BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Orang ramai "berhutang" $150 juta dengan kerajaan dalam bentuk tunggakan bayaran bil elektrik dan air, demikian Majlis Mesyuarat Negara hari terakhir diberitahu hari ini.
Menteri Kewangan II, Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman Haji Ibrahim berkata tunggakan itu adalah sumber pendapatan penting kerajaan bagi membiayai perbelanjaan asas seperti penyediaan infrastruktur dan keperluan sosial lain
Secara khususnya, beliau berkata tunggakan bayaran bil elektrik oleh orang ramai kini mencecah $106 juta manakala tunggakan bayaran bil air sudah mencecah $44 juta.
Ketika menjawab soalan penangguhan oleh wakil Dato Paduka Haji Puasa Tudin, Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman juga mendedahkan pinjaman berjumlah $4 juta di bawah skim kemudahan mikro kredit tidak dibayar oleh pengusaha.
Menurutnya kerajaan memperuntukkan $107 juta sebagai satu dana khas di bawah Tabung Kemajuan Perusahaan yang memperuntukkan dua jenis skim pinjaman iaitu Skim Kemudahan Perusahaan dan Skim Kewangan Mikro Kredit.
Penyediaan skim kemudahan perusahaan itu adalah bagi membolehkan pengusaha yang sedia ada mengembangkan perusahaan dan perniagaan mereka ke tahap eksport manakala skim kewangan mikro kredit bagi memudahkan pengusaha tempatan mendapatkan kemudahan pinjaman memulakan perusahaan secara kecil-kecilan.
Setakat ini, sebanyak $29.2 juta sudah disalurkan kepada dua bank tempatan untuk dipinjamkan kepada pengusaha yang memohon, katanya ketika menjawab soalan penangguhan mengenai perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman juga berkata sehingga 31 Oktober tahun lalu, 83 pengusaha sudah mendapat bantuan pinjaman melalui Skim Kemudahan Perusahaan dengan jumlah keseluruhan $28.38 juta yang membabitkan sektor pertanian dengan 29 peminjam bernilai $9.4 juta, perikanan ($11.6 juta), pembuatan ($5.6 juta) dan perkhidmatan pelancongan sebanyak $800,000.
Sebanyak $7.6 juta pula dikeluarkan kepada 398 syarikat membabitkan sektor pertanian, perikanan, perkhidmatan pelancongan, kontrak pembangunan, pemprosesan makanan, perkhidmatan makanan dan restoran, butik jahitan, salun kecantikan dan kafe siber, katanya.
Sementara itu, dalam ucapan penangguhan menjawab soalan mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), Menteri Perhubungan Pehin Dato Seri Setia Dr Haji Abu Bakar Haji Apong berkata kerajaan sudah melaksanakan pelan bertujuan meneliti pembesaran LTAB supaya dapat menampung kapasiti 4.5 juta pengguna sehingga tahun 2024.
Isu lapangan terbang antarabangsa itu dikemukakan oleh wakil Pehin Dato Paduka Goh King Chin yang berkata LTAB berusia lebih 20 tahun itu memerlukan pembesaran dan pengubahsuaian.
Pehin Dato Seri Setia Dr Haji Abu Bakar berkata kajian pelan induk itu akan selesai tahun ini dan konsultan sudah dilantik untuk melaksanakan rancangan dalam pelan induk tetapi melalui perbincangan dengan semua pemegang kepentingan dalam LTAB.
Mengenai masalah pemeriksaan pasport bagi orang asing yang terpaksa berbaris panjang di
LTAB, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Pehin Dato Seri Setia Haji Adanan Haji Mohd Yusof berkata beberapa barisan sudah dikenal pasti dan dikaji bagi mempercepatkan pemeriksaan imigresen di LTAB.
Sementara itu Menteri Kesihatan, Pehin Dato Seri Setia Haji Suyoi Haji Osman ketika mengulas mengenai isu meniadakan borang kesihatan bagi penumpang berkata borang itu masih perlu diisi sebelum mereka masuk ke Brunei bagi mengawal dan mencegah penyakit dibawa masuk ke negara ini. (MP)