Hak wanita, isu TAP dibangkitkan pada hari terakhir

 
 
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Kaum wanita di negara ini masih perlu mendapatkan hak yang sama dengan kaum lelaki dalam pekerjaan, pembayaran, jaminan sosial dan cuti dibayar gaji yang masih berbeza berbanding kaum lelaki.

Wakil dari Daerah Brunei dan Muara, Haji Bakar Mansor mencadangkan kaum wanita di negara ini perlu mendapatkan hak yang sama dengan kaum lelaki, apatah lagi kaum wanita yang berjawatan tetap di dalam sektor kerajaan di mana hak mereka tidak seimbang dengan kaum lelaki yang berjawatan tetap dalam sektor kerajaan.

Ketika menjawab isu itu, Menteri Kewangan II, Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman Haji Ibrahim hari ini memberitahu Majlis Mesyuarat Negara berpandukan kepada Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri bilangan 17/1992 dan 19/1995 seorang pegawai wanita yang berjawatan tetap tidak berhak diberikan elaun cuti dan elaun tambang 10 tahun untuk suami dan anak-anaknya.

Menurutnya kedua-dua surat keliling itu menghuraikan jenis perkhidmatan dan kelayakan tertentu dan kerajaan masih berpandukan kepada surat keliling berkenaan dalam memproses segala permohonan dalam kategori itu sehinggalah surat keliling berkenaan diubah dan mungkin perkara itu akan dipertimbangkan.

Manakala Wakil dari Daerah Belait, Haji Muhammad Taha Abdul Rauf mencadangkan isu Tabung Amanah Pekerja diberikan perhatian sepenuhnya oleh sebab skim berkenaan tidak begitu berjaya.

Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman ketika menjawab isu berkenaan menyatakan beliau sudah menjelaskan isu berkenaan apabila dipersoalkan oleh anggota mesyuarat.

Beliau bagaimanapun menjelaskan yang pada masa ini kerajaan membiayai $145 juta kepada orang yang masih berpencen dan di samping itu kerajaan juga membayar sebanyak $100 juta setiap tahun bagi pembayaran baksis kepada pekerja di bawah perkhidmatan kerajaan dan pencen tua sebanyak $44 juta setahun.

Wakil dari daerah Tutong, Dato Paduka Haji Muhammad Taha Abdul Rauf mengemukakan isu mengenai jumlah pemohon yang menunggu untuk mendapatkan rumah masih lagi ramai walaupun Rancangan Perumahan Negara sudah diwujudkan tetapi beliau mencadangkan supaya pembinaan rumah dilaratkan ke mukim yang difikirkan sesuai untuk menempatkan perumahan berkenaan.

Ketika menjawab kepada isu itu Menteri Pembangunan, Pehin Dato Seri Setia Haji Abdullah Dato Paduka Haji Bakar menyatakan cadangan yang ditimbulkan akan diteliti dari segi kesesuaian oleh sebab isu perumahan adalah isu yang mempunyai permintaan sosial dan keperluan untuk mengekalkan struktur kampung mestilah ditinjau daripada segi perkembangan pengangkutan dan keupayaannya. (MP)

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.