DAKAR (AFP) - Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon mengutuk serangan Israel ke atas orang awam Palestin dalam ucapan pada persidangan kemuncak pemimpin-pemimpin Islam di sini.
Ban berkata Israel mengambil pendekatan "penggunaan kekerasan tidak wajar dan keterlaluan" dalam serangan yang diteruskan ke atas wilayah Palestin dan meminta kedua-dua pihak menyegerakan gencatan senjata.
Sambil menekankan kematian wanita dan kanak-kanak dalam serangan Israel itu, beliau berkata, "Saya mengutuk tindakan-tindakan itu dan meminta Israel menghentikannya," dalam ucapannya pada persidangan kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei berangkat tiba di ibu negara Senegal itu malam tadi bagi menyertai persidangan OIC.
Pesawat-pesawat Israel hari ini membedil sasaran di utara semenanjung Gaza demikian diumumkan oleh tentera Israel dan sekali gus berakhirnya keadaan tenang daripada keganasan lima hari. Serangan dibuat selepas berpuluh serangan roket dilancarkan ke utara Israel dari Gaza.
Keganasan memuncak sejak akhir Februari dengan lebih daripada 130 warga Palestin maut, termasuk berpuluh pejuang mereka dan lima warga Israel, termasuk empat tentera.
Sekurang-kurangnya 351 orang, kebanyakan mereka pejuang di semenanjung yang di bawah pentadbiran Hamas maut sejak Israel dan Palestin secara rasmi memulakan rundingan damai pada persidangan anjuran AS akhir November, demikian menurut catatan AFP.
Ketua PBB berkata "keadaan di Timur Tengah masih berbahaya."
Presiden Senegal, Abdoulaye Wade yang negaranya akan menjadi pengerusi OIC tahun depan, berkata beliau akan menjadikan usaha menamatkan konflik Timur Tengah sebagai prioriti nombor satunya ketika dalam masa yang sama mengutuk Israel.
Beliau juga mendesak diadakan diadakan gencatan senjata ketika berucap merasmikan persidangan kemuncak OIC.
"Saya meminta setiap orang, warga Israel dan Palestin supaya pada hari ini menghentikan keganasan walau di mana mereka berada, sebagai tindakan dan tindak balas dan mematuhi gencatan senjata supaya saya dapat mengadakan rundingan dan memberi cadangan," beritahu Wade pada perhimpunan pemimpin yang dihadiri sama Presiden Palestin Mahmud Abbas.
"Sebagai presiden pertubuhan kita ini, saya akan menjadikan masalah Palestin dan pembentukan sebuah negara Palestin yang diiktiraf antarabangsa dalam wilayah yang selamat sebagai keutamaan saya.
"Keutamaan saya ialah perdamaian antara Palestin dan Israel," tambahnya sambil meminta Israel menamatkan "semua tindakan haramnya di wilayah yang ditakluki .... penindasan membabi buta ke atas warga Palestin."
Wade berkata beliau diminta cuba menjadi orang tengah dalam konflik itu oleh Presiden Israel Shimon Peres dan turut menawarkan untuk menjadi tuan rumah persidangan antara kedua kelompok yang berbalah di Palestin dan cuba "membentuk kepimpinan persekutuan, bersepadu yang unik."