Kebebasan, peraturan undang-undang, toleransi resepi kestabilan politik

 
 

LIMBARUH HIJAU 25 MACH 2008 - KESTABILAN politik sebenar akan hanya dapat dihasilkan jika ada keharmonian antara kebebasan rakyat, peraturan undang-undang dan toleransi (Freedom, Rules of Law and Tolerance) , ujar sdr Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden NDP ketika diminta pandangan mengenai perkembangan terkini dalam NDP berikutan langkah Setiausaha Agung NDP dan Penolong beliau ambil cuti protes.

Awang Haji Aminorashid Haji Ghazali dan Awang Haji Mohidin DP Pengarah Haji Othman mengambil langkah drastik tersebut berikutan tindakan ROS mengutus surat teguran kepada NDP kerana gagal memaklumkan atau meminta kebenaran dari pihak ROS untuk mengadakan seminar mencegah rasuah serta telah melibatkan penuntut sekolah dalam pasukan NDP di perbarisan Hari Kebangsaan.

Menurut sdr Morshidi langkah Sec Gen dan Penolong beliau dimaklumi dan beliau meluahkan kerisauan jika perkara itu berterusan ianya akan boleh melumpuhkan perjalanan pentadbiran dan pengurusan NDP.

"Mereka berdua rasa kesal dan kecewa. Itu hak mereka dan kita harus menghormatinya", tegas sdr Morshidi sambil menambah beliau sendiri mengongsikan rasa kesal dan kecewa mereka itu.

"Kita selama ini menghormati dan sentiasa berusaha akur kepada undang-undang dan peraturan-peraturan yang mengawal perjalanan pertubuhan siasah negara ini. Harapan kita ialah untuk mewujudkan sebuah parti politik rakyat yang berwibawa yang menjadi kebangaan negara dan bangsa".

"Kita berhasrat untuk membina NDP sebagai sebuah pelantar politik yang serious dan bewibawa untuk rakyat memainkan peranan aktif dalam membantu membangun bangsa dan negara bersama KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassaal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, zuriat-zuriat dan kerajaan Baginda".

"Untuk itu NDP perlu melaksanakan banyak program dan aktiviti yang menjurus kearah matlamat yang disebutkan. Persoalannya terdapat beberapa perlaksanaan peraturan dan undang-undang mengawal perjalanan pertubuhan politik yang kurang telus dan boleh menyekat perjalanan lancar parti", jelas sdr Morshidi.

"Keadaan ini mengundang persoalan dimana letaknya had kebebasan rakyat untuk berpartsipasi secara aktif dalam pembangunan bangsa dan negara melalui pelantar politik. Kekesalan dan kekecewaan akan timbul jika kita terus gagal untuk mendapatkan jawapannya dari pihak-pihak yang berkenaan yang kurang telus dalam melaksanakan pertauran dan undang-undang", kata sdr Morshidi lagi.

"Justeru saya berseru kepada pihak-pihak berkenaan agar akan lebih telus dalam melaksanakan peraturan dan undang-undang, bertoleransi agar rakyat dapat merasakan hak kebebasan mereka melaksanakan tanggugjawab politik dihormati", ujar sdr Morshidi.

Dalam erti kata lain, katanya, kebebasan, peraturan undang-undang dan toleransi perlu wujud secara harmoni untuk menjamin kestabilan politik yang sebenar.

Beliau bepandangan kestabilan politik tidak akan dapat bertahan lama jika tiga aspek penting ini sentiasa berlanggar, contohnya kestabilan politik tidak akan berdayatahan jika ianya diwujudkan melalui penguatkuasaan peraturan undang-undang yang mengikat kebebasan rakyat atau melalui strategy 'politic of fear'.

Kita khuatir dengan ketidaaan keharmonian dalam tiga aspek penting ini boleh menyumbang kearah melahirkan rakyat yang kecewa dan akhirnya akan boleh mengugat kestabilan politik yan sedang kita nikmati hari ini, jelas sdr Morshidi.

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.