi pilihan untuk bersara
secara sukarela (voluntary retirement) selepas umur 55 tahun dengan memberi
notis selama setahun;
mempertimbangkan kenaikan pencen khusus untuk warga
emas dari BRD 200 sebulan setiap seorang kepada suatu jumlah yang mengambil
kira kos penghidupan dewasa ini, serta disemak semula setiap lima tahun sekali
setelah itu, dengan mempertimbangkan kenaikan seterusnya setelah mengambil kira
kadar kenaikan inflasi setiap tahun;
menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai ‘syurga’
bagi warga emas dan orang kurang upaya, dan mengadakan skim takaful bagi
perlindungan rawatan, hari tua dan berbagai tujuan perlindungan yang lain.
meraikan warga emas dengan mengisytiharkan satu hari
istimewa buat mereka yang dinamakan “Hari Warga Emas”.
· Parti Pembangunan dengan penuh iltizam berusaha
untuk :
Mengamat-amati secara berterusan dan menjadi mata
dan telinga Kebawah DYMM agar konsep negara kebajikan dan sejahtera itu
benar-benar tercapai. Tumpuan adalah kepada golongan yang benar-benar
memerlukan perhatian dan bantuan agar mereka tidak tercicir dari senarai yang
berhak dibantu oleh negara.
PEMBANGUNAN SUMBERDAYA
MANUSIA
·
Mencadang, menyokong dan membantu sebarang usaha
Kerajaan Kebawah DYMM untuk :
·
Mewujudkan sumber manusia yang berilmu, memiliki
kekuatan agama dan keupayaan bangsa, kreatif dan inovatif, berdikari dan
berikhtiar, berani mengadu kepakaran dan kebolehan di arena antarabangsa, dan
mempunyai tahap kepakaran dan daya saing yang tinggi;
·
memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat
untuk mendapat pendidikan yang tidak terhad kepada pendidikan formal;
·
membentuk sistem dan infrastruktur pendidikan yang
cukup untuk memenuhi kehendak dan keperluan setiap warga di semua peringkat
umur dengan kebolehan masing-masing;
·
membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dengan
sumber tenaga manusia yang mempunyai nilai tinggi dari segi pendidikan asas,
kepakaran dan kemahiran berbagai disiplin, celik ICT (info-communication
technology) dan memiliki kemampuan dan kreativiti yang tinggi;
·
merangka skop ilmu dan kemahiran yang luas untuk
menghasilkan ahli pendidik, pemikir, pengkaji, pemaju, pelabur, pengusaha,
pelaksana, pentadbir, ahli-ahli seni, ahli sukan dan akademik, serta kepakaran
dalam sains dan teknologi;
·
melahirkan sumber tenaga manusia yang berupaya dan
mampu menyesuaikan diri dalam memajukan ekonomi berunsurkan ilmu pengetahuan;
·
menggembleng kesedaran dan semangat tidak takut
menghadapi kegagalan dengan kepercayaan terhadap diri sendiri dengan nilai
profesionalisme dan kewibawaan yang tinggi;
·
memastikan rancangan Sumber Tenaga Manusia menjurus
kepada produktiviti yang tinggi mengikut dasar ‘best practices’;
·
memastikan imbuhan sektor awam dan swasta hendaklah
berdasarkan produktiviti dan prestasi sebagai pemangkin untuk menghasilkan
golongan pekerja yang progresif dan kompetitif.
Parti Pembangunan
dengan penuh iltizam berusaha untuk :
Membantu Kerajaan Kebawah DYMM dan masyarakat Negara
Brunei Darussalam amnya, dengan sikap pemedulian yang kental, untuk
merealisasikan pencapaian dalam usaha bagi memenuhi keperluan Sumber Tenaga
Manusia di semua sektor, termasuk ekonomi, politik, sosial dan sebagainya, ke
arah pencapaian wawasan pembangunan negara;
mengamat-amati dan mengetengahkan pandangan dan
idea-idea dari masa ke semasa bagi mencapai kemajuan Sumber Tenaga Manusia yang
ulung dengan kemajuan optimum potensi, keupayaan dan daya saing rakyat Kebawah
DYMM dan penduduk Negara Brunei Darussalam.
·
Mencadang, menyokong dan membantu Kerajaan Kebawah
DYMM dalam sebarang usaha untuk merancang dan melaksanakan dasar pembangunan
bandar, dan di dalam kerangka ini, Parti Pembangunan mempersembahkan wawasannya
seperti berikut :
Meningkatkan imej dan konsep Kampung Ayer dengan
kemudahan rumah tumpangan dan perhotelan, bank dan premis perniagaan, dan
mengikis imej orang tidak bertanah dan miskin dan menjadikannya kawasan tarikan
pelancong dan peniaga sebagai mercu tanda keunikan Negara Brunei Darussalam;
menjadikan Kampung Ayer sebagai pusat perdagangan.
Sudah ratusan tahun konsep satu kampung satu produk diamalkan di Kampung Ayer.
Umpamanya Kampung Saba adalah pengeluar bahan makanan laut, Kampung Lorong
Sikuna adalah pengeluar tenunan songket yang popular. Kampung Pandai Besi
adalah pengeluar produk dari bahan logam seperti parang dan pisau. Kampung
Burong Pingai sebagai pengeluar makanan kuih-muih tradisional dan Kampung
Sungai Kedayan sebagai pengeluar produk perak dan emas. Justeru itu, Parti
Pembangunan menyeru supaya dikaji kemungkinan konsep ini dapat dihidupkan
semula dan diberi nafas baru. Ia bukan saja mampu menjana ekonomi pengusaha
tempatan tetapi juga boleh menjadi tarikan pelancong yang unik di dunia;
menjadikan Pusat Bandar, Bandar Seri Begawan sebagai
Kota Warga Emas. Bangunan-bangunan dan infrastruktur yang lain hendaklah mesra
pengguna untuk kegunaan warga emas dan orang kurang upaya dengan menjamin
kemudahan seperti laluan untuk kerusi roda dan sebagainya. Warga emas
memerlukan ketenangan dan tempat istirehat yang sesuai bagi mereka. Pusat
Bandar Seri Begawan boleh ditransformasi dengan mengubahsuai rumah-rumah kedai
kepada ‘budget hotel’, membina surau-surau di setiap sudut yang sesuai yang
diimarahkan dengan kuliah-kuliah agama dan majlis ilmu dan menghidupkan kota
ini dengan laungan azan yang bersahut-sahutan setiap kali masuk waktu solat,
membanyakkan klinik-klinik pakar dan klinik-klinik perubatan alternatif seperti
berbagai jenis klinik terapi, menyediakan dataran-dataran untuk riadah termasuk
menyediakan prasarana riadah silat Brunei asli dan ‘tai chi’ pada waktu pagi
dan petang dan seumpamanya. Menyekat kemasukan kenderaan berenjin dan
menggantikannya dengan sistem pengangkutan alternatif, memperbanyakkan
tanaman-tanaman hijau dan taman-taman bunga, menjadikan dataran pelabuhan lama
yang menghadap Kampung Ayer sebagai dataran istirahat dengan gerai-gerai
makanan yang menyediakan berbagai jenis makanan dan juadah dari bahan yang
berkualiti dan sihat. Menggembirakan warga emas ini pasti akan membawa
keberkahan kepada negara;
menjadikan Daerah Temburong sebagai Kota Kampus atau
Kota Ilmu. Kerajaan yang kaya seperti Negara Brunei Darussalam mempunyai
tanggungjawab memperkembangkan ilmu. Sesuai dengan tuntutan Islam agar ummatnya
menyintai ilmu, maka sebagai sebuah negara yang berkemampuan, wajarlah
sebahagian rezeki kurniaan Allah SWT kepada negara ini diperuntukkan untuk
membangunkan Daerah Temburong sebagai Kota Kampus atau Kota Ilmu yang akan
menempatkan sarjana-sarjana besar dunia mengkaji, menulis dan menterjemah
pelbagai disiplin ilmu. Menjadi pusat pengumpulan buku-buku ilmiah seluruh
dunia. Menyediakan kemudahan dan galakan R&D dalam berbagai-bagai bidang
yang akan menjadi sumbangan besar negara kepada perkembangan ilmu dan pembinaan
tamadun dunia, terutama tamadun Islam;
menjadikan Kuala Belait / Seria sebagai Kota
Teknologi. Sesuai dengan kedudukannya sebagai kota minyak, peluang untuk
menerokai teknologi petroleum dan gas dan pembukaan industri-industri
berasaskan petroleum boleh diketengahkan di kota ini. Dengan itu Kota Teknologi
ini akan berupaya menampung ribuan pekerjaan untuk anak-anak tempatan;
menjadikan pekan Tutong sebagai Kota Budaya. Sebuah
Akademi Seni yang berwibawa sehingga boleh mengeluarkan pengiktirafan di
peringkat ijazah hendaklah dibina di daerah ini. Akademi ini boleh membantu
menyaring dan menjana sebarang kegiatan seni agar ia sentiasa selaras dengan
polisi kebudayaan nasional yang berteraskan kebudayaan Islam serta tidak
bercanggah dengan syariatnya. Kegiatan akademi ini tentunya boleh dilaratkan
kepada penubuhan industri-industri kraftangan di kampung-kampung, tenunan kain
tradisi berbagai suku kaum, dan menghimpun serta menggalakkan kegiatan seni
budaya suku-suku kaum dari seluruh negara;
memastikan reka bentuk sebarang binaan baru di
seluruh negara hendaklah menggarapkan pembinaan kubah agar Negara Brunei
Darussalam mempunyai identiti sebagai sebuah ‘Negara Kubah’ yang hidup
bercahaya di waktu malam;
perancangan infrastruktur dan kemudahan-kemudahan
hendaklah bersifat proaktif dan prospektif supaya rakyat dapat menikmati
kemudahan-kemudahan tersebut sebaik saja keperluan itu timbul.
· Parti Pembangunan dengan penuh iltizam berusaha
untuk :
Membantu Kerajaan Kebawah DYMM memulakan kajian awal
ke atas cadangan-cadangan yang dianjurkan;
menyokong sebarang usaha Kerajaan Kebawah DYMM
menjadikan setiap bandar di Negara Brunei Darussalam sebagai bandar yang ceria,
aman dan selamat kepada penghuni dan pengunjung;
mengamat-amati secara berterusan serta mengetengahkan
pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa bagi mempastikan pembangunan bandar
tidak mengabaikan ciri-ciri dan nilai-nilai yang penting kepada pembangunan
insaniah;
mengamat-amati secara berterusan serta
mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa serta menyokong
sebarang usaha untuk menggalak dan mengekalkan reka bentuk bangunan bercirikan
binaan tradisional Melayu Brunei / seni
bina Islam yang tinggi sebagai identiti pembangunan bandar yang unik;
NON-MUSLIM
·
Mencadang, menyokong dan membantu Kerajaan Kebawah
DYMM ke atas sebarang usaha untuk :
Memberi jaminan kepada semua kaum dan penganut agama
minoriti untuk mempelajari dan mengamalkan kebudayaan dan agama masing-masing;
mewujudkan pendemokrasian keadilan di Negara Brunei Darussalam di mana
rakyat Kebawah DYMM yang bukan beragama Islam tidak sekali-kali akan dipaksa
untuk diadili berdasarkan Syariat Islam;
menjamin pemeliharaan atau penjagaan nyawa,
kehormatan, akal dan harta setiap rakyat Kebawah DYMM dan penduduk Negara
Brunei Darussalam, tanpa mengira bangsa, kaum, puak, agama atau jantina,
melalui penggubalan dan peruntukan undang-undang serta penguatkuasaan dan
pengukuhannya;
membuka ruang kepada golongan minoriti, tanpa
mengira bangsa, puak atau agama, untuk mendapat pendidikan ke tahap yang
tertinggi tanpa sebarang diskriminasi, dalam apa jua bidang;
memberikan hak kepada rakyat Kebawah DYMM dari
bangsa-bangsa, kaum-kaum dan puak-puak yang lain untuk menubuhkan institut
pengembangan dialek atau bahasa untuk memajukan, memperkembang dan menyebarkan
dialek dan bahasa masing-masing, selain menyokong usaha ke arah memajukan
pengajian bahasa-bahasa tersebut di UBD, terutama sekali Bahasa Mandarin dan
bahasa-bahasa utama di Asia dan Asia Tenggara.
· Parti Pembangunan dengan penuh iltizam berusaha
untuk :
Menghormati agama-agama lain dan melindungi
hak serta kebebasan para penganutnya mengamalkan agama masing-masing mengikut
peruntukan undang-undang;
membantu membasmi sebarang fahaman kolot dan
perkauman sempit yang bercanggah dengan nilai-nilai Islam sebagai langkah
mengelakkan sebarang bentuk perselisihan antara kaum;
mengamat-amati secara berterusan serta
mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa bagi menjamin hak,
nyawa, kehormatan, akal dan harta Non-Muslim sentiasa terpelihara dan dihormati
selaras dengan nilai-nilai keadilan Islam.
BELIA DAN SUKAN
·
Mencadang, menyokong dan membantu Kerajaan Kebawah
DYMM ke atas sebarang usaha untuk :
Mengisytihar dan melancarkan Hari Belia bagi
menghebahkan kejayaan para belia dalam bidang pertanian, perniagaan dan sukan
sebagai dorongan dan rangsangan kepada para belia untuk meneroka dengan lebih
jauh dalam bidang-bidang tersebut;
menyediakan peluang dan latihan yang lebih
luas dalam bidang teknikal dan kemahiran kepada lepasan sekolah menengah bagi
mewujudkan pangkalan tenaga mahir yang ‘reliable’ tanpa terus bergantung kepada
kemahiran tenaga kerja asing;
menyusun dan melaksanakan program belia niaga
di setiap kampung dan mukim bagi mencungkil dan memupuk nilai-nilai
keusahawanan yang jitu, berwawasan dan beretika dengan menyalurkan bantuan dan
bimbingan melalui gerakan koperasi belia dan pergerakan pertubuhan belia
setempat;
merangka program dan modul latihan yang
menekankan aspek-aspek pembangunan sahsiah dan potensi diri bagi melahirkan
belia yang patriotik, bersemangat waja dan beriltizam tinggi;
menggembleng penyertaan dan tenaga para belia
dalam usaha menegakkan makruf dan mencegah kemungkaran secara efektif dan
berterusan, melalui dasar atau skim nasional yang disusun oleh pelbagai pihak
secara bersepadu, seperti skim khidmat negara, skim pemantauan keselamatan
kampung dan mukim, dan sebagainya. Pelbagai insentif, termasuk dari segi
kewangan juga boleh disediakan untuk memastikan dasar atau skim tersebut
mencapai objektifnya;
mewujudkan satu skim Khidmat Negara untuk
para belia demi memupuk semangat patriotik, nasionalisme dan sikap pemedulian
rakyat bagi melahirkan warganegara yang berdisiplin;
menjadikan sukan sebagai salah satu kegiatan
utama dan menjuarai setiap bidang sukan dengan matlamat memperkenalkan negara
di peringkat antarabangsa melalui pencapaian bertaraf dunia;
mewujudkan skim latihan dan insentif khas
bagi mencungkil dan memupuk bakat-bakat yang menunjukkan potensi kecemerlangan
dalam bidang sukan yang boleh diketengahkan di peringkat antarabangsa;
memajukan Sekolah Sukan Negara dengan
kemudahan sukan bertaraf dunia untuk membimbing kanak-kanak yang berpotensi
dari kecil lagi dalam berbagai bidang sukan agar dapat mewakili negara dan bersaing
dengan negara lain secara profesional di peringkat antarabangsa;
menyusun dan memperbanyakkan program belia
dan kemudahan sukan sebagai jalan untuk membebaskan mereka dari kemelut gejala
sosial.
· Parti Pembangunan dengan penuh iltizam berusaha untuk
:
Menganjur dan mengisytiharkan Hari Pemuda dan Hari Wanita Parti Pembangunan
dengan merancang pengisian sambutan dengan program-program yang boleh menaikkan
dan mengukuhkan semangat ‘espirit de corps’;
mendampingi golongan belia bagi tujuan membimbing dan membantu mereka,
terutama belia-belia yang bermasalah, agar mereka itu mempunyai nilai diri yang
secara langsung boleh menjadi aset dan bukannya liabiliti kepada negara;
mengamat-amati secara berterusan serta mengetengahkan pandangan dan
idea-idea dari masa ke semasa bagi mempastikan golongan belia dari setiap kaum,
dan tahap pendidikan mereka, tidak tercicir dari arus perubahan dan program
yang dirancang untuk mereka dalam proses penjanaan pembangunan bangsa dan
negara.
·
Mencadang, menyokong dan membantu sebarang usaha
Kerajaan Kebawah DYMM untuk :
·
Menggalakkan penyertaan kaum wanita melalui
pelbagai jenis dorongan atau insentif di dalam sektor perniagaan, termasuk
menubuhkan koperasi-koperasi di kampung-kampung dan mukim-mukim, khususnya bermuamalat
bagi memenuhi keperluan-keperluan asas penduduk kampung dan mukim
masing-masing;
·
menjamin hak wanita untuk mendapat pendidikan
ke tahap yang tertinggi tanpa sebarang diskriminasi jantina, dalam apa jua
bidang, dan tiada lagi wanita yang buta huruf dan tidak berpelajaran di Negara
Brunei Darussalam selepas kemerdekaan;
·
membuka ruang dan jaminan untuk wanita
bergiat aktif dalam semua bidang dan bebas membuat pilihan kerjaya yang mereka
minati, dengan menepati tuntutan Syariat Islam;
·
menjamin hak wanita untuk mendapat cuti
bergaji (paid leave) semasa menunaikan ibadah fardu haji, hak persaraan,
jaminan keselamatan dalam apa jua keadaan seperti pengangguran, penyakit, uzur
disebabkan tua (old age) dan sebagainya;
·
menjamin hak wanita untuk menerima pembayaran
gaji dan layanan yang setaraf dengan lelaki di dalam pekerjaan yang serupa;
·
menjamin hak wanita untuk menerima elaun cuti
(leave allowances) yang setaraf dengan lelaki;
menjamin hak wanita untuk menerima elaun keluarga
yang setaraf dengan lelaki;
·
menghalang diskriminasi terhadap wanita yang
berkahwin dan mengandung dengan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk
menjamin kedudukan pekerjaan mereka, menyediakan cuti bersalin bergaji (paid
maternity leave), dengan jaminan untuk kembali kepada pekerjaan asal, dan untuk
menyediakan khidmat sosial yang diperlukan termasuk kemudahan-kemudahan
penjagaan anak damit (childcare facilities);
·
mengambil langkah-langkah untuk memerangi
segala jenis penyeludupan, pelacuran dan eksploitasi terhadap kanak-kanak
perempuan dan wanita;
·
memastikan wanita diberikan hak tanpa
sebarang diskriminasi untuk:
o Mengundi dalam semua pemilihan dan layak menyertai semua pemilihan awam;
o mengundi dan diundi dalam apa jua referendum awam;
o memegang jawatan awam (yang dibolehkan dalam Islam) dan menjalankan semua
tugas-tugas awam.
·
membataskan khidmat waktu malam bagi wanita
kecuali yang bekerja sebagai doktor, jururawat dan bidan serta mengecualikan
mereka dari menyertai perkhidmatan negara (perkhidmatan tentera wajib);
·
mengambil langkah-langkah untuk memberi
perlindungan kepada wanita yang terlibat dalam pekerjaan-pekerjaan tertentu,
atas sebab-sebab sifat fizikal semula jadi mereka, dan ini janganlah disalah
anggap sebagai satu tindakan diskriminasi;
·
mewajibkan pemeriksaan bagi ibu-ibu yang
mengandung sejak dari awal hingga bersalin bagi memastikan kesihatan ibu dan
kandungan berada di tahap yang tinggi melalui pendekatan ‘centrifugal’ dengan
matlamat mencapai secara klinikal status sifar kematian anak damit disebabkan
kecuaian atau meminimumkan kematian anak damit dengan sebab kekurangan
kepakaran dalam urusan anak-anak damit;
mempertimbangkan dua bulan cuti bersalin bergaji
penuh bagi ibu, dan satu minggu cuti bergaji penuh bagi suami kerana isteri
bersalin;
·
menggalakkan wanita menceburi bidang
pendidikan dan perubatan sakit puan kerana hanya wanita yang mampu memberikan
perkhidmatan yang terbaik dalam bidang pendidikan dan asuhan keluarga sesuai
dengan keyakinan bahawa wanita adalah agen pembangunan kanak-kanak yang penting
dan pelindung kepada keselamatan zuriat serta menuju kepada matlamat setiap
pesakit puan sewajarnya dirawat oleh doktor atau pakar wanita.
·
Parti Pembangunan
dengan penuh iltizam berusaha untuk :
·
Menyediakan pusat asuhan kanak-kanak dan
susuan ibu bagi wanita bekerja tanpa mengabaikan kefahaman tanggungjawab ibu
dan keluarga dalam pembangunan sahsiah kanak-kanak, lebih-lebih lagi di
peringkat awal tumbesaran;
·
menyokong dan membantu sebarang usaha
mana-mana pihak ke arah memartabatkan kehormatan wanita melalui gerakan
mencegah eksploitasi wanita dan sebarang bentuk gangguan seksual;
·
mengamat-amati secara berterusan hak asasi
wanita serta mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa bagi
mempastikan golongan wanita dan kaum ibu tidak tercicir dari arus perubahan dan
program yang dirancang untuk mereka dalam proses penjanaan pembangunan bangsa
dan negara.
·
Mencadang, menyokong dan membantu sebarang usaha
Kerajaan Kebawah DYMM untuk :
Memastikan pihak yang berwajib sentiasa mengambil
kira faktor alam sekitar secara serius dalam sebarang usaha untuk memajukan
atau membangunkan negara, di mana kajian secara objektif dan telus perlu
diadakan sebelum sebarang projek pembangunan atau projek mega dimulakan, agar
kesejahteraan rakyat Kebawah DYMM dan generasi akan datang, serta alam sekitar
tidak akan terjejas dan lebih terjamin;
mengenalpasti serta mencegah segala aktiviti di
Negara Brunei Darussalam yang mungkin memberi kesan atau menyumbang kepada
pencemaran, penghakisan dan kemusnahan
alam sekitar sama ada di atmosfera, sungai-sungai, laut dan pantai dan
keseluruhan ekosistem negara;
mengkaji dan menilai semula polisi-polisi yang sedia
ada yang memberi kesan terhadap alam sekitar termasuk ekonomi, perikanan,
perhutanan, pertanian, tenaga, pengangkutan dan sebagainya; dan memberi
cadangan untuk memastikan ianya lebih sejajar dengan prinsip pembangunan mampan
(sustainable development). Pembangunan dan pelindungan alam sekitar adalah
saling bergantung dan tidak boleh dipisahkan (interdependent and indivisible);
menggubal dan menguatkuasakan undang-undang yang
mewajibkan perlaksanaan kajian kesan alam sekitar (environmental impact
assesment) semasa di tahap cadangan (planning stage) apa-apa jua projek atau
aktiviti yang akan mengubah bentuk mukabumi (shape of the terrain) dan atau
merubah keadaan persekitaran, dan aktiviti yang berkaitan dengannya. Ini untuk
memastikan supaya isu-isu pelindungan alam sekitar dan kesihatan awam diberi
pertimbangan sewajarnya dalam projek demikian dan yang paling utama ialah untuk
menjamin generasi kini dan akan datang dapat terus menikmati khazanah alam
sekitar dan kehidupan sihat;
menjamin kebolehcapaian (accessibility) individu ke
atas maklumat-maklumat yang sewajarnya berkenaan alam sekitar daripada pihak
berkuasa, termasuk yang melibatkan bahan-bahan toksik dan merbahaya (toxic and
hazardous) dan aktiviti yang berkaitan di dalam komuniti mereka, agar mereka
berpeluang untuk turut serta dalam membuat apa-apa keputusan;
menggalakkan penubuhan NGO-NGO yang berperanan
sebagai pemantau ke atas isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar, untuk
berkhidmat atau bertindak sebagai penasihat kepada pihak yang berwajib dalam
usaha membangunkan negara, agar kesejahteraan negara dan rakyat Kebawah DYMM
tidak akan terjejas disebabkan oleh usaha-usaha sedemikian;
mempastikan kebersihan sungai-sungai yang menjadi
sumber bekalan air, laluan pengangkutan dan sumber kehidupan nelayan sentiasa
dipelihara melalui pendidikan sivik dan penguatkuasaan undang-undang;
mempastikan pengurusan dan pemuliharaan hutan dan
bukit-bukau dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan amanah bagi mempastikan
terpeliharanya alam sekitar sebagai satu warisan dan khazanah negara untuk
dimanfaatkan oleh generasi yang akan datang;
menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang kebersihan
dan pencemaran alam sekitar termasuk pencemaran udara dan bunyi bagi
mempastikan kualiti kehidupan dan kesihatan rakyat sentiasa terjamin;
memupuk budaya cintakan kebersihan di kalangan
rakyat bagi menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara yang bersih dan
sihat sehingga dapat memberikan gambaran bahawa masyarakat Brunei itu adalah
bangsa yang pembersih;
mewujudkan kesedaran mengenai penjagaan dan
pemeliharaan alam sekitar di kalangan rakyat Kebawah DYMM dari semua golongan
dengan cara menjemput pakar-pakar untuk mengadakan ceramah umum, penyebaran
maklumat melalui media elektronik, buku dan risalah;
menggalakkan penyertaan dan tindakan dari semua
pihak sama ada korporat atau individu, NGO dan badan-badan sosial melalui
kemudahan dan maklumat yang lebih terbuka dan usahasama dalam mencari
penyelesaian isu-isu berkaitan alam sekitar;
mengatasi masalah sampah tempatan secara amnya, dan
pencemaran terutamanya di Kampong Ayer di mana usaha selama ini masih belum mencapai
tahap yang memuaskan;
mempergiatkan penyertaan di dalam sambutan hari alam
sekitar sedunia seperti Hari Hutan Sedunia, Hari Air Sedunia;
Parti Pembangunan
dengan penuh iltizam berusaha untuk :
Melancarkan gerakan kesedaran melalui program pendidikan
dan kempen kepada orang awam khususnya ahli-ahli parti supaya mencintai dan
memelihara alam sekitar dengan mengambil daya usaha mengutamakan kebersihan
serta menceriakan persekitaran tempat tinggal mereka dengan penanaman pokok dan
lanskap;
mengamat-amati secara berterusan serta
mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa bagi membantu
sebarang usaha Kerajaan Kebawah DYMM untuk memelihara alam sekitar dan
menguatkuasakan undang-undang mencegah pencemarannya, termasuk mencecah kemungkinan
pencemaran disebabkan oleh pembangunan industri yang dirancangkan.
BAHAGIAN V
Seruan
Demikianlah kami
persembahkan ke persada rakyat Kebawah DYMM dan ke pangkuan anggota-anggota
Parti Pembangunan dan Negara Brunei Darussalam yang tercinta, sebuah manifesto
yang kami wawasankan. Mudah-mudahan Manifesto Parti Pembangunan Bangsa (Parti
Pembangunan) 1427/2006 – 1437/2016 ini akan diterima sebagai sumbangan idea
dari kami. Insya-Allah, kami akan melakukan segala sesuatu yang larat kami
lakukan dan akan membantu Kerajaan Kebawah DYMM dalam apa-apa jua usaha dan
program yang berkebajikan sepanjang khidmat kami diperlukan, lebih-lebih lagi
demi merealisasikan apa yang menjadi cita-cita Parti Pembangunan yang
diungkapkan dalam manifesto ini.
Maka
dengan ini, dengan penuh keinsafan dan dengan rendah hati, kami berseru dan
mengajak seluruh anak-anak serta ibu-ibu dan bapa-bapa yang datang dari
berbagai latar belakang, bekas banduan, bekas penagih dadah, anak-anak yang
masih menganggur, saudara-saudara kaum buruh, tani dan nelayan, peniaga-peniaga
kecil dan sederhana, kumpulan yang berpendidikan tinggi dan rendah dan yang
langsung tidak berkesempatan bersekolah, para pendidik, ahli akademik,
teknokrat, kumpulan profesional, ahli-ahli korporat, elit dan ningrat, ulama
dan para ilmuan, lelaki dan perempuan, Muslim dan Non-Muslim, marilah kita
bersatu di bawah wadah Partai Pembangunan dan melalui parti siasah ini,
bersama-sama kita berkhidmat dan menzahirkan kesetiaan yang tidak berbelah
bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan
Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Almarhum Sultan Haji Omar ‘Ali
Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan, Ulil
Amri dan Mujadid bagi ummat Islam di Negara Brunei Darussalam, berkhidmat dan
menzahirkan kesetiaan kepada Kerajaan Baginda, menzahirkan kecintaan kita
kepada rakyat Baginda dan juga watan, segala-galanya kerana ketakwaan dan
ketaatan kita kepada Allah SWT semata-mata dengan penuh ikhlas kerana-Nya jua. Saudara-saudara
semuanya adalah aset penting negara. Percayalah, masih ada ruang untuk semua
berperanan membangun negara dan membina bangsa.
Kami berseru, maka sudah
sampai masanya kini mereka yang berkemampuan dan berkeupayaan untuk berkongsi
ilmu, berkongsi pengalaman, berkongsi rezeki, berkongsi kemahiran dengan
saudara-saudara, adik-adik dan anak-anak kita yang memerlukan sokongan dan
bantuan dari kita semua. Parti Pembangunan adalah wadah dakwah, wadah khidmat
dan wadah politik untuk semua kerana Allah SWT jua. Marilah kita menunaikan
tanggungjawab kenegaraan kita bersama, dengan penuh jujur dan ikhlas.
Mudah-mudahan, di akhirnya
nanti, generasi akan datang, dengan izin Allah SWT, akan menyaksikan dan merasa
nikmat pembangunan yang dirancang rapi oleh genarasi sebelum mereka. Seluruh
ummat yang bernaung di bawah cepu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah ibni Almarhum Sultan
Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam akan sentiasa ceria, aman sejahtera mendapat
keberkahan Allah SWT, menepati konsep wilayah ‘Darussalam’ dan ‘Baldatun
Thayibbatun Warabbun Ghafur’.
Amin, Ya Rabbal Alamin.
‘MENJUNJUNG TITAH, MEMBANGUN
BANGSA’
ALLAHHU AKBAR! ALLAHHU AKBAR!
ALLAHHU AKBAR!
Terima Kasih
Limbaruh Hijau
Simpang 323
Jalan Jerudong
Bandar Seri Begawan
Negara Brunei Darussalam
31 Ogos 2006
1427/2006