Jangan ganggu iklim pekerjaan

 
 
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Kerajaan tidak dapat mempertimbangkan permintaan untuk menambah jumlah bayaran bonus tahunan kepada kakitangan sektor awam kerana ia mungkin mengganggu iklim pasaran pekerjaan negara dan menjejaskan sektor swasta.

Kewangan II Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman Haji Ibrahim (gambar kanan) hari ini memberitahu Majlis Mesyuarat Negara bahawa jika kenaikan ini dibuat, jumlah pekerja yang berkhidmat dalam sektor swasta akan menurun dan jurang perbezaan antara gaji di sektor swasta dan sektor kerajaan akan lebih luas lagi.

Isu itu harus dipertimbangkan bukan sahaja pada satu pihak bahkan pada skop lebih luas, katanya ketika menjawab pertanyaan mengenai bayaran bonus itu oleh Wakil Daerah Temburong, Haji Sulaiman Haji Ahad.

Beliau mencadangkan kenaikan kadar pembayaran bonus tahunan kepada kakitangan kerajaan mengikuti tangga gaji masing-masing bagi memudahkan dan membantu rakyat di negara ini.

Menurutnya, cadangan itu perlu dipertimbangkan berdasarkan kenaikan harga barang yang semakin dirasai pada masa kini dan memberi kesan langsung kepada mereka yang bergaji rendah.

Sesi hari ini Majlis Mesyuarat Negara meneruskan perbincangan rang undang-undang Belanjawan 2008 berjumlah $4.8 bilion yang dikemukakan oleh Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman semalam.

Seorang lagi anggota Majlis, Haji Sulaiman Haji Ahai mencadangkan kenaikan umur persaraan daripada 55 tahun kepada 60 tahun.

Ketika menjawab isu itu, Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Pehin Dato Seri Setia Haji Yahya Haji Bakar berkata isu itu masih dalam penyiasatan dan kajian disebabkan perkara seperti pengangguran dan ruang pengambilan baru juga akan menjadi terhad.

Beliau menyatakan jika pemegang jawatan yang mencapai umur persaraannya itu masih lagi aktif dalam menjalan kegiatan kerajaan, isu kenaikan umur persaraan berkenaan akan dipertimbangkan tetapi ia perlu dikaji dengan teliti berdasar kes-kes yang dikemukakan.

Anggota, Dato Paduka Haji Yunos Mohd Noh pula mengemukakan isu mengenai pemohon kerja berkelulusan ijazah dengan membangkitkan persoalan mengenai tempoh jawatan yang seharusnya mereka pegang.

Beliau juga membangkitkan isu mengenai peluang persaingan antara pemohon berkelulusan Diploma HND, OND dan 'O'-Level berbanding dengan mereka yang berkelulusan ijazah dalam mendapatkan sesuatu pekerjaan.

Ketika menjawab persoalan itu, Pehin Dato Seri Setia Haji Yahya menyatakan secara keseluruhannya isu tempoh pegangan jawatan itu adalah tanggungjawab dan tertakluk pada kementerian yang menawarkan jawatan terbabit.

Bagaimanapun ketika menjawab pertanyaan mengenai peluang pekerjaan itu, beliau berkata: "Pada masa ini belum ada usaha untuk menurunkan taraf kelulusan atau kelayakan bagi sesuatu jawatan dalam kerajaan yang ditawarkan."

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.