DARI LUAR PAGAR PARLIMEN

Saranan NDP mengenai isu kemajuan perumahan negara

 
 

LIMBARUH HIJAU 12 MACH 2008 - Isu kemajuan perumahan negara yang dibentangkan di hari ke lima Majlis Mesyuarat Negara membuatkan NDP rasa terpanggil untuk mengulagi cadangan parti mengenai isu tersebut.

Pada Kongres Agung NDP ke Dua pada June 2007 isu perumahan diangkat menjadi antara usul utama dibahaskan di kongres tersebut.

Isu yang sama juga telah diangkat menjadi usul utama pada tahun sebelumnya di Kongres Agung NDP pertama.

Di Kongres Agung NDP Pertama satu persetujuan dan ketetapan telah diambil dalam mana NDP mencadangkan kepada kerajaan supaya menubuhkan sebuah Syarikat Perumahan Negara bagi mempercepat penghasilan perumahan untuk dijual kepada rakyat disamping itu Jabatan Kemajuan Perumahan pula dipertanggungjawabkan mengendalikan urusan penghasilan perumahan rakyat jati.

Di Kongres Agung Ke Dua NDP sekali lagi menekankan perlunya isu perumahan ditangani segera oleh Kerajaan KDYMM dan sebagai sebuah kerajaan Islam, menyediakan rumah yang selesa kepada rakyat adalah sebahagian daripada tanggungjawab yang tidak boleh sama sekali diabaikan. Kediaman yang selesa adalah salah satu elemen asas kehidupan dan kebahagiaan dan merupakan keperluan asasi setiap keluarga justeru ianya tidak boleh diambil ringan dan diabaikan.

Dalam usul tersebut NDP berpandangan sistem yang ada sekarang jelas menunjukkan sistem penyampaian dan pendekatan yang diamalkan terlalu lembap dan tidak responsif kepada keperluan dan jangkaan rakyat.

Tempoh masa menunggu, contohnya ada yang melebihi 15 tahun untuk mendapat rumah dan jangka waktu menunggu ini adalah terlalu lama dan tidak munasabah sama sekali".

NDP juga berpandangan perlunya diteliti semula reka bentuk dan spesifikasi rumah dalam skim perumahan negara agar ianya menepati kesemasaan (timeliness) serta pola dan gaya hidup golongan sasaran yang menekankan nilai-nilai ‘extended family’.

Memang tidak disangkalkan Kerajaan sedang berhadapan dengan cabaran-cabaran yang hebat dalam usaha melaksanakan tanggunjawab menyediakan perumahan yang selesa kepada rakyat.

Walaupun demikian kita yakin segala cabaran itu akan dapat diatasi dengan baiknya.

Apa yang perlu ialah langkah yang strategik mempercepatkan proses pembangunan skim perumahan rakyat dan penyampaiannya.

NDP melihat langkah mempercepatkan proses pembangunan skim perumahan rakyat bukan sahaja akan dapat mengimbagi penyamapiannya dan ekspektasi pemohon malahan ianya akan mendatangkan manafaat kepada pertumbuhan sektor pebinaan terutama kepada kelahiran kontraktor-kontraktor tempatan yang berwibawa.

Memang disedari urusan pembinaan rumah rakyat melalui institusi kerajaan lazimnya berhadapan dengan kerenah birokrasi seperti soal peruntukan, pembiayaan dan perolehan, menyebabkan berlakunya kelengahan dan kelewatan sehingga menyusahkan pemohon-pemohon.

Akan tetap ianya tidak seharusnya dilihat sebagai satu masalah sebaliknya harus dilihat sebagai satu peluang meningkatan upaya proses dan sistem penyampaian melalui sinergi dan kerjasama strategik kerajaan dan swasta.

Dalam konteks ini NDP melihat potensi bagi pihak kerajaan menubuhkan sebuah syarikat milik kerajaan yang didaftarkan di bawah akta syarikat dan dikendalikan dengan penuh tanggungjawab dan bukan berorientasikan keuntungan semata-mata.

Akan tetapi peneraju dan kakitangan syarikat hendaklah mereka yang berada di luar kerajaan atau bukannya kakitangan kerajaan, bagi memastikan syarikat tidak dihinggapi oleh penyakit kerenah birokrasi.

Peneraju syarikat juga hendaklah dari kalangan profesional yang melihat kelengahan sebagai musuh dan kerugian bukan sahaja kepada syarikat, malah juga terhadap negara.

Perlu juga dipastikan syarikat tersebut tidak tertakluk untuk menghasilkan rumah berasaskan reka bentuk yang standard tetapi sebaliknya mengikut permintaan pasaran.

Selain dari itu isu perumahan ini juga dapat dilhat sebagai satu peluang kepada pihak Kerajaan untuk '‘Out-sourcing’ sebahagian bebanan dan tanggungjawab kerajaan kepada pihak swasta dan kontraktor-kontraktor yang berwibawa mengikut kaedah ‘turnkey’ atau ‘design and build’.

Dalam masa sama ianya juga membukakan peluang kepada program pembangunan modal insan tenaga mahir anak-anak tempatan melalui projek-projek yang dipakejkan kepada konsortium kontraktor-kontraktor tempatan.

Melalui pendekatan-pendekatan yang disyorkan ini pihak kerajaan juga perlu menentukan jumlah sasaran pembinaan kepada sekurang-kurangnya 5000 unit rumah setahun.

NDP yakin dengan langkah-langkah yang strategik ini kelengahan dan kegagalan menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada rakyat akan dapat diatasi.

Kita menyedari dan menginsafi bahawa dengan kegagalan menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada rakyat boleh menimbulkan masalah social/keselamatan yang boleh menghambat usaha-usaha pembentukan sistem dan nilai-nilai kekeluargaan yang murni dan unggul seperti yang dituntut oleh Islam.

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.