DARI LUAR PAGAR PARLIMEN

Sinar harapan bagi PKS?

 
 

LIMBARUH HIJAU 16 MACH 2008 - KENYATAAN yang dikeluarkan oleh Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman, Menteri Kewangan II di Majlis Mesyuarat Negara (MMN4) berhubung peruntukkan yang telah disediakan untuk membantu perkembangan Pengusahah Kecil dan Sederhana (PKS) sangat menarik.

Menurutnya kerajaan telah memperuntukkan $107 juta sebagai dana khas di bawah Tabung Kemajuan Perusahaan yang memperuntukkan dua jenis skim pinjaman iaitu Skim Kemudahan Perusahaan dan Skim Kewangan Mikro Kredit.

Penyediaan skim kemudahan perusahaan itu adalah bagi membolehkan pengusaha yang sedia ada mengembangkan perusahaan dan perniagaan mereka ke tahap eksport manakala skim kewangan mikro kredit bagi memudahkan pengusaha tempatan mendapatkan kemudahan pinjaman memulakan perusahaan secara kecil-kecilan.

Setakat ini, menurut YB Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman, sebanyak $29.2 juta sudah disalurkan kepada dua bank tempatan untuk dipinjamkan kepada pengusaha yang memohon, katanya ketika menjawab soalan penangguhan mengenai perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman juga berkata sehingga 31 Oktober tahun lalu, 83 pengusaha sudah mendapat bantuan pinjaman melalui Skim Kemudahan Perusahaan dengan jumlah keseluruhan $28.38 juta yang membabitkan sektor pertanian dengan 29 peminjam bernilai $9.4 juta, perikanan ($11.6 juta), pembuatan ($5.6 juta) dan perkhidmatan pelancongan sebanyak $800,000.

Sebanyak $7.6 juta pula dikeluarkan kepada 398 syarikat membabitkan sektor pertanian, perikanan, perkhidmatan pelancongan, kontrak pembangunan, pemprosesan makanan, perkhidmatan makanan dan restoran, butik jahitan, salun kecantikan dan kafe siber, katanya.

Dalam masa sama Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman juga mendedahkan pinjaman berjumlah $4 juta di bawah skim kemudahan mikro kredit tidak dibayar oleh pengusaha yang telah menerima pinjaman-pinjaman ini.

Itulah senario perkembangan PKS di negara ini yang digambarkan oleh Menteri Kewangan II itu.

Pokoknya gambaran yang diberikan oleh Menteri Kewangan II menunjukkan Kerajaan telah melaksanakan komitmennya untuk membantu dan menyokong perkembangan PKS di negara ini dengan menghulurkan pinjaman kepada pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana.

Persoalannya dengan kemudahan-kemudahan sokongan kerajaan yang sediakan, kenapa negara sejauh ini belum lagi dilihat berhasil melahirkan pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana yang benar-benar cemerlang apatah lagi yang sudah menjadi jutawan?.

Apa yang menonjol ialah sepanjang dua dekad yang telah berlalu negara mempunyai kurang lebih 2000 PKS yang lingkup dan muflis.

Juga agak menonjol ialah pertumbuhan umpama cendawan pengusaha-pengusahah nasi katok atau nasi $1 dan pengusaha-pengusaha di tepi jalan. Rancangan negara jangka panjang ialah untuk melahirkan orang Melayu sebagai pemimpin industri (Captain of Inustry) dan memperkukuhkan ketuanan Melayu dalam perusahaan. Sebaliknya yang hanya dapat dilahirkan ialah pengusaha Melayu yang semakin lemah!.

Siapa yang harus dipersalahkan? Jawapannya bergantung kepada siapa dan dari pihak mana yang bersedia membuat penialain dan andaian.

Namun apapun alasan yang diberikan oleh mana-mana pihak kenyatan yang tidak dapat dipertikaikan ialah suasana ekonomi negara di tahun-tahun yang lalu, contohnya dalam tempoh RKN 8 adalah diakui lembab dan keadaan ini membuatkan payah untuk PKS tumbuh dengan suburnya.

Dalam masa sama peraturan-peraturan dan proses-proses memudahcara perkembangan PKS yang tidak mesra PKS juga turut menghambat pertumbuhan pengusaha-pengusaha tempatan.

Perkara ini pernah disentuh oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui titah Baginda sempena memperinagti hari puja usia Baginda ke 61 tahun.

Dalam titah tersebut Baginda meluahkan harapan agar semua pihak perlu menhargai sumbangan kumpulan SME dan bersama-sama turut menangani permasalahan mereka demi untuk kecemerlangan ekonomi negara sangat jelas dan tepat.

Mesej titah menekankan pentingnya peranan perniagaan-perniagaan kumpulan SME dalam menyumbang secara kolektif kepada pertumbuhan eknomoi negara justeru suasana untuk mereka terus berkembang sewajarnya di mudahkan bukan di sempitkan.

Seperti yang di titahkan Baginda Sultan agensi-agensi kerajaan mestilah menyediakan laluan untuk pertumbuhan dan perkembangan mereka supaya lebih benar-benar menjadi sektor yang akan dapat sama-sama berperanan dalam memajukan negara.

"Mana-mana agensi yang masih memakai peraturan-peraturan atau proses-proses yang boleh melambatkan pencapaian dan juga menghalangi perkhidmatan yang efisyen hendaklah mereka itu dengan segeranya mengubah pandangan mereka", titah Baginda Sultan.

Menurut perangkaan Jabatan Pendaftar Syarikat (Registrar of Companies and Names) sehingga penghujung 1997 sejumlah lebih 40,000 buah perniagaan milik perseorangan, rakan kongsi dan sejumlah 2,000 syarikat telah di daftarkan. Dapat kita anggarkan jumlah ini telah bertambah sepanjang 10 tahun yang lalu dari 1997 hingga ke 2007 ini.

Keseluruhan perniagaan-perniagaan ini di kategorikan dalam kumpulan SME dan seperti juga di negara-negara lain, kumpulan SME di Negara Brunei terus memainkan peranan penting dalam menyumbang kearah pertumbuhan ekonomi negara.

Pada tahun 1994 sahaja, SME telah menyumbangkan kira-kira 66.2 % kepada GDP (Keluaran Dalam Negeri) negara seperti yang dihuraikan dalam Rancangan Pembangunan Negara ke 7.

Sumbangan SME ini terus meningkat kepada 68.4 % pada tahun berikutnya.

Kumpulan SME juga merupakan penyumbang besar dalam menyediakan peluang-peluang pekerjaan di sektor swasta di negara ini. Sejumlah 70 peratus pekerjaan di sektor swasta di sediakan oleh kumpulan SME.

Di bidang perkhidmatan dan pembuatan kumpulan SME juga telah di catat menyumbangkan sebanyak 38 ke 40 % kepada GDP negara pada tahun 1995.

Tidak di sangkalkan berbagai usaha dan inisiatif serta program-program telah diambil dan di ungakayhkan oleh agensi-agensi kerajaan untuk membangunkan dan memperkasa perniagaan kumpulan SME ini namun kejayaannya belumlah begitu terserlah.

Setakat ini syarikat-syarikat SME yang berjaya mencapai taraf cemerlang yang boleh dibanggakan oleh bangsa dan negara boleh dikatakan dapat dihitung dengan jari dan yang dapat dikumpulkan sebagai kumpulan cemerlang ini pun masih juga berhempas pulas untuk terus bertahan dalam kedudukan mereka yang boleh digugat oleh suasana perniagaan yang kurang memberangsangkan.

Dala erti kata yang lain, nisbah jumlah peniaga-peniaga cemerlang di banding dengan jumlah peniaga-peniaga kumpulan SME yang gagal dan muflis sangat jauh sekali dengan jumlah kegagalan lebih tinggi dari yang cemerlang.

Dan antara penyumbang kepada kegagalan kumpulan SME ini ialah suasana yang tidak memberangsangkan untuk pertumbuhan perniagaan dan perusahaan, sistem delivery yang kurang mantap serta gejala birokrasi dalam mengatur kawal perniagaan dan perusahaan SME di negara ini.

Berbalik kepada kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kewangan II di MMN 4 baru-baru ini jelas tidak memberikan gambaran sebenarnya kemajuan program kerajaan melaksanakan rancangan-rancangan pembangunan PKS. (Bersambung)

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.