LIMBARUH HIJAU 3 MACH 2008 -
PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) menaruh harapan tinggi perlaksanaan projek Skim Perumahan Negara di bawah Rancangan Kemajuan Negara 2007 - 2017 akan lebih efisyen dari tahun-tahun yang sudah-sudah.
Sejumlah BND 900 juta telah diperuntukkan bagi Skim Perumahan Negara di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke 8 (RKN 8) untuk membina sejumlah 9,000 buah rumah dan prasarana dikawasan-kawasan skim perumahan tersebut. Dari 146 projek yang dirancang dibawah RKN 8 hanya 33 projek yang siap dan dari 9,000 buah rumah yang dirancang untuk dibina dibawah RKN 8 tersebut hanya 969 yang dapat disiapkan.
Masih terdapat lebih 17,000 pemohon dalam senarai menunggu bagi perumahan dan lot-lot tanah di bawah skim perumahan dan jumlah ini semakin bertambah dalam keadaan ketidak seimbangan perlaksanaan dan permintaan masih ketara dalam sistem perlaksanaan Skim Perumahan Negara.
Dari permulaan program Skim Perumahan Negara dilaksanakan iaitu sejak dua dekad lalu hingga 2005 sejumlah 12,200 buah rumah telah berjaya diserahkan kepada pemohon-pemohon dan sejumlah 1,888 pemohon menerima lot-lot tanah dibawah skim yang sama.
Perkara ini dibentangkan oleh Awang Haji Damit bin Awang Haji Chuchu, Ketua Biro Perumahan NDP di mesyuarat ahli-ahli jawatankuasa biro Sabtu baru lalu ini. Mesyuarat berlangsung di Limbaruh Hijau, markas pusat NDP di Jerudong.
Awang Haji Damit menjelaskan di bawah RKN bagi tempoh 2007 - 2017 sejumlah BND 1,556 juta telah diperuntukkan untuk perlaksanaan skim perumahan negara bagi tempoh 5 tahun mendatang ini. Sebanyak 9,300 buah rumah di 11 buah tapak perumahan telah dirancang untuk dibina dalam jangka masa yang telah ditetapkan.
"Harapan kita perlaksanaan Skim Perumahan di bawah RKN ke 1 dibawah program Wawasan Brunei 2035 ini akan lebih efisyen dari tahun yang sudah-sudah, ujar Haji Awang Damit sambil menambah Biro Perumahan NDP punya peranan penting dalam memberikan sokongan kepada perlaksanaan efisyen dan efektif Skim Perumahan Negara.
Di mesyuarat tersebut AJK Biro Perumahan antara lain membincangkan perlaksanaan kaji selidik untuk mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh pemohon-pemohon dan juga penerima-penerima Skim Perumahan Negara.
Mesyuarat juga membincangan rancangan NDP untuk mengadakan sesi forum dan taklimat mengenai skim perumahan negara dengan menjemput wakil-wakil dari Jabatan Kemajuan Perumahan Negara selaku pembentang kertas kerja di sesi tersebut.