Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Kerajaan secara berterusan meningkatkan daya saing perekonomian negara dan mengukuhkan sektor swasta bagi memastikan sektor itu dapat mencapai hasrat sebagai nadi penggerak ekonomi negara dan sehubungan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memperkenankan beberapa pindaan berhubung dengan Akta Cukai Pendapatan (Penggal 35).
Pindaan itu termasuk kadar cukai pendapatan korporat yang dikurangkan secara berperingkat-peringkat daripada 30 peratus pada masa ini kepada 27.5 peratus bagi tahun taksiran 2008 dan seterusnya 25.5 peratus bagi tahun taksiran 2009.
Perkara itu dinyatakan Menteri Kewangan II, Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman Haji Ibrahim ketika membentangkan Rang Undang-undang (2008) Perbekalan 2008/2009 pada Majlis Mesyuarat Negara baru-baru ini.
Beliau menjelaskan sebagai tambahan kepada pengurangan kadar cukai pendapatan korporat dalam usaha membantu syarikat kecil yang baru beroperasi, kadar cukai yang berlainan turut diperkenalkan mengikut nilai ambang cukai.
Di bawah kadar cukai itu, bagi keuntungan $50,000 pertama, cukai pendapatan hanya dikenakan pada kadar 25 peratus daripada kadar cukai penuh dan bagi keuntungan $50 ribu berikutnya, cukai pendapatan hanya dikenakan pada kadar 50 peratus daripada kadar cukai penuh.
Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman menjelaskan bagi syarikat yang baru ditubuhkan di Brunei, bagi tiga tahun pertama taksiran (selepas mula beroperasi), pengecualian cukai pendapatan akan diberikan bagi $100 ribu pertama daripada keuntungan yang diperoleh.
Beliau percaya menerusi cukai nilai ambang baru diperkenalkan itu akan dapat mengurangkan beban cukai bagi syarikat kecil yang memperoleh keuntungan kurang daripada $100,000 setahun dengan keuntungan $100,000 pertama, secara purata hanya akan dikenakan cukai sebanyak 11.25 peratus, manakala ketika tiga tahun pertama beroperasi, keuntungan berkenaan akan dikecualikan daripada cukai.
Di samping itu juga, bagi menggalakkan kegiatan pelaburan dan perusahaan dalam sektor tertentu negara, perubahan turut dibuat dalam pemberian elaun modal bagi pengiraan cukai pendapatan.
Beliau menerangkan bagi elaun modal untuk perbelanjaan pembinaan bangunan bagi tujuan perindustrian di bawah bab 13 dan 15 Akta Cukai Pendapatan dinaikkan kepada 20 peratus berbanding 10 peratus sekarang manakala elaun tahunan dinaikkan kepada empat peratus berbanding dua peratus sekarang.
Sementara itu kelayakan bagi menuntut elaun cukai untuk bangunan industri juga akan diperluaskan kepada hotel yang dihasratkan menjadi penggalak untuk memajukan sektor pelancongan negara.
Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman berharap langkah yang diambil itu dapat meningkatkan daya saing negara menarik minat lebih banyak pelaburan langsung asing ke Brunei yang dipercayai akan memberikan kesan limpahan kepada memperkembangkan kegiatan perniagaan serta perusahaan negara khususnya bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Beliau juga membentangkan beberapa langkah yang diambil yang dihasratkan dapat meningkatkan daya saing PKS negara termasuk meningkatkan Pelaburan Kapital supaya operasi syarikat dapat berjalan dengan lebih efisien serta mudah berkembang sehingga dapat bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa.
Dengan mempertingkatkan kemudahan dan kesejahteraan pekerja supaya dapat menarik pekerja tempatan serta pekerja mahir dan pakar dari luar negara serta meningkatkan program latihan bagi pekerja syarikat terutamanya pekerja tempatan dapat membantu dan mendukung usaha syarikat untuk berkembang serta bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa, ujar Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman lagi.