LIMBARUH HIJAU 24 MACH 2008 - LANGKAH Setiausaha Agung (SUA) NDP dan Penolong beliau 'bercuti protes' atas alasan tidak senang dengan prosedur-prosedur tidak mesra politik yang dikenakan oleh pihak berkuasa telah mengundang berbagai pandangan bukan sahaja dari kalangan ahli-ahli Majlis Tertinggi parti malahan juga dari pemerhati politik bebas.
Ada yang kurang senang dengan langkah tersebut dan menganggap SUA Awang Haji Aminorashid Haji Ghazali dan Penolong beliau, Awang Haji Mohidin DP Pengarah Haji Othman, 'overreaction', tidak mempunyai kekuatan untuk menghadapai cabaran, tidak bertanggunjawab dan macam-macam lagi.
"Baru menerima surat sudah mengelabah. Kami sudah pernah kena penjara dan diberikan tekanan lebih teruk dari surat tersebut", kata setengah mereka sambil menambah, "apa salahnya dijawab sahaja surat itu untuk memohon ma'af jika terlanjur membuat kesilapan".
Ada juga bisik-bisik dari luar menasihatkan SUA dan Penolong beliau supaya, "jangan tah protes-protes. Ikut saja cakap ROS atu. Dorang (mereka) atu kan menjaga NDP tu iatah dorang selalu menagur NDP. Sayang NDP kalau ditutup", kata mereka.
Dalam masa sama ada juga yang menyokong tindakan SUA dan Penolong beliau.
"Langkah mereka itu bertepatan. Sudah tiba masanya kita mengambil pendirian tegas dan bertindak seperti orang politik yang tulen agar kta tidak sewenang-wenangnya terus diperlakukan seperti anggota badan NGO biasa", tegas mereka.
"Sampai bila kita membiarkan pihak-pihak tertentu memperlakukan kita seperti ini?", tanya mereka.
"Kita tidak marah malahan kita alu-alukan jika teguran diberikan berpatutan dan kena pada tempatnya. Akan tetapi jika teguran tersebut keterlaluan hingga melimpasi batas hak asasi kita untuk melaksanakan tanggungjawab kita seperti yang sudah digariskan dalam perlembagaan parti yang diluluskan, setentunya kita rasa terkilan dan rasa tidak ada kebebasan langsung dalam menjalankan tanggunjawab politik kita", tegas beberapa orang ahli MT yang lain.
"Kita juga rasa terkilan atas langkah-langkah pihak-pihak tertentu yang kurang telus dengan prosedur-prosedur yang dilaksanakan hingga kan kita keliru apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh parti politik?"
"Kita kurang pasti had-had kebebasan kita melaksanakan visi, misi dan objektif parti yang sudah jelas tertulis dalam perlembagaan yang sudah diluluskan", tambah mereka lagi.
Menyentuh mengenai surat teguran terbaru dari ROS, mereka berpandangan pihak ROS sepatutnya tidak perlu mengirimkannya memandangkan isu yang dibangkitkan boleh diselesaikan melalui perjumpaan dan perundingan sahaja.
"Apabila surat sudah dikeluarkan ianya sudah menjadi satu perkara rasmi dan adalah menjadi tanggunjawab SUA untuk melaporkan perkara tersebut kepada ahli-ahli MT dan tidak heranlah berbagai reaksi, pandangan dan pendirian akan timbul dari surat tersebut", ujar mereka lagi.
"Kenapa perlu menangani isu kecil itu dengan secara rasmi kalau benar mereka mahu menjaga NDP? Apakah disebaliknya mungkin semua ini akan dijadikan alasan dikemudian hari nanti untuk menutup NDP?"
"Jelas surat terbaru yang menegur NDP kerana gagal memaklumkan atau meminta kebenaran awal dari ROS sebelum mengadakan taklimat pencegahan rasuah oleh Biro Pencegah Rasuah dan juga langkah NDP melibatkan anak-anak ahli dalam perbarisan Hari Kemerdekaan sebagai kemuncak siri 'tekanan demi tekanan' yang ditimpakan kepada NDP sejak ianya ditubuhkan".
"Dari awal penubuhannya lagi NDP berterusan dihambat dengan berbagai-bagai prosedur kurang mesra politik, contohya isu 'Buku Hijau' yang menyempitkan usaha NDP membuat hubungan kerjasama dengan kempimpinan tertinggi Majlis Perundingan Mukim dan Kampong, isu pengibaran bendera 'Sang Setia', penggunaan lambang parti dimajlis-majlis kenegaraan, sekatan kepada NDP menggunakan mesjid dan dewan-dewan awam untuk mengadakan aktiviti berkebajikkan dan pehimpunan dan prosedur yang menyempitkan usaha NDP memupuk hubungan persefahaman dengan badan-badan siasah luar negeri yang menghormati visi, misi dan objektif parti".
"Banyak surat-surat teguran telah diterima dan semuanya telah kita jawab dan perjelaskan selain dari siri tekanan melalui 'kunjungan-kunjungan mengejut' yang pernah dibuat oleh agensi-agensi keselamatan dibeberapa perhimpunan parti di markas-markas atau premis-premis yang sudah diluluskan oleh ROS", tambah mereka.
"Justeru surat terbaru ini dilihat sebagai kemuncak tekanan yang ditimpakan kepada parti dan apa yang dilakukan oleh SUA dan Penolong beliau adalah wajar", jelas mereka lagi.
"Sampai bila kita harus bertahan dengan prosedur-prosedur yang kurang menyenagkan dan tidak mesra politik ini?".
"Kita ada tugas yang lebih besar lagi untuk dilaksanakan akan tetapi prosedur-prosedur yang kurang mesra politik ini sering membuatkan kita resah gelisah sehingga kita terpaksa menumpukkan banyak masa memikirkannya sedangkan penumpuan tenaga dan fikiran lebih diperlukan kepada usaha memajukan parti dan usaha membantu negara menghidupkan suasana politik yang sehat dan masyaakat yang matang berpolitik selaras dengan peggangan NDP untuk terus menjunjung titah membangun bangsa", tegas mereka lagi.
Sebilangan ahli NDP yang lain pula berpendapat jika prosedur-prosedur yang kurang mesra politik ini berterusan ditimpakan keatas NDP, adalah lebih baik bagi barisan kepimpinan menimbangkan untuk mengadakan Kongres Agung Khas bagi memutuskan masa depan NDP.
"Kita mestilah menilai semula apakah suasana politik di Brunei sudah mengizinkan untuk sebuah parti politik yang aktif untuk bergiat dengan baiknya? Apakah parti politik relevan dan dapat diterima pakai di negara ini?".
"Kita btidak rela NDP dijadikan sebagai wayang kulit sahaja atau gimik demokrasi sahaja untuk tontonan masyarakat antarabangsa dan pemerhati hak asasi manusia sedangkan pada hakikatnya dalam negara kita seperti 'hidung tak mancong, pipi tersorong-sorong'.
"Justeru kita bersedia mencadangkan agar NDP di tutup sahaja atau dibekukan sementara sehingga keadaan mengizinkan untuk kita bergiat aktif semula daripada kita terus bertahan yang hanya akan tambah mengelirukan ahli-ahli dan juga rakyat terhadap suasana politik sebenar di negara ini", tegas beberapa ahali NDP yang berpendangan lebih radikal dari SUA dan Penolong beliau.