ISU SAMPAH...BADARUDIN H.O MENULIS....

MATA MASIH CELIK

 
 

ORANG LUAR yang datang melancong ke Negara kita mengagumi Negara kita kerana dikatakan bersih. 

Maksud mereka, ibu Negara.  Sebab ramai di antara mereka tidak sempat melawat ke kawasan-kawasan luar Bandar dan pedalaman.

‘Kambang’ juga hati mendengar pengakuan begitu.  Al-maklum sajalah orang luar memuji kita!  Itu tandanya mereka tertarik ataupun terpesona mendapati Negara kita ini bersih.

Mujurlah dalam ‘Kambang’ itu mata kita masih celik melihat.  Buktinya ialah kata-kata Pengarah Perkhidmatan-Perkhidmatan Kesihatan dan Perubatan dalam Perutusan Minggu Kesihatan tahun ini.  “Pencemaran alam sekeliling yang disebabkan oleh pembuangan sampah sarap dengan tidak tentu arah dan membuangnya di tepi-tepi jalan raya adalah menjadikannya terlalu kotor di kebanyakan tempat di negeri ini terutamanya dengan adanya pertambahan urbanisasi dan perpindahan penduduk.”

Ertinya kita masih tidak puas hati dengan kadar kebersihan yang ada.

Apabila demikian dan tambahan pula diakui oleh Pengarah itu lagi bahawa, “Tiap-tiap rakyat adalah berhak kepada suasana alam sekeliling yang sihat dan selamat, maka itu maknanya kita benar-benar menaruh perhatian bagi menjadikan negeri kita ini bersih bukan saja bagi dikagumi oleh orang-orang luar yang datang sekejap-sekejap malah jua bagi dinikmati oleh kita yang menetap.”
   

Oleh yang demikian saya percaya langkah-langkah unruk mewujudkan suasana berkebersihan dan berkesihatan bukanlah hanya setakat berkempen. 

Apa jua jenis kempenya adalah sekadar menarik perhatian bagi memberi kesedaran mengenai sesuatu perkara yang dikempenkan dan dari kesedaran itu orang-orang yang ditujukan kempen itu diharapkan akan berbuat sesuatu.

Kesan

Jadi soalnya ialah kesan kempen itu. 

Tahun lepas juga kita berkempen.  Selepas itu tidaklah diketahui dengan pasti setakat mana ‘orang-orang yang pengotor’ telah bertukar sikap menjadi pembersih.

Yang nyata kawasan-kawasan yang terlibat dalam kempen itu terutamanya di satu dua tempat yang diketahui kotor masih juga kotor.

Seimbas penglihatan ada kawasan yang dengan sendirinya akan sukar berkebersihan  kerana keadaannya yang terlalu sesak seperti perumahan-perumahan di tebing kedai membawa ke lagun masjid dan dari sebelah barat lagun itu membawa ke Jambatan Edinburgh.  Juga di kawasan ‘perusahaan’ Jalan Gadong.

Inilah barangkali yang dikatakan akibat “pertumbuhan urbanisasi dan perpindahan penduduk.” 

Tetapi orang yang biasa keluar negeri yang melihat Bandar-bandar negeri itu bertambah dan penduduk-penduduknya berpindah masih mendapati negeri itu bersih, sampah sarapnya tidak kelihatan.

Maka memang benar salah satu punca pencemaran alam sekeliling ialah pertambahan urbanisasi {perbandaran} dan perpindahan penduduk. 

Tetapi punca ini dapat dielakkan dengan mengawalnya.  Yakni urbanisasi dan perpindahan penduduk {juga pertambahannya} itu akan menjadi punca pencemaran alam sekeliling apabila ia tidak terkawal.

Dalam pada itu memanglah ada kawasan-kawasan dan tempat-tempat sepatutnya bersih serta boleh dibersihkan tetapi kerana ada di antara kita pengotor, kawasan-kawasan dan tempat-tempat itu menjadi kotor.  Contohnya pantai-pantai peranginan, jalan raya dan paling saya perhatikan ialah tandas-tandas awam!

Tandas-tandas awam berapalah jumlahnya.  Di Bandar Seri Begawan dapat dihitung dengan jari.  Tetapi itulah perkhidmatan yang disediakan bagi kemudahan orang ramai yang memerlukannya ketika terdesak.

Ya!  Ketika terdesak benar.  Contohnya seorang yang kebetulan berada di gerai makan di Jalan Residency tiba-tiba merasa mustahak ‘menyempurnakan hajat’.  Dia pergi ke tandas awam yang disediakan di kawasan itu.  Apa didapatinya?

Saya terperanjat, dia cuma sekejap tetapi dengan bergegas-gegas pula dia berlari masuk ke keretanya dan terus meluru ke tengah Bandar.  Selepas kira-kira setengah jam baru dia kembali semula ke gerai.  Apa hal?

Menurutnya, dia tidak tergamak ‘melepas’ di tandas awam itu.  Lantai kotor bertakung air, lubang tandas tersumbat dengan berbagai-bagai ‘isi’, ditariknya tali pam tetapi tidak berair. 

Tidak ada jalan lain dia segera teringat pejabatnya ada tandas maka kesitulah dia memecut keretanya.

Hilang Hak

Agaknya kejadian seperti inilah dijadikan contoh bagaimana seseorang itu telah tidak mendapat haknya untuk menikmati suasana alam sekeliling yang sihat dan selamat.

Tetapi siapa sebenarnya ‘menahan’ haknya itu?  Pihak yang berkuasa sudah menyediakan tempat. 

Bukan saja untuknya seorang bahkan untuk orang lain juga.  Ertinya pihak yang berkuasa telah memberi kemudahan baginya dan bagi orang lain memperolehi hak. 

Sayangnya kemudahan itu dicemari bukan olehnya tetapi oleh orang lain yang sama-sama diberi hak itu. 

Akibatnya ialah hak itu tidak bererti apa-apa kepadanya kerana dia tidak tergamak menggunakannya bukan kerana mengenangkan takut orang lain tidak ‘ampit’ tetapi kerana dia sendiri telah tidak ‘diampiti’

Ertinya tandas yang sepatutnya bersih dan boleh dibersihkan itu telah jadi kotor disebabkan ada di antara yang berhak itu pengotor.  Mungkin seorang dua mungkin ramai tetapi itulah kenyataanya.

Dalam pada itu tentu tidak selamanya kerana ada pengguna-pengguna hak yang pengotor menyebabkan tandas itu terus-menerus kotor. 

Contohnya lubangnya yang tersumbat, pam tarik yang tidak berair, lantai yang kotor semuanya itu tidak terdaya dilakukan pembaikannya oleh si pengguna. 

Yang berbangkit ialah masalah kawalan dan pemeliharaan.  Yakni siapa yang memedulikan hal itu?

Menghargakan

Saya seperti juga orang-orang lain tentu sekali menghargakan hati yang mengambil peduli. 

Hanya barangkali hajat hati itu tidak pula sama dirasakan oleh tangan dan kaki.

Begitulah pada keseluruhannya. 

Mewujudkan suasana alam sekeliling yang sihat dan selamat adalah suatu yang kita perlukan. 

Ia menjadi hajat semua yang sedar dan tahu akan makna sihat dan selamat itu. 

Sedar dan tahu itu dalam perkara kebersihan ini termasuklah juga tahu akan kadar yang dikatakan bersih itu.

Kalau orang berkata negara kita ini negara Islam, Islam menyuruh menjaga kebersihan, maka saya akan menyahut, betul! 

Dan kebersihan itu sebahagian daripada iman. 

Soalnya jangan lupa, iman itu antaranya mestilah disertai ‘tahu’. 

Itulah sebabnya ‘tahu’ akan kadar yang dikatakan bersih itu mesti ada untuk mewujudkan kebersihan yang menjadi sebahagian daripada iman itu.

MMN perlu pantau perjalanan Wawasan 2035

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.