LIMBARUH HIJAU 24 RABIULAKHIR 1432 (29 MAC 2011) - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas langkah untuk lebih telus dalam proses 'melantik' wakil-wakil Daerah dalam Majlis Mesyuarat Negara (MMN).
Sebelum ini proses memilih wakil-wakil untuk dilantik menjadi wakil-wakil daerah ke MMN tidak disiarkan kepada umum.
Berbeza tahun ini, proses pemilihan tersebut didedahkan kepada umum walaupun tidak sepenuhnya terutama dalam jumlah kouta wakil-wakil yang diperuntukkan bagi setiap daerah. Terdapat andaian sejumlah 8 kerusi diperuntukkan bagi wakil Brunei-Maura , Belait 4 kerusi, Tutong 4 kerusi dan Temburong pula 2 kerusi. Ada pula mengatakan satu kerusi dipertandingan bagi setiap daerah.
Walau apa pun ini dapat dilihat sebagai satu perkembangan yang baik dari sudut ketelusan dalam melaksanakan sistem pemilihan yang agak terhad tersebut.
Dalam masa sama ianya juga dapat dilihat sebagai satu usaha pihak kerajaan untuk menangkis andaian-andain bahawa wakil-wakil Daerah yang menduduki kerusi di MMN yang lepas dan akan datang ini bukannya ditunjuk tanpa melalui proses pemilihan.
Walaupun usaha sedemikian mungkin berhasil menangkis andaian-andaian tersebut tetapi kita masih kurang pasti apakah ianya akan dapat merubah pandangan sebilangan rakyat bahawa calon-calon yang terpilih belum lagi dapat diiktiraf sepenuhnya sebagai wakil rakyat memandangkan hak bercalon dan menamakan calon serta mengundi hanya terhad dikalangan penghulu-penghulu, ketua-ketua kampong dan ketua-ketua rumah panjang.
Sehubungan dengan itu NDP penuh berharap sistem pemilihan wakil rakyat yang dilaksanakan baru-baru ini akan dapat diperluaskan lagi agar tidak menafikan hak setiap rakyat untuk mencalonkan, dicalonkan dan seterusnya memilih melalui peti undi wakil-wakil mereka ke MMN.
Sementara itu, menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan proses pemilihan calon yang dilaksanakan adalah menurut kehendak Peraturan-Peraturan Perlembagaan (Wakil-wakil Daerah), (Perjalanan Pemilihan Untuk Dilantik), 2005 seperti mana yang terkandung dalam Warta Kerajaan Bahagian IV, Bil. 4 bertarikh 24 Februari 2011.
Bagi tujuan tersebut Majlis Pencalonan dan Pengundian bagi pemilihan calon untuk dilantik menjadi Wakil-wakil Daerah dalam MMN telah diadakan pada hari Isnin 23 Rabiulakhir 1432 Hijriah bersamaan dengan 28 Mac 2011 Masihi bermula pukul 9.00 pagi.
Majlis tersebut berlangsung di Dewan Muhibbah, Pejabat Daerah Brunei dan Muara; Dewan Qaidah, Pejabat Daerah Belait; Bilik Johan Pahlawan, Pejabat Daerah Tutong dan Dewan Muafakat, Bangunan Jabatan-Jabatan Kerajaan Daerah Temburong.
Pencalonan dan pengundian bagi pemilihan calon tersebut adalah berikutan dengan pembubaran MMN pada hari Selasa, 10 Rabiulakhir 1432 Hijriah bersamaan 15 Mac 2011 yang lalu.
Penghulu-penghulu Mukim, Ketua-ketua Kampung dan Ketua-ketua Rumah Panjang di seluruh negeri telah berkumpul di Pejabat-pejabat Daerah masing-masing pada hari tersebut untuk menamakan calon-calon mereka yang akan bertanding.
Petang kelmarin peti undi dari keempat-empat daerah telah dibawa ke Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Bandar Seri Begawan untuk dikira dan disahkan oleh Pegawai-pegawai Daerah masing-masing dan seterusnya Pegawai-pegawai Daerah akan menghadapkan hasil undi berkenaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan.
Ahli-ahli Jawatankuasa Pemilihan akan menelitinya untuk disembahkan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di- Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Seramai 53 calon telah diundi untuk pemilihan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi wakil setiap daerah hasil dari para pengundi di negara ini.
Dari jumlah tersebut seramai 28 orang calon di Daerah Brunei dan Muara telah disenaraikan terpilih bagi pencalonan untuk dilantik menjadi Wakil-wakil Daerah Dalam Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Majlis Pembuangan Undi yang diadakan di Dewan Muhibbah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara (DBM), Berakas.
Dari jumlah tersebut 10 orang darinya memegang jawatan penghulu dan 18 yang lain memegang jawatan ketua kampung.
Di Daerah Belait seramai 21 orang penghulu, ketua kampung dan ketua rumah panjang Daerah Belait telah mengemukakan 10 nama bagi pemilihan calon untuk dilantik menjadi wakil Daerah Belait dalam Majlis Mesyuarat Negara (MMN) akan datang dan dari jumlah tersebut hanya seorang sahaja akan dipilih menjadi wakil daerah ini.
Di Daerah Tutong pula seramai 10 orang telah dicalonkan iaitu 5 orang penghulu mukim dan 5 orang ketua kampung dengan keramaian 37 orang pengundi yang terdiri daripada penghulu mukim dan ketua kampung.
Sementara itu di Daerah Temburong seramai lima orang telah dicalonkan untuk dilantik menjadi wakil Daerah Temburong dalam Majlis Mesyuarat Negara (MMN) berikutan dengan pembubaran MMN pada hari Selasa, 10 Rabiulakhir 1432 Hijriah bersamaan 15 Mac 2011 yang lalu. |