Oleh Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah
PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) -- Kerajaan Belanda mengutuk aksi ganasyang dipaparkan dalam filem kontroversi Fitna yang telah menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia dan ia menolak interpretasi filem itu yang menyamakan Islam dengan keganasan.
Duta Belanda ke Malaysia, Lody Embrechts berkata filem itu tidak langsung menggambarkan pandangan atau polisi kerajaan Belanda.
Filem itu menunjukkan pandangan oleh seorang lelaki dan bukan kerajaan Belanda, katanya.
Beliau berkata Perdana Menteri Belanda Jan Peter Balkenede telah berkata perkara utamanya adalah filem itu adalah menunjukkan tindakan keganasan dan memetik beberapa ayat Al-Quran.
"Kerajaan Belanda mengutuk tindakan seperti itu dan mereka yang melakukannya.
Filem itu menyamakan Islam dengan keganasan. Kerajaan Belanda menolak interpretasi itu," katanya kepada Bernama di sini.
Fitna merupakan filem selama 15 minit yang ditayangkan di dalam laman web Khamis lepas yang mengkritik Islam, memetik beberapa ayat Al-Quran dengan berlatarbelakangkan imej serangan pengganas.
Anggota Parlimen Belanda, Geert Wilders mewujudkan filem itu, yang juga menunjukkan kenyataan daripada paderi-paderi radikal dan beberapa ayat Al-Quran beserta imej serangan 11 Sept di Amerika Syarikat, pengeboman tren komuter di Sepanyol pada 2004 dan pembunuhan pembuat filem Belanda Theo van Gogh pada tahun yang sama di jalan Amsterdam.
Embrechts berkata kebanyakan umat Islam menolak kegiatan ekstrem dan keganasan dan malah kebanyakan mangsa adalah orang Islam.
Katanya kerajaan Belanda, atas sebab itu, kecewa kerana Wilders mengeluarkan filem itu dan percaya ia tiada sebab lain kecuali untuk menyakitkan hati.
"Bagaimanapun, rasa sakit hati tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk bersikap agresif dan memberikan ancaman," katanya. Duta itu berkata kerajaan Belanda gembira dengan reaksi awal yang terkawal daripada pertubuhan Islam Belanda, sambil menambah bahawa orang Islam, Kristian dan penganut agama lain dapat hidup bersama dengan aman.
"Masalahnya bukanlah agama, tetapi penyalahgunaan agama menyemai rasa benci dan tidak bertolak ansur.
Kerana itu Belanda meminta rasa hormat terhadap kepercayaan sesiapa sahaja," katanya. Embrechts berkata kerajaan Belanda sangat sedar rasa prihatin dan sentimen tentang filem ini kepada masyarakat Islam antarabangsa. "Saya percaya orang Islam ada hak untuk marah tentang filem yang dihasilkan Wilders.
Bagaimanapun, kita tidak patut benarkan filem itu mengganggu emosi dan memberi kesan negatif terhadap hubungan antara Belanda dan dunia Islam. "Berbanding sebelum ini, adalah penting untuk mengadakan dialog dan bekerjasama bagi mewujudkan persefahaman dan mengelakkan ekstremisme," katanya.
-- BERNAMA
|