Fitna Satu Penghinaan Dan Cercaan - Majlis Fatwa Kebangsaan

 
 

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bermuzakarah bagi kali ke-81 berpendirian bahawa filem bertajuk Fitna yang diterbitkan seorang anggota Parlimen Belanda Geert Wilders merupakan satu penghinaan dan cercaan terhadap maruah dan kesucian agama dan umat Islam di seluruh dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin dalam satu kenyataan berkata jawatankuasa itu menentang sekeras-kerasnya penghinaan dan kebiadapan yang telah dilakukan.

"Tindakan mencerca dan tidak menghormati sensitiviti agama dan umat Islam di seluruh dunia merupakan elemen keganasan yang disuburkan bagi memburukkan lagi hubungan antara agama, dunia Islam dan barat.

"Jawatankuasa menyeru seluruh umat Islam khususnya di Malaysia supaya bersikap matang dan menggunakan pendekatan yang terbaik dalam menghadapi isu ini selain mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan provokasi yang cuba membangkitkan sentimen menggugat kedudukan agama dan umat Islam," katanya.

Menurutnya lagi, jawatankuasa juga menyeru agar seluruh umat Islam khususnya di negara ini supaya menentang fitnah tersebut dengan cara memulaukan produk dari negara berkenaan.

-- BERNAMA

 
 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.