AMSTERDAM 28 Mac – Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders telah memulakan penayangan filem Fitna yang menghina Islam dengan memetik beberapa ayat Al-Quran dengan imej latar serangan pengganas.
Filem 15 minit itu disiarkan dalam satu laman web bermula semalam dan disusuli kemudian penyiaran secara segmen oleh beberapa saluran televisyen Belanda.
Amsterdam sebelum ini memberi amaran kepada Wilders bahawa filem tersebut bakal mencetuskan keganasan di negara Islam seperti yang berlaku semasa penerbitan kartun yang menghina Nabi Muhammad S.A.W
“Filem itu menyamakan Islam dengan keganasan. Kami menolaknya.
“Kami kesal Wilders tetap menayangkan filem ini. Kami percaya ia tidak menyumbang apa-apa kecuali kesilapan,” kata Perdana Menteri Belanda, Jan Peter Balkenende.
Stesen-stesen televisyen di Belanda enggan menyiarkan filem ini dan Wilders sendiri menghadapi kesukaran mendapatkan platform Internet.
Filem tersebut dilaporkan memaparkan kenyataan dari beberapa ulama dan petikan ayat-ayat Al-Quran yang berlatarkan imej serangan 11 September 2001, serangan kereta api di Sepanyol pada 2004 dan pembunuhan pengarah filem Belanda pada 2004.
Filem tersebut dan diakhiri dengan karikatur Nabi Muhammad S.A.W yang kemudiannya disusuli dengan bunyi koyakan kertas.
Bagaimanapun, reaksi awal terhadap filem ini dianggap dingin.
Yusuf Altuntas dari Kumpulan Penghubung Islam dan Kerajaan berkata, Wilders “mencari keterbatasan tetapi tidak melanggar garis. Bagi Wilders ini agak halus.”
Bagi Maurits Berger, seorang profesor mengenai Islam di Barat di Universiti Leiden, filem ini tidak keras seperti yang dijangka
“Ia hanya siri imej dan foto, tajuk-tajuk berita sejak beberapa tahun lalu yang kita sudah ketahui,” katanya.
Menurut beliau, filem tersebut lebih memaparkan Wilders berbanding mengenai Al-Quran.
“Ia mewakili ketakutan Wilders terhadap Islam,” jelas Berger.
– AP