BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Majlis Mesyuarat Negara hari ini mula membincangkan Belanjawan 2008/2009 berjumlah kira-kira $4.8 bilion dengan fokus utama pada keselamatan dan kesejahteraan awam dan bagi perkembangan dan pengukuhan sektor swasta, terutama yang sektor yang berorientasikan eksport.
Ketika membentangkan Rang Undang-Undang (2008) Perbekalan 2008/2009 di Majlis Mesyuarat Negara, Menteri Kewangan II Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman Haji Ibrahim mendedahkan perbelanjaan $4,785,785,648 dan pendapatan $5,601,960,000.
"Jumlah (pendapatan) ini berkurangan sebanyak 2.85 peratus atau $164.38 juta) daripada yang dianggarkan bagi tahun kewangan 2007/2008.
"Tahap pengeluaran minyak dan gas yang diunjurkan menurun daripada penghasilan pada tahun 2007 dijangka memainkan peranan penting dalam penurunan pendapatan ini," katanya.
Beliau berkata ekonomi negara diramal mengalami pertumbuhan agak perlahan pada 2007 pada kadar 0.4 peratus disebabkan pertumbuhan sektor minyak dan gas menurun pada kadar 3.6 peratus walaupun sektor bukan minyak tumbuh pada kadar 5.1 peratus.
Bagi tahun 2008, katanya pertumbuhan ekonomi negara daripada aktiviti minyak dan gas alan terus dipengaruhi faktor penurunan tahap pengeluaran minyak disebabkan kematangan telaga-telaga minyak sedia ada dan kerja peningkatan taraf kemudahan pengeluaran serta faktor kenaikan kos pengeluaran minyak dan gas.
Berasaskan pada faktor-faktor yang disebutkan itu, sektor minyak dan gas diramal menurun pada kadar negatif kira-kira 4 peratus, katanya.
Sektor Bukan Minyak dan Gas pula dianggarkan berkembang pada kadar antara 4 dan 4.5 peratus pada 2008 yang antara lainnya disebabkan perkembangan dalam sektor Perusahaan, Kewangan dan Perbankan, Jualan Borong dan Runcit, Pengangkutan dan Perhubungan dan Perkhidmatan Perniagaan.
Bagaimanapun, oleh kerana ekonomi negara masih banyak bergantung kepada aktiviti Sektor Minyak dan Gas, dan sumbangan daripada Sektor Bukan Minyak dan Gas kepada Pertumbuhan Dalam Negara Kasar dari segi jumlah sebenar keseluruhan adalah masih rendah.
Katanya ekonomi negara diunjurkan hanya akan mula berkembang dalam jangka masa sederhana pada kadar melebihi 3 peratus apabila pengeluaran minyak mulai pulih semula ke tahap yang ada sekarang, di samping peningkatan perlaksanaan projek-projek Kemajuan Kerajaan terutamanya yang terdapat dalam RKN (2007-2012) yang dilancarkan baru-baru ini.
Mengenai kadar inflasi, Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman inflasi dicatat yang rendah iaitu kurang daripada 1 peratus bagi tahun 2007, berbanding purata 4 peratus bagi negara-negara lain dirantau ini.
Beliau juga memberitahu Dewan, sebagai sebuah negara pengeluar minyak, harga minyak di tahap tinggi kebelakangan ini telah memberi kesan positif kepada kedudukan fiskal kerajaan tetapi perlu terus berhemah dalam berbelanja dengan mengamalkan sikap berjimat cermat dalam mengendalikan lebihan pendapatan ini, tanpa menjejaskan usaha mengembangkan aktiviti perekonomian.
Kerajaan perlu merangka strategi fiskal jangka sederhana dan panjang yang akan membolehkan negara berdaya tahan dan bersedia menghadapi kesan pengurangan pengeluaran dan rizab minyak atau berlakunya sesuatu perkara yang boleh menjejaskan pendapatan negara dari sektor minyak secara mendadak.
"Untuk makluman bersama, jika hasil daripada Sektor Minyak dan Gas tidak diambil kira, kerajaan sebenarnya menghadapi defisit belanjawan yang berjumlah antara $3.2 bilion hingga $4.7 bilion setahun bagi tempoh lima tahun kebelakangan," katanya.
Pada masa yang sama, hasil daripada Perkhidmatan Kerajaan dan Cukai Pendapatan daripada Sektor Bukan Minyak dan Gas dijangka meningkat sebanyak 17.46 peratus kepada kira-kira $704 juta berbanding $599 juta dalam tahun kewangan 2007/2008.
Kenaikan itu akan dapat direalisasikan tertakluk kepada kejayaan langkah-langkah kerajaan meningkatkan hasil daripada sektor ini, terutamanya menerusi aktiviti-aktiviti pengawalan dan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang berkaitan dan usaha mengurangkan tunggakan hasil Kerajaan.
Secara keseluruhan, sumbangan daripada usaha ini dijangka meningkatkan pendapatan hasil Sektor Bukan Minyak dan Gas daripada 10.4 peratus dalam tahun kewangan 2007/2008 kepada 12.6 peratus tahun kewangan 2008/2009.
Beliau berkata objektif belanjawan negara bagi 2008/2009 masih lagi menjurus ke arah pengukuhan fiskal tetapi dasar itu akan dilaksanakan secara berhati-hati supaya tidak menjejaskan usaha pembangunan dan kemajuan negara.
Bagi mencapai objektif ini, Kerajaan perlulah merancang secara teliti bagi mengawal tahap perbelanjaannya agar sentiasa berada diparas yang berdaya tahan dalam jangka masa panjang, di samping membantu memperkukuhkan lagi kedudukan kewangan kerajaan terutama mengambil kira hasil pendapatan kerajaan yang masih lagi banyak bergantung pada sumber minyak dan gas.
Dalam merangka Belanjawan 2008/2009, kerajaan mengambil kira tiga faktor utama iaitu perbelanjaan kerajaan yang meningkat dari setahun ke setahun memerlukan tindakan awal untuk mengurangkan perbelanjaan tanpa menjejaskan perkembangan aktiviti perekonomian.
Perbelanjaan kerajaan pada masa ini menyumbang sekitar 29 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar yang dikira agak tinggi berbanding dengan negara-negara lain dirantau ini, jelasnya.
Faktor kedua ialah sebahagian besar perbelanjaan kerajaan berbentuk perbelanjaan yang tidak fleksibel iaitu bagi kategori gaji kakitangan dan Perbelanjaan Berulang-Ulang yang meningkat daripada 69 peratus pada tahun kewangan 2006/2007 kepada 72 peratus bagi tahun kewangan ini.
Ketiga, jika pengawalan dan pengurangan perbelanjaan yang tidak fleksibel dapat dilaksanakan, negara akan dapat memberi ruang bagi penambahan peruntukan pembiayaan projek-projek pembangunan dan kemajuan (seperti projek-projek dalam RKN dan Perbelanjaan Khas).
Dua fokus utama belanjawan, kata Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman keselamatan dan kesejahteraan awam dan perkembangan dan pengukuhan sektor swasta
Keselamatan dan kesejahteraan termasuk penjagaan alam sekitar yang merupakan perkara utama bagi memastikan tahap serta kualiti kehidupan rakyat dan penduduk negara ini sentiasa terpelihara dan merupakan asas penting pembangunan negara, terutamanya bagi mewujudkan suasana kondusif untuk menarik pelaburan asing langsung ke negara ini.
Bagi tahun kewangan 2008/2009, kira-kira $2,768 juta atau 50.75 peratus disediakan di bawah sektor ini yang merangkumi projek berhubung dengan keselamatan dan kesejahteraan awam termasuk projek infrastruktur, perumahan awam, kesihatan dan perkembangan sosioekonomi rakyat.
Kerajaan juga menyediakan peruntukan $10 juta di bawah kawalan Kementerian Kewangan bagi keselamatan dan Pertahanan Awam termasuk bagi menangani isu-isu yang berkaitan dengan wabak penyakit dan bencana alam.
Mengenai perkembangan dan pengukuhan sektor swasta, katanya penglibatan sektor swasta dalam menggerakkan ekonomi negara adalah sangat penting agar ia tidak terus bergantung pada aktiviti dan perbelanjaan kerajaan semata-mata.
Kerajaan akan terus komited dalam menyediakan persekitaran yang kondusif untuk merangsang aktiviti sektor swasta supaya lebih dinamik dan dapat menjadi pemangkin menerajui pertumbuhan ekonomi negara masa depan.
Dalam usaha meningkatkan daya saing iklim perekonomian negara dan mengukuhkan pihak swasta supaya menjadi nadi penggerak ekonomi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telahpun memperkenankan beberapa pindaan yang berkaitan dengan Akta Cukai Pendapatan (Penggal 35).